Rabu, 22 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tasik busuk!

Posted: 21 Aug 2012 11:56 AM PDT

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang beriadah di Taman Metropolitan Kepong di sini mahu pihak berkuasa mengatasi beberapa masalah seperti bau busuk, vandalisme dan jenayah yang semakin mengganggu aktiviti harian mereka di kawasan itu.

William Wong, 60, berkata, sejak lima tahun lalu hampir setiap hari beliau dan rakan-rakan menjalani senaman taici di kawasan tasik itu dan terpaksa menghidu bau busuk.


"Bagaimanapun bau busuk itu semakin teruk sejak dua minggu lalu dan ia seperti bau bahan kimia terutama apabila melalui kawasan jambatan di sini.

"Kami hairan bagaimana bau tersebut boleh wujud di situ sedangkan ia merupakan kawasan hijau untuk orang ramai beriadah," katanya kepada media, di sini, semalam.


Pencemaran bau itu cukup mengganggu semua pengunjung sehingga ada sebahagian daripadanya terpaksa berkunjung ke taman riadah yang berhampiran dan enggan datang ke situ lagi.


Tambahnya keadaan bertambah teruk apabila tasik dicemari dengan kehadiran alga hijau yang membentuk lapisan di permukaan air.

"Keadaan ini boleh menyebabkan air tasik tercemar seterusnya boleh mengancam hidupan dalam tasik seperti ikan," katanya.


Selain itu, Lee Fook Seng, 53, berkata, sering berlaku kejadian jenayah di kawasan taman berkenaan menyebabkannya tidak lagi mahu berkunjung ke situ.

"Sudah tiga tahun saya tidak datang ke sini kerana sering mendengar mengenai kejadian jenayah. Biasanya penjenayah akan menaiki motosikal sebelum menyamun orang ramai yang sedang berjoging di sini.


"Kejadian itu kerap berlaku terutama awal pagi selain keadaan yang gelap," katanya.


Tinjauan juga mendapati terdapat aktiviti pembuangan sampah dilakukan di kawasan semak berhampiran tasik tersebut. Ini berdasarkan longgokan sampah sarap, batu-bata serta simen menunjukkan ia dilakukan individu yang melakukan kerja pembinaan.


Sementara itu, Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, dia banyak menerima aduan orang ramai mengenai ketidakselesaan ketika beriadah di taman tersebut.


"Tasik ini menerima air dari tiga kawasan sejak sembilan tahun lalu iaitu Taman Indah Baiduri, Kepong Indah serta PPR Intan Baiduri yang bertujuan mengelakkan banjir di kawasan berkenaan.


"Mungkin disebabkan air di sini tidak disalirkan ke kawasan lain, ditambah dengan tiada rawatan air dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyebabkan air tasik mula tercemar sehingga menyebabkan bau busuk.


"Berdasarkan keadaan tasik yang tercemar ini, saya rasa ia tidak lagi sesuai digunakan untuk sebarang aktiviti sukan air.


"Sepatutnya DBKL melakukan rawatan air tasik bagi memelihara keadaan alam semula jadi tanpa perlu menunggu sehingga masalah pencemaran bau," katanya.


Tambahnya lagi, orang ramai juga sering melihat pekerja pembersihan membakar sampah-sarap khususnya daun di kawasan taman tersebut pada setiap Sabtu.


"Mungkin mereka sukar untuk membuang daun berkenaan ke tempat lain menyebabkan mereka membakarnya. Bagaimanapun, keadaan itu menghasilkan asap yang banyak dan mengganggu orang ramai yang hendak berjoging di situ.


"Selain itu, kejadian mencuri tiang lampu serta peralatan elektrik didalamnya turut kerap terjadi di sini. Kita boleh lihat sendiri beberapa kesan tiang yang sudah dipotong dan hilang.


"Saya berharap agar DBKL sedar akan masalah ini dan mengadakan rondaan keselamatan selama 24 jam di kawasan taman riadah seperti yang pernah saya cadangkan sebelum ini.


"Ia bertujuan mengekang kejadian merosakkan harta benda awam seperti tiang lampu, sekali gus mengurangkan kos kerugian yang terpaksa ditanggung oleh DBKL," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 22/08/2012


Nyaris maut kereta rempuh pasu gergasi

Posted: 21 Aug 2012 11:54 AM PDT

SEREMBAN: Dua lelaki nyaris maut apabila kereta Proton Persona dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang lampu dan pasu gergasi hiasan di pembahagi jalan di Jalan Dato Muda Linggi, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, kedua-dua mangsa parah selepas tersepit di dalam kenderaan berkenaan sehingga anggota penyelamat terpaksa menggunakan alat khas bagi mengeluarkan mereka.


Jurucakap polis berkata, kedua-dua mangsa berusia 20-an itu dipercayai dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Ampangan, di sini, dalam keadaan hujan lebat.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan sebelum melanggar pasu bunga gergasi dan terlajak hingga melanggar tiang lampu.


"Kereta itu yang remuk teruk kemudian terbabas hingga melambung di laluan bertentangan sebelum berhenti, manakala pasu yang dilanggar pecah dan tiang lampu berkenaan tumbang menghadang jalan.


"Kami terpaksa meminta bantuan bomba bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kenderaan yang remuk teruk," katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang cedera parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, katanya, kemalangan itu tidak membabitkan kenderaan lain kerana ketika kejadian laluan berkenaan lengang.


"Punca kejadian masih disiasat tetapi tidak menolak kemungkinan kenderaan dipandu laju selain faktor laluan licin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 22/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan