Selasa, 21 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Ambillah kereta saya’

Posted: 20 Aug 2012 11:40 AM PDT

KEPALA BATAS: "Dalam keadaan cemas, saya hanya mampu merayu kepada lelaki itu supaya tidak mengapa-apakan saya dan anak. Jika dia nak ambil kereta, ambillah, tapi tolong lepaskan saya dan anak," kata Nurul Izzah Khalid, 26, ketika menceritakan detik cemas menjadi 'tawanan' 10 minit oleh seorang lelaki yang melarikan keretanya dalam kejadian dekat simpang keluar Kompeks Dato' Kailan, di sini, Sabtu lalu.

Nurul Izzah ketika ditemui di rumahnya di Pajak Song berkata, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku sebaik suami keluar dari kenderaan untuk membeli ubat anak mereka, Muhammad Qayyum Musyrif, lima bulan yang demam di sebuah farmasi berhampiran, kira-kira jam 4.30 petang.


Menurutnya, dia baru hendak mengunci pintu kereta, sebelum seorang lelaki tiba-tiba meluru masuk dan terus menekan pedal minyak.

"Saya jadi panik kerana lelaki itu terus memecut laju dan mahu membawa saya dan anak bersama kereta ke Pulau Pinang. Saya menghubungi suami menggunakan telefon bimbit yang masih di tangan bagi meminta bantuan.


"Lelaki itu marah dengan tindakan saya dan bertindak mahu merampas telefon dari genggaman, tetapi tidak berjaya sebelum menarik tangan anak dan mengugut mahu membunuh kami berdua," katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.


Dia yang juga adik kepada Ketua Biro Bernama Perak, Muna Khalid berkata, dalam keadaan cemas itu dia merayu supaya lelaki berkenaan melepaskan dia dan anak.

Mengalah dengan rayuan itu, lelaki berbadan kurus berusia 20-an itu kemudian memberhentikan kenderaan di tengah jalan sebelum menolak mangsa dan anaknya keluar.


Bagaimanapun, Nurul Izzah menyifatkan tindakan lelaki itu tidak bijak dan kemungkinan masih baru dalam 'bidang' berkenaan kerana tidak tahu cara membuka kunci kereta.

Lelaki itu juga, katanya, dilihat panik dengan menekan semua butang yang ada sebelum pintu itu dapat dibuka.


Sementara itu, suami mangsa, Musyrif Abu Bakar, 29, yang menyedari kejadian bertindak mencari isterinya dengan bantuan orang ramai yang melihat kejadian itu sebelum menemui anak dan isterinya ditinggalkan 500 meter dari lokasi kejadian.


Musyrif berkata, dia bersyukur kerana isteri dan anaknya selamat walaupun kereta Proton Pesona warna gangsa yang baru dibeli tahun lalu hilang.


Turut dilarikan wang tunai RM200 bersama barangan keperluan hari raya.


Berikutan kejadian itu, laporan dibuat di Balai Polis Kepala Batas. "Seorang rakan memberitahu ada terlihat kereta saya di sekitar Sungai Dua kira-kira jam 6 petang hari kejadian, tetapi sehingga kini kereta itu masih belum ditemui," katanya yang menyifatkan kejadian itu sebagai pengajaran.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan masih lagi dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 21/08/2012


Maut keluar beli biskut lelong

Posted: 20 Aug 2012 11:38 AM PDT

SUNGAI PETANI: Tanda tanya kegagalan seorang lelaki pulang ke rumah selepas keluar membeli biskut raya lelong terjawab apabila mayatnya ditemui terbaring di atas jalan di Kilometer 43, Jalan Sungai Petani-Alor Setar dekat Gurun, di sini, dalam kejadian langgar lari, kelmarin.

Mayat Shahrizan Hashim, 39, yang juga kelindan lori ditemui orang ramai yang kebetulan melalui jalan terbabit kira-kira jam 6.40 petang.


Kemalangan berlaku berhampiran simpang masuk ke sebuah resort ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan ke rumah ibunya di Kampung Batu 2 Jalan Jeniang, Gurun.

Jurucakap polis berkata, mayat mangsa yang menetap di Bedong, di sini, ditemui dalam keadaan tertiarap di atas jalan berhampiran motosikalnya jenis Honda EX5 oleh orang awam yang melalui jalan berkenaan sebelum menghubungi polis.


"Siasatan awal polis mendapati, mangsa mungkin dilanggar kenderaan dari belakang dan tercampak di atas jalan menyebabkannya cedera parah di kepala dan badan lalu mati di tempat kejadian.


"Bagaimanapun, kenderaan yang melanggar motosikal Shahrizan dipercayai melarikan diri dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, Shahrizan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya selepas pergi ke bandar Sungai Petani sejak tengah malam kelmarin bagi melihat peniaga melelong kuih.


"Mangsa berjanji mahu pulang berhari raya bersama ibunya di kampung, namun sehingga awal pagi kelibatnya tidak muncul sebelum beberapa anggota polis datang bagi memaklumkan perkara itu " katanya ketika ditemui bagi menuntut mayat Shahrizan di Jabatan Forensik HSAH, di sini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di talian 04-4232222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 21/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan