Khamis, 23 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Buaya ‘ngap’ paha budak

Posted: 22 Aug 2012 11:34 AM PDT

KUCHING: "Mulanya, saya menyangka rakan bergurau dengan menarik paha, namun sebaik menoleh, saya melihat mereka berdiri agak jauh daripada saya.

"Saya kemudian mengesyaki ada yang tak kena lalu terus meraba lalu terkejut apabila merasai sesuatu benda berkulit keras menggigit kedua-dua paha saya," kata Ashley Austin Chin, 14, yang terselamat biarpun dibaham buaya air masin di pantai Pasir Pandak, dekat sini, pagi semalam.


Berikutan itu, katanya, dia memberanikan diri dengan menumbuk mata serta badan buaya yang sepanjang lebih tiga meter itu untuk melepaskan gigitannya.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Maong itu mengalami luka di kedua-dua paha.


Sebelum kejadian, Austin berkata, dia bersama lima rakan pergi ke pantai berkenaan yang terletak kira-kira 18 kilometer dari bandar raya ini untuk mandi sempena cuti sambutan Aidilfitri, kira-kira jam 7 pagi.


Selepas hampir setengah jam menghabiskan masa dengan mandi, dia tiba-tiba terasa sesuatu cuba menggigit pahanya.

"Ketika itu, saya langsung tidak terfikir digigit buaya kerana pantai berkenaan sering dikunjungi orang ramai, terutama setiap hujung minggu.


"Malah, ketika kedua-dua paha saya dibaham, saya masih mampu mengelak dan cuba menepis. Apabila gigitannya semakin kuat, barulah saya segera melawan untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS), semalam.

Austin berkata, dia menggunakan seluruh kudrat untuk menumbuk mata buaya itu.


"Hanya itu cara terakhir dan kudrat yang saya ada. Mungkin tumbukan tepat pada mata buaya berkenaan menyebabkan ia melepaskan gigitannya dan kesempatan itu juga saya gunakan untuk menendang badannya," katanya.


Austin bersyukur kerana terselamat daripada maut, namun menyesal kerana sebelum kejadian, ibu memang tidak membenarkan dia mandi di situ kerana bimbangkan keselamatannya.


"Saya tidak mengendahkan larangan itu, sebaliknya menuruti ajakan rakan yang merancang untuk mandi-manda di pantai berkenaan," kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

Artikel ini disiarkan pada : 23/08/2012


Layanan VIP ke Putrajaya

Posted: 22 Aug 2012 11:15 AM PDT

PUTRAJAYA: Semua pelancong yang berkunjung ke pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini, akan mendapatkan layanan orang kenamaan (VIP) terutama dari segi kecekapan perkhidmatan bas, produk pelancongan dan tahap kebersihan bandar.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat berkata, beliau mahu semua pelancong dapat menikmati sepenuhnya keindahan dan keunikan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran paling cantik di dunia.


"Ketika ini program pelancongan sedia ada tidak begitu sistematik menyebabkan ada antara pelancong hilang arah, jadi dalam fikiran saya kena susun betul-betul kehadiran mereka dan pastikan mereka mendapat layanan VIP.

"Justeru, perkhidmatan bas perlu dijenamakan semula supaya lebih cekap, selain memastikan semua lokasi yang menjadi tumpuan pelancong sentiasa berada dalam keadaan bersih dan ceria," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dan beramah mesra bersama kira-kira 70 pemandu bas Nadi Putra di Terminal Park n Ride di Presint 14, di sini, semalam.


Selain itu, Aseh berkata, satu jawatankuasa tetap akan ditubuhkan untuk meningkatkan usaha menarik lebih ramai pelancong ke Putrajaya.

Katanya, jawatankuasa yang akan dipengerusikan beliau bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan akan menyenaraikan produk pelancongan di Putrajaya yang boleh diketengahkan.


"Bagi saya jumlah kedatangan pelancong ke Putrajaya perlu ditetapkan menjelang 2015 hingga 2020 dan satu perancangan teliti perlu dilakukan untuk merealisasikannya.

"Selain itu, kita mungkin boleh menyediakan perkhidmatan bas percuma dari Kuala Lumpur ke Putrajaya, kita (PPj) ada 175 bas, mungkin kita boleh gunakan 60 bas untuk membawa orang Kuala Lumpur ke Putrajaya pada hari minggu.


"Saya akan cuba cari syarikat korporat untuk membantu kerana saya percaya ini satu usaha yang baik untuk menarik lebih ramai pelancong ke Putrajaya untuk menyaksikan satu daripada bandar tercantik di dunia," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pemandu bas Nadi Putra memainkan peranan penting untuk menarik lebih ramai pelancong ke sini memandangkan mereka pekerja barisan hadapan yang bertemu pelancong.


"Mereka inilah yang akan menentukan pelancong yang datang berpuas hati atau sebaliknya. Kalau mereka kasar dan tidak berbudi bahasa ia akan memberi kesan kepada imej Putrajaya, dan begitulah sebaliknya," katanya.


Malah, Aseh turut meminta 10 cadangan daripada pemandu Nadi Putra untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan bas di bandar ini, selaras dengan usaha menarik lebih ramai pelancong.


"Kita tidak mahu bas Nadi Putra beroperasi dalam keadaan bas kosong. Kalau Nadi Putra ini sebuah syarikat saya percaya mereka akan menanggung kerugian yang besar kerana kos operasinya menelan belanja RM20 juta, manakala keuntungan yang diperoleh hanya RM2 juta.


"Jadi, sesuatu perlu dilakukan supaya kerugian RM18 juta dapat dielakkan pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 23/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan