Berita Harian: Mutakhir |
Peniaga kerugian lebih RM100,000 ditipu pegawai 'Bank Negara' Posted: 29 Aug 2012 03:00 AM PDT LIMBANG: Seorang peniaga berusia 33 tahun kerugian RM116,769 dalam tempoh dua hari angkara tindakan seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara. Pegawai Penyiasat Polis Limbang, Inspektor Kantharuban Rajoo, berkata mangsa seorang lelaki rakyat tempatan itu menerima panggilan dari wanita berkenaan yang memperkenalkan diri sebagai Miss Tan, petang Isnin lalu. Wanita itu menyatakan bahawa mangsa mempunyai hutang kad kredit UOB tertunggak sebanyak RM5,796 dan pembayaran perlu dibuat dengan segera bagi mengelakkan akaun lain mangsa dibekukan oleh Bank Negara."Walaupun mangsa tidak pernah memiliki kad kredit itu namun mungkin atas sebab panik, pembayaran dilakukan pada hari yang sama. "Keesokannya (28 Ogos) orang yang sama membuat panggilan untuk meminta mangsa memindahkan wang dari akaun Maybank milik mangsa ke akaun lain bagi mengelakkan akaunnya dibeku," kata Kantharuban kepada pemberita di sini, hari ini. Kantharuban berkata, mangsa segera memindahkan wang berjumlah RM111,000 selepas menerima panggilan itu ke akaun milik seorang yang bernama Azimah Abdullah. Tetapi bila mangsa membuat panggilan ke Bank Negara hari ini untuk tindakan susulan, beliau dapati tiada pegawai yang mempunyai nama berkenaan. - BERNAMA |
3 beradik didakwa sebabkan kematian pengawal keselamatan Posted: 29 Aug 2012 02:53 AM PDT KLANG: Tiga beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap pertuduhan menyebabkan kematian seorang pengawal keselamatan sekolah, dua minggu lalu. Fadli Mohd Razali, 35, Fadziran, 32, dan Suhardi, 18, dari Kampung Perepat, Kapar, di sini, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Sharidah Awang. Mereka didakwa bersama-sama menyebabkan kematian Onn Ismail, 30, di depan rumah bernombor 43, Jalan 5, Taman Permai, Simpang Tiga, Jeram, Kuala Selangor, antara jam 11.40 malam pada 14 Ogos hingga 12.20 pagi.Tiga beradik itu didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Nor Azilah Mat mencadangkan supaya ketiga-tiga tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 setiap seorang atas alasan pertuduhan yang mereka hadapi serius. Peguam Ahmad Jufliz Faiza, yang mewakili tiga beradik terbabit, bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan Fadziran dan Fadli mempunyai anak-anak yang masih kecil sementara Suhardi adalah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau berkata, tiga beradik berkenaan berasal dari keluarga yang susah dan keluarga mereka hanya membawa RM10,000 ke mahkamah. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan