Khamis, 9 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Semua lif rosak

Posted: 08 Aug 2012 12:19 PM PDT

PETALING JAYA: Hampir 2,000 penduduk di Blok 6, Pangsapuri Desa Mentari, di sini, terpaksa berdepan 'ujian' di bulan Ramadan berikutan masalah kerosakan semua lif di perumahan mereka.

Penduduk, Asri Etar, 46, berkata, sebelum ini hanya sebuah lif berfungsi dan digunakan sepenuhnya di perumahan itu manakala satu lagi sudah rosak sejak setahun lalu.


"Bagaimanapun, keadaan bertambah teruk sejak Sabtu lalu apabila lif sedia ada rosak dan tidak berfungsi sepenuhnya.

"Sejak itu, kami terpaksa menggunakan tangga untuk turun naik di perumahan mempunyai 11 tingkat ini.


"Bayangkan kami berniaga di bazar Ramadan berhampiran terpaksa mengangkat barang yang banyak dari tingkat lapan menggunakan tangga pada waktu petang dan mengangkatnya semula naik ke atas sebaik saja selesai berniaga," katanya kepada Harian Metro, semalam.


Dia yang sudah menetap di situ sejak tujuh tahun lalu berkata, masalah kerosakan lif sering berlaku di situ seolah-olah tiada penyelesaian untuk jangka masa lama.

"Sudah beberapa kali lif di sini dibaiki tetapi tidak sampai dua minggu ia akan rosak semula dan menyusahkan penduduk.


"Bayangkan kanak-kanak, wanita mengandung, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) atau jika berlaku sebarang kecemasan di tingkat atas, pasti sukar untuk mereka menggunakan tangga," katanya.

Kekecewaan Asri itu turut dikongsi N Lecthumanan, 49, yang mahukan campur tangan pihak berwajib termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk di situ ketika menggunakan lif.


"Bayangkan lif yang kami naiki, boleh turun secara tiba-tiba sehingga tiga tingkat ke bawah sebelum naik semula. Ia cukup menakutkan bagaimanapun penduduk tiada pilihan kerana itulah satu-satunya lif yang ada di sini," katanya.


Katanya lagi, penduduk sering mendengar bunyi kabel lif berkenaan menunjukkan ia tidak berada dalam keadaan baik.


"Aduan sudah disampaikan beberapa kali kepada pihak pengurusan tetapi ia masih berlaku. Jika dibiarkan, keadaan ini boleh mengancam keselamatan orang ramai sekiranya kabel lif terputus ketika dinaiki orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/09


‘Sultan’ dicari bantu siasatan kes bunuh

Posted: 08 Aug 2012 12:15 PM PDT

SHAH ALAM: Polis memburu seorang lelaki warga Myanmar bernama Sultan dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki di Ampang, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, lelaki terbabit berusia lewat 20-an yang juga rakan sekerja mangsa di bengkel kereta di Ampang menghilangkan diri sejurus kejadian.


Mohd Adnan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan lehernya dikelar di bengkel berkenaan pada jam 6.10 petang.

Katanya, hasil siasatan lanjut, polis menemui sebilah pisau dan sebatang kayu dipercayai diguna suspek untuk membunuh mangsa.


"Beberapa jam kemudian, polis menahan enam lelaki berusia 23 hingga 37 tahun yang juga rakan sekerja mangsa di sekitar kawasan kejadian.


"Semua mereka kini direman hingga 13 Ogos ini untuk polis mengumpul maklumat yang berkaitan dengan kejadian berkenaan," katanya sewaktu ditemui semalam. Polis juga masih belum mengenal pasti motif sebenar kejadian dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mengenali lelaki terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Arshad di nombor 017-5902878 atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang untuk menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/09


Tiada ulasan:

Catat Ulasan