Ahad, 12 Ogos 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


183 penumpang KL Monorel terperangkap lebih satu jam

Posted: 11 Aug 2012 02:34 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seramai 183 penumpang KL Monorel terperangkap lebih satu jam selepas dua gerabak yang dalam perjalanan dari Stesen KL Sentral menuju ke pusat bandaraya mengalami masalah teknikal.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang berhampiran Wisma Monorel, Kuala Lumpur.

"Dalam kejadian itu seorang wanita hamil termasuk dua orang penumpang lain terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana mengalami masalah kesukaran bernafas dan cedera ringan ketika operasi menyelamat.
"Pasukan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan daripada penumpang yang berada dalam gerabak pada jam 2.19 petang," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa pertama yang berjaya dikeluarkan daripada gerabak pada jam 3.35 petang.

Katanya, enam jentera membabitkan 47 anggota dan seorang pegawai dari balai Bomba Jalan Hang Tuah, Sentul, Seri Hartamas dan Lebuh Pantai dikejarkan ke tempat kejadian.

Pesawat kedua Airbus A380 MAS tiba KLIA

Posted: 11 Aug 2012 02:16 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pesawat kedua Airbus A380 Malaysia Airlines tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini pada jam 3.32 petang dari Toulouse, Perancis, yang sekaligus membolehkan syarikat penerbangan nasional itu menawarkan perkhidmatan penerbangan A380 antara KLIA dan London Heathrow setiap hari bermula esok.

"Pesawat pertama kami daripada enam pesawat A380 telah beroperasi di laluan ini tiga kali seminggu sejak 1 Julai tahun ini. Dengan pesawat kedua menyertai kumpulan pesawat, kami akan menawarkan penerbangan harian A380 bagi laluan ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Ahmad Jauhari Yahya.

"Kami juga bakal menyediakan perkhidmatan penerbangan A380 di laluan 'kangaroo' utama, antara London dan Sydney, apabila pesawat A380 ketiga mula beroperasi setiap hari di laluan Sydney-Kuala Lumpur pada akhir November tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.
Penerbangan MH2 A380 Malaysia Airlines berlepas dari KLIA setiap hari pada jam 11.40 malam dan tiba di London Heathrow pada jam 5.50 pagi hari berikutnya.

Penerbangan pulang, MH3, berlepas dari London Heathrow pada jam 12.00 tengah hari dan tiba di KLIA pada jam 7.25 pagi hari berikutnya.

Begitu juga, penerbangan MH4 B747 berlepas dari KLIA setiap hari pada jam 10.05 pagi dan tiba di London Heathrow pada 4.15 petang manakala penerbangan pulang MH1, berlepas dari London Heathrow pada pukul 10.00 malam dan tiba di KLIA pada hari berikutnya.

Masa ketibaan kedua-dua penerbangan di KLIA membolehkan sambungan segera kepada Malaysia Airlines ke destinasi domestik serta ke kebanyakan bandar raya antarabangsa di rantau Asia-Pasifik yang ia menawarkan perkhidmatan penerbangan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan