Sabtu, 25 Ogos 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Kedai penyanyi dibakar

Posted: 24 Aug 2012 11:55 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Saya hampir pengsan melihat api menjulang memusnahkan kedai makan yang saya usahakan selama 10 tahun," kata bekas anggota kumpulan 2 By 2, A Halim Mamat, 37, menceritakan detik cemas kebakaran kedai makan miliknya di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian jam 1 pagi itu menyebabkan kedai makanan Thai yang diusahakan Halim bersama isteri yang juga bekas penyanyi kumpulan Genuine, Norsalawati Karman, 35, musnah.


Menurut Halim, ketika kejadian dia sedang tidur apabila tiba-tiba dikejutkan Norsalawati dan memaklumkan mengenai kebakaran itu.

"Isteri saya dihubungi sepupunya yang tinggal berhampiran kedai makan kami dan memberitahu mengenai kejadian. Kami sangat terkejut kerana hanya sejam sebelum itu kami baru saja pulang selepas memeriksa kedai yang ditutup seminggu sempena Aidilfitri," katanya.


Halim berkata, dia segera ke tempat kejadian, manakala Norsalawati terpaksa tinggal di rumah kerana menjaga empat anak mereka.


"Tubuh saya lemah sejurus tiba dan melihat api marak membakar kedai makan ini yang juga satu-satunya sumber utama pendapatan selepas saya dan isteri berhenti menyanyi.

"Kedai makan ini saya usahakan ketika masih lagi aktif dalam nyanyian sebagai bekalan selepas tidak lagi berkecimpung dalam bidang seni," katanya.


Katanya, akibat kejadian itu, dia dan enam pekerjanya kini hilang sumber pendapatan.

"Api dipadamkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Setapak dan kebakaran sebenar masih disiasat," katanya yang mengesyaki kebakaran itu disebabkan perbuatan khianat dan menganggar kerugian RM60,000.


Nasib malang menimpa pasangan itu yang popular sekitar 1990 turut mendapat perhatian rakan artis lain apabila seorang lagi bekas anggota 2 By 2, Zul dan isteri, Isma, yang juga bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7) datang melawat.


Turut melawat tempat kejadian, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wangsa Maju, Mohd Rasyid Abdul Samah dan Naib Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Hamdan Mohd Yusuf.


Halim berkata, dia dan isteri berharap dapat membina semula kedai makan itu dan berharap ada pihak bersimpati dan menghulur sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : 25/08/2012


Langkah beri kelegaan

Posted: 24 Aug 2012 11:55 AM PDT

KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih menganggur dan yang menerima gaji rendah kini boleh menarik nafas lega apabila agensi itu kini membenarkan bayaran balik serendah RM50 sebulan.

Rechel Lidia Jinimi, 25, berkata, langkah terbaru agensi terbabit adalah pendekatan baik bagi menyelesaikan masalah pembayaran balik pinjaman memandangkan tidak semua graduan mendapat pekerjaan tetap selepas tamat pengajian.


"Berita ini cukup menggembirakan dan semua pelajar patut berterima kasih atas usaha PTPTN membantu meringankan beban peminjam sekali gus mengelak nama disenaraihitamkan akibat masalah pembayaran lewat," katanya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan itu memberitahu, dia belum menjelaskan lagi pinjamannya sejak tamat pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) setahun lalu kerana belum mendapat pekerjaan.


"Selepas ini, saya tidak perlu menangguhkan bayaran pinjaman kerana mendapati kadar baru ini berpatutan dan bercadang membuat bayaran yang lebih tinggi apabila mendapat pekerjaan tetap nanti," katanya.


Pembantu Jurutera, Norshafiq Shahar, 28, menyokong langkah terbaru agensi itu kerana memberi peluang kepada peminjam yang disenaraihitamkan untuk menjelaskan pinjaman mereka setiap bulan.

"Selepas tamat pengajian pada 2006, saya hanya mampu membayar balik pinjaman sebanyak RM50 setiap bulan kerana hanya bekerja sebagai jurujual sambilan menyebabkan nama saya disenaraihitamkan PTPTN," katanya.


Katanya, PTPTN sepatutnya melaksanakan pendekatan itu sejak dulu lagi bagi mengelak peminjam yang belum mempunyai kewangan stabil dikenakan tindakan tegas agensi berkenaan.

Guru, Bibiana Akong, 26, berkata, usaha PTPTN itu langkah cukup baik kerana dia juga pernah menghadapi masalah menjelaskan pinjaman selepas tamat pengajiannya tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 25/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan