Isnin, 27 Ogos 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Peniaga mati ditembak di depan kedai di Marang

Posted: 27 Aug 2012 03:00 AM PDT

MARANG: Seorang peniaga yang leka bermain dam, mati ditembak dalam satu kejadian di Kampung Bukit Cempedak di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner K.Manoharan berkata, kejadian berlaku pada jam 11.30 malam ketika mangsa, Mat Keya Jusoh, 54, bermain dam dengan seorang rakan yang berusia 51 tahun di depan rumah kedai miliknya.

"Ketika itu, datang sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki tiga lelaki yang mencari lelaki bernama 'Pok Mat' dan kemudian berpura-pura meminta untuk diberikan minuman.
"Bagaimanapun, salah seorang suspek telah melepaskan dua das tembakan dari dalam kereta yang jaraknya kira-kira lima meter sehingga mangsa rebah dan ketiga-tiga suspek terus melarikan diri," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, tembakan itu mengenai rusuk belakang sebelah kanan dan rusuk depan sebelah kiri mangsa, yang dikejarkan ke Hospital Daerah Hulu Terengganu untuk menerima rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Manoharan berkata, motif sebenar kejadian masih disiasat dan gerakan memburu suspek yang berumur lingkungan 25 dan 30 tahun itu sedang giat dilakukan.

Beliau meminta orang ramai yang mempuyai maklumat berhubung kejadian itu tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.
Sementara itu, isteri mangsa, Sepiah Mamat, 53, berkata ketika kejadian, beliau berada di dapur dan sedang menyiapkan kuih untuk jualan.

Sepiah berkata, selepas terdengar dua das tembakan yang disangkakan bunyi mercun, beliau mendengar teriakan rakan mangsa yang mengatakan suaminya ditembak.

"Saya, anak dan beberapa orang yang berada di dalam kedai terus meluru keluar dan melihat dia terbaring dan bergegas menghantarnya ke hospital," katanya. - BERNAMA

Perintah ikat jamin bukan bererti lepaskan Nor Afizal

Posted: 27 Aug 2012 02:55 AM PDT

PUTRAJAYA: Walaupun pemain bowling kebangsaan Nor Afizal Azizan dikenakan perintah ikat jamin berkelakuan baik selama lima tahun kerana merogol seorang gadis bawah umur, hukuman itu tidak bererti dia dilepaskan daripada kesalahan yang dilakukannya, kata Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakiman setebal 14 muka surat yang dikeluarkan di sini hari ini, Presidennya Tan Sri Md Raus Sharif berkata, mengikut perintah ikat jamin di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah, seseorang yang dikenakan perintah itu sebenarnya disabitkan kesalahan dan sabitan itu direkodkan.

"Ia akan menjadi sebahagian daripada rekod jenayah orang berkenaan dan akan kekal sepanjang hayatnya," kata Raus bagi menjelaskan salah tanggapan tentang Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah yang diguna pakai dalam kes berkenaan.
Beliau berkata sebenarnya, Nor Afizal, yang kini berusia 21 tahun, ditangguh daripada menjalani hukuman penjara dan perlu berkelakuan baik selama lima tahun.

"Sekiranya dia berkelakuan baik dalam tempoh lima tahun itu, dia akan terlepas daripada hukuman bagi kesalahannya. Sekiranya dia tidak mematuhi syarat yang ditetapkan dalam ikat jaminnya, dia akan ditangkap semula dan dikenakan tindakan sejajar dengan kesalahan rogol yang asal," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan