Jumaat, 24 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Penduduk resah sikap biadab Awang Afrika

Posted: 23 Aug 2012 11:50 AM PDT

SUBANG JAYA: Peningkatan bilangan warga Afrika di Apartmen Mentari Court, di sini, semakin ketara berbanding beberapa tahun sebelumnya sehingga membimbangkan penduduk berikutan kehadiran kumpulan terbabit mencetuskan pelbagai masalah sosial di kalangan masyarakat.

Setiap kali menjelang Aidilfitri, warga asing terbabit diibaratkan 'raja' kerana kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya mereka untuk 'menguasai' penempatan berkenaan selain melakukan aktiviti sosial keterlaluan ketika penduduk pulang ke kampung.


Tinjauan ke kawasan berkenaan semalam mendapati kebanjiran warga asing terutama dari Afrika begitu jelas dengan kehadiran kumpulan Awang Hitam yang memenuhi setiap ruang di situ.

Setiausaha Badan Pengurusan Bersama apartmen terbabit, Jamal Ismail berkata, pada tahun lalu dianggarkan hanya 500 warga Afrika mendiami apartmen itu, namun tahun ini bilangannya mencecah lebih 1,000 orang.


"Kami (penduduk) bimbang dengan peningkatan Awang Hitam di sini kerana banyak masalah dilakukan mereka," katanya.


Menurut Jamal, apartmen itu mempunyai tujuh blok membabitkan 3,469 rumah dan 17,345 penduduk.

"Selain warga Afrika, turut mendiami perumahan itu ialah warga Indonesia, Bangladesh dan lain-lain. Namun, lebih menjadi tumpuan adalah warga Afrika kerana bilangan mereka lebih ramai," katanya.


Kata Jamal, warga Nigeria paling ramai tinggal di apartmen itu dan melakukan aktiviti memalsukan wang, bergaduh dengan penduduk, meraba gadis, mengganggu anak dan dan isteri penduduk.

"Laporan polis dan imigresen sudah beberapa kali dibuat, namun setiap kali serbuan dijalankan, Awang Hitam terbabit melarikan diri kerana terlebih dulu mendapat maklumat.


"Apartmen ini bagaikan syurga buat mereka, tambahan pula ketika Aidilfitri lalu, mereka menguasai sepenuhnya kawasan ini," katanya.


Penduduk yang mahu dikenali sebagai Iskandar berkata, warga Nigeria disifatkan sebagai kurang ajar kerana tidak menghormati adat dan budaya penduduk tempatan.


"Mereka berpakaian mencolok mata, membawa perempuan, minum arak dalam lif, membuang botol arak dari tingkat atas dan bersikap biadab ketika berkumpulan," katanya.


Menurut Iskandar, kemasukan golongan itu sebagai pelajar, namun kewujudan mereka meningkatkan kadar jenayah.


"Lebih mengecewakan apabila kumpulan itu juga mempunyai restoran dan kedai runcit di apartmen ini. Kami mohon supaya kerajaan memandang serius perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 24/08/2012


15 minit pecah masuk 3 rumah

Posted: 23 Aug 2012 11:27 AM PDT

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh 15 minit, tiga penghuni rumah di Jalan Ipoh, di sini, kerugian lebih RM100,000 selepas disamun enam lelaki bersenjatakan parang dan penyembur lada yang memecah masuk rumah mereka, malam kelmarin.

Kejadian jam 8.30 malam itu berlaku ketika semua penghuni rumah berkenaan beristirahat sambil menonton televisyen.


Menurut sumber, mangsa rumah pertama yang berusia 45 tahun memberitahu keenam-enam lelaki terbabit memakai topeng dan memasuki tiga rumah berkenaan serentak.

"Seorang daripada lelaki terbabit masuk ke rumah mangsa pertama dan mengacukan parang manakala seorang lagi rakannya meluru ke dalam bilik tidur di tingkat atas sebelum membawa lari barang berharga.


"Empat anggota kumpulan terbabit pula berpecah ke dua lagi rumah yang juga jiran mangsa sebelum menggeledah seluruh rumah itu," katanya.


Sumber berkata, mangsa menurut arahan mereka kerana bimbang disembur menggunakan penyembur lada.

Katanya, semua penghuni rumah kedua dan ketiga diarahkan masuk dalam tandas sebelum empat lelaki terbabit mengurung mereka.


"Mereka membawa lari pelbagai barang berharga milik mangsa termasuk barang kemas, berlian, telefon bimbit, komputer riba, kamera digital, beg tangan berisi dokumen pengenalan diri, kad bank, jam tangan dan cermin mata berjenama," katanya.

Katanya, berdasarkan dialek pertuturan keenam-enam suspek berkenaan, kumpulan lelaki terbabit dipercayai warga tempatan.


"Mereka mengambil masa 15 minit untuk menyamun ketiga-tiga rumah teres dua tingkat yang terletak bersebelahan sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti jenisnya," katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.


Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis masih memburu anggota kumpulan terbabit yang dipercayai masih berada di sekitar daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : 24/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan