Khamis, 30 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Elak tikaman pencuri minuman

Posted: 29 Aug 2012 12:42 PM PDT

PETALING JAYA: "Mujur pekerja saya dapat mengelak tikaman itu jika tidak dia pasti cedera apabila lelaki terbabit yang kami tangkap selepas mencuri pek minuman coklat cuba menghunus pisau bagi melepaskan diri," kata pengurus pasar raya, Ezmin Rashid, 29, menceritakan kejadian cubaan dua lelaki melarikan barangan runcit dari premis itu di Taman Medan Jaya, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, Ezmin memberkas seorang daripada lelaki terbabit dengan bantuan pekerjanya sebelum suspek yang berang bertindak agresif dengan menghunus pisau ke arah mereka.


Menurutnya, ketika kejadian, dia bertugas di kaunter pasar raya berhampiran pintu utama apabila seorang lelaki yang mulanya disangka pelanggan membawa lari bakul mengandungi empat pek serbuk minuman coklat.

"Sebelum kejadian, lelaki terbabit masuk dalam pasar raya dan mengambil pek serbuk minuman coklat itu dari rak berhampiran kaunter.


"Saya mengesyaki sesuatu tidak kena mengenai lelaki terbabit dan memerhatikan gerak-gerinya berikutan dia berkelakuan mencurigakan," katanya ketika ditemui, semalam.


Ezmin berkata, secara tiba-tiba lelaki terbabit berlari keluar dari pasar raya sambil membawa barangan berkenaan tanpa membuat pembayaran menyebabkan dia mengejar lelaki itu.

"Lelaki terbabit berlari ke arah seorang rakannya yang sedia menunggu atas motosikal di luar pasar raya. Tetapi, saya sempat menarik lelaki itu sehingga dia terjatuh. "Kami bergelut sebelum pekerja saya datang membantu dan menahan lelaki terbabit, manakala rakannya melarikan diri," katanya. Katanya, lelaki terbabit dibawa ke dalam stor dan seorang pekerja pasar raya diarahkan supaya mengawasi lelaki terbabit.


"Ketika saya menghubungi polis, lelaki terbabit tiba-tiba bertindak ganas apabila mencapai pisau dalam stor dan cuba untuk menikam pekerja saya.

"Namun, pekerja saya dapat mengelak dan bertindak pantas dengan merampas kembali pisau itu sebelum kedua-duanya bergelut menyebabkan saya segera membantu," katanya.


Beliau berkata, lelaki terbabit diserahkan kepada anggota polis peronda (MPV) yang tiba, manakala pek serbuk minuman coklat dan senjata digunakan turut diserahkan sebagai bahan bukti.


"Saya difahamkan, lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau pelbagai kes dan dia dikatakan baru saja dibebaskan dari tahanan penjara.


"Ini kali ketujuh saya menangkap pencuri barangan runcit di pasar raya ini. Walaupun, pihak pasar raya meningkatkan keselamatan seperti memasang kamera litar tertutup (CCTV), tetapi jenayah masih berleluasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012


‘Drebar teksi tak sepatutnya disekat’

Posted: 29 Aug 2012 12:40 PM PDT

KUALA LUMPUR: Tiada premis komersial sama ada hotel atau pusat beli-belah yang boleh menyekat pemandu teksi untuk mengambil penumpang di hadapan bangunan mereka, malah golongan itu berhak menawar perkhidmatan di situ selagi diperlukan.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Azhar Ahmad berkata, tiada peruntukan yang membuat halangan itu, bahkan pemandu teksi di seluruh Malaysia masih bebas mengambil penumpang di mana saja asalkan di bawah lingkungan pemanduannya.


"Sepatutnya tiada halangan untuk pemandu teksi mengambil penumpang di mana-mana pun, tetapi jika ada pihak cuba menyekat ia perlu disusuli arahan tertentu seperti pusat beli belah terkemuka, KLCC yang membenarkan teksi limosin memasuki premis.

"Tapi, tetap tiada sekatan ke atas pemandu teksi untuk berurusan di kawasan luar. Premis seperti hotel dan pusat belah-belah sepatutnya tak boleh menghalang pemandu teksi. Perkara ini tak sepatutnya berlaku," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Akhbar sebelum ini melaporkan rungutan pemandu teksi yang dihalang daripada mengambil penumpang di beberapa hotel dan pusat beli-belah dengan terbaru kejadian di Melaka membabitkan pemandu teksi eksekutif mendakwa arahan dikeluarkan pengurusan hotel dan pusat beli-belah berkenaan.


Tindakan itu didakwa pemandu teksi menjejaskan operasi mereka, sekali gus perolehan harian, malah ruangan menunggu yang tidak lagi disediakan seolah-olah menafikan perkhidmatan mereka di bandar raya itu.

Mengulas perkara itu, Azhar berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan persatuan hotel dan pusat beli-belah terbabit bagi mengetahui perkara sebenar dan berbincang secara menyeluruh.


"Bagaimanapun, pemandu teksi juga perlu mengambil perhatian mengenai kebersihan teksi mereka, kondusi kenderaan berkenaan supaya kekal elok dan berkeadaan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan