Selasa, 21 Ogos 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Pengguna di kawasan Kuala Krai alami gangguan air

Posted: 21 Aug 2012 01:22 AM PDT

KOTA BHARU: Pengguna di beberapa kawasan di jajahan Kuala Krai mengalami gangguan bekalan air berikutan operasi Loji Rawatan Air Pahi tergendala sejak semalam.

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Hazwan Hassan, berkata operasi loji air itu tergendala berikutan gangguan bekalan elektrik sejak 3 pagi semalam.

Kawasan terbabit ialah Batu Jong, Taman Teknik, Taman Daskoh, Guchil, Kawasan Perindustrian Staponal, Kampung Keroh, Kampung Telekong, Kampung Che Wa, Banggol Kulim, Kampung Pek, Kuala Pertang, Pasir Jering, Sungai Tasan, Chenulang, Kampung Enggong dan Kampung Sepuloh.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, Tenaga Nasional Berhad sedang membaik pulih bekalan elektrik ke loji tersebut.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Pusat Info AKSB (PINTAS) di talian 1300-88-2572.

- BERNAMA

MTUC mahu faedah lama KWSP dikembalikan

Posted: 21 Aug 2012 01:05 AM PDT

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) segera mengembalikan semula formula lama bayaran faedah kematian dan hilang upaya kepada 6.28 juta pencarum yang aktif.

Di bawah formula itu, pencarum berhak menerima pembayaran sekali antara RM1,000 hingga RM30,000 daripada Tabung Faedah Kematian dan Hilang Upaya KWSP, kata Naib Presiden MTUC, A Balasubramaniam.

Bagaimanapun pada masa ini, mereka hanya dibayar RM5,000 untuk hilang upaya dan kadar sama rata RM2,500 untuk kematian daripada dana itu, katanya.
Beliau berkata, bayaran itu tidak mencukupi memandangkan hakikatnya Malaysia tidak mempunyai sistem faedah bagi mereka yang tidak bekerja atau skim insurans kebangsaan untuk pekerja sektor swasta.

Ia juga tidak mempunyai polisi kesihatan kebangsaan untuk membantu mereka yang menganggur dan keluarga mereka apabila penanggung tunggal keluarga tiba-tiba mati atau hilang upaya, katanya.

Balasubramaniam berkata, berdasarkan kajian MTUC pencarum yang paling terdedah kepada kemalangan dan penyakit adalah buruh kasar dan mereka yang bekerja luar.

Katanya, memandangkan hakikat kos sara hidup meningkat, adalah sangat bersesuaian supaya dana itu dilaksanakan berdasarkan kuantum pembayaran lama.
- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan