Rabu, 22 Ogos 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


SUHAKAM pelawa pencalonan Anugerah Hak Asasi Manusia 2012

Posted: 22 Aug 2012 12:50 AM PDT

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mempelawa pencalonan untuk Anugerah Hak Asasi Manusia 2012 yang akan disampaikan pada 10 Disember ini.

Tarikh akhir pencalonan ialah 10 Oktober.

Dalam kenyataan hari ini, SUHAKAM berkata, anugerah itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu Anugerah Komuniti Individu, Anugerah Komuniti Organisasi dan Anugerah Media.
"Untuk layak menjadi calon, peserta mestilah terdiri daripada mereka yang sudah memberi sumbangan cemerlang terhadap usaha memupuk dan melindungi hak asasi manusia di Malaysia serta aktif dalam bidang itu sejak dua atau tiga tahun lalu," kata kenyataan itu.

Borang pencalonan dan maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web www.suhakam.org.my atau menghubungi talian 03-26125689/5687/5654. - BERNAMA

Rakyat Bangladesh disyaki aktif peras ugut rakan senegara ditahan

Posted: 22 Aug 2012 12:47 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat Bangladesh yang sangat dikehendaki polis kerana disyaki terbabit dalam lebih 18 kes peras ugut rakan senegaranya sejak 2008, ditahan di sekitar ibu negara 15 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata aduan mengenai kegiatan lelaki berumur 33 tahun itu turut dilaporkan kepada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di ibu negara.

"Suspek hanya mensasarkan warga senegara yang dikenalinya sebelum meminta wang perlindungan RM1,000 seorang daripada mangsa. Suspek juga dipercayai melakukan kegiatan itu bersama beberapa lagi rakan senegaranya," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.
Ku berkata, polis menerima laporan terbaru mengenai lelaki yang juga disyaki aktif dalam kegiatan kongsi gelap itu Mac lalu, selepas dia bersama seorang lagi rakannya didakwa memeras ugut seorang mangsa di sebuah rumah di Jalan Bangsar sebelum melarikan wang tunai RM2,360.

"Kebanyakan mangsa lelaki itu adalah di kalangan pekerja buruh binaan," katanya.

Ku berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan memeras ugut dan beliau meminta rakyat Bangladesh yang pernah menjadi mangsa supaya tampil untuk membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis turut menahan seorang lelaki warga Iran yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan sehingga menyebabkan kematian rakyat Iran, Farhad Sandiani, 32, di sebuah pusat hiburan di Jalan P Ramlee, 18 Ogos lalu.
Ku berkata, lelaki berumur 27 tahun itu ditahan semalam selepas seorang lagi rakannya yang berumur 40 tahun ditahan pada hari kejadian.

"Mangsa yang maut akibat ditikam itu masuk ke negara ini sebagai pelancong untuk kali kedua. Kami masih menyiasat punca kejadian," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan