Isnin, 27 Ogos 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Peniaga mati ditembak di depan kedai di Marang

Posted: 27 Aug 2012 03:43 AM PDT

MARANG: Seorang peniaga yang leka bermain dam, mati ditembak dalam satu kejadian di Kampung Bukit Cempedak di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata kejadian berlaku pada 11.30 malam ketika mangsa, Mat Keya Jusoh, 54, bermain dam dengan seorang rakan yang berusia 51 tahun di depan rumah kedai miliknya.

"Ketika itu, datang sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki tiga lelaki yang mencari lelaki bernama 'Pok Mat' dan kemudian berpura-pura meminta untuk diberikan minuman.

"Bagaimanapun, salah seorang suspek telah melepaskan dua das tembakan dari dalam kereta yang jaraknya kira-kira lima meter sehingga mangsa rebah dan ketiga-tiga suspek terus melarikan diri," katanya kepada pemberita hari ini.


Beliau berkata tembakan itu mengenai rusuk belakang sebelah kanan dan rusuk depan sebelah kiri mangsa, yang dikejarkan ke Hospital Daerah Hulu Terengganu untuk menerima rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.


Manoharan berkata motif sebenar kejadian masih disiasat dan gerakan memburu suspek yang berumur lingkungan 25 dan 30 tahun itu sedang giat dilakukan.

Beliau meminta orang ramai yang mempuyai maklumat berhubung kejadian itu tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.

Sementara itu, isteri mangsa, Sepiah Mamat, 53, berkata ketika kejadian, beliau berada di dapur dan sedang menyiapkan kuih untuk jualan.

Sepiah berkata selepas terdengar dua das tembakan yang disangkakan bunyi mercun, beliau mendengar teriakan rakan mangsa yang mengatakan suaminya ditembak.

"Saya, anak dan beberapa orang yang berada di dalam kedai terus meluru keluar dan melihat dia terbaring dan bergegas menghantarnya ke hospital," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012


Ahli perniagaan rugi hampir RM1 juta akibat ditipu urusan jual beli diesel

Posted: 27 Aug 2012 03:14 AM PDT

IPOH: Seorang ahli perniagaan berusia 53 tahun kerugian hampir RM1 juta apabila ditipu oleh sekumpulan warga Indonesia dalam urusan jual beli 100,000 tan metrik diesel.

Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahlan berkata ahli perniagaan berkenaan membuat laporan polis pada 23 Ogos lepas setelah sebuah bank di sini mengesahkan bahawa draf bank bernilai RM925,000 yang diterimanya adalah palsu.

"Bertindak atas laporan mangsa dan risikan, kita membuat serbuan pada awal pagi tadi dan menahan lima lelaki warga Indonesia di sebuah hotel di sini yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka yang ditahan berusia antara 25 dan 45 tahun serta memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.


Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum sepuluh tahun dan dengan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan, katanya.


Dalam kes lain, Shukri berkata anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil menahan dua lelaki warga Pakistan masing-masing berusia 22 dan 42 tahun serta seorang warga Lubnan berumur 31 tahun, antara 23 dan 25 Ogos lepas yang dipercayai terlibat dalam wang palsu matawang India (Rupee).

"Suspek datang ke Ipoh dan pergi ke sebuah premis pengurup wang berlesen untuk menukar wang palsu itu kepada Ringgit Malaysia. Apabila pengurup wang berkenaan mengesan wang yang dibawa suspek adalah wang palsu, beliau terus menghubungi polis," katanya.

Dua daripada suspek ditangkap semasa cuba menukar wang palsu di premis berkenaan dan selepas disoal siasat, tangkapan susulan dibuat terhadap seorang lagi suspek di Kuala Lumpur, katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas semua suspek, polis menemui 402 keping wang kertas 1000 Rupee, tiga buah telefon bimbit, sebuah beg berwarna hitam dan dua pasport Pakistan.

"Modus operandi yang digunakan adalah mereka akan ke premis pengurup wang berlesen dan menukar wang palsu matawang India kepada Ringgit Malaysia. Wang palsu yang digunakan suspek berkualiti tinggi dan mangsa sukar mengecam wang kertas palsu itu," katanya.

Katanya kesemua mereka ditahan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan iaitu memiliki matawang kertas yang dibuat secara palsu atau pelancungan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Shukri menasihati orang ramai terutama pengurup wang berlesen supaya berhati-hati semasa berurusan dengan pelanggan yang ingin menukar wang asing dan segera menghubungi polis sekiranya ada sebarang maklumat. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Komen