Selasa, 28 Ogos 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Pelawak Imuda kerugian RM7,000 rumah dipecah masuk

Posted: 28 Aug 2012 01:58 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal tanah air, Ab Rahim Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda kerugian RM7,000 apabila kediamannya di Taman Datuk Ahmad Razali, di sini dipecah masuk baru-baru ini.

Namun Imuda, 52, hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 3 petang semalam selepas beliau bersama keluarganya baru pulang selepas bercuti raya selama 10 hari di Pulau Pinang.

"Bila sampai di rumah, saya lihat kesemua bilik saya berselerak dan mendapati komputer riba milik isteri, tiga telefon bimbit, wang tunai RM300 serta koleksi jam tangan saya hilang," katanya kepada pemberita di kediamannya hari ini.
Berikutan itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya.

Imuda berkata, suspek kemungkinan terdiri daripada tiga atau empat individu dan masuk melalui tingkap dan jeriji depan yang diumpil menggunakan pemutar skru.

"Mereka (suspek) sempat makan kuih raya dan minum air sirap yang berada di dapur," katanya.

Imuda yang mula dikenali dalam sitkom komedi 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' itu berkata, kes pecah rumah dan ragut sudah banyak kali berlaku di kawasan kediamannya dan isterinya, Zabarina Haja Mushadi, 30, pernah cuba diragut namun diselamatkan jiran yang melihat kejadian itu.
"Bulan lalu rumah jiran depan saya juga pernah dimasuki perompak," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superitendan Nazri Nawawi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Kita sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah yang jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda," katanya.

- BERNAMA

Mayat lelaki ditemui di pantai Pusat Latihan Maritim Sarawak

Posted: 28 Aug 2012 01:54 AM PDT

MIRI: Seorang lelaki ditemui mati, dipercayai dibunuh dengan objek tajam, di pantai Pusat Latihan Maritim Sarawak Kuala Baram, di sini, hari ini.

Mayat lelaki itu ditemui separuh bogel dalam keadaan tangannya diikat di belakang badan dengan seluar dalam, kata Ketua Polis Miri, Asisten Komisioner Mun Kok Keong kepada pemberita, di sini.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, lelaki yang dianggar berusia 30-an itu dibunuh dalam tempoh 24 jam lalu.
"Polis menerima panggilan daripada orang awam jam 8.30 pagi ini dan selepas sampai ke tempat kejadian mangsa ditemui tertiarap dengan tangan diikat di belakang, kesan luka di sebelah kiri muka dan tanpa dokumen pengenalan diri," katanya.

Polis juga percaya mangsa adalah rakyat tempatan berdasarkan kesan suntikan vaksin Bacille Calmette Guerrin (BCG).

"Mangsa mempunyai tatu naga di bahagian belakang badan, tatu bunga di lengan kiri dan tatu berbentuk simbol Ying Yang, simbol tradisi masyarakat Cina di lengan sebelah kanan.

"Saya berharap sesiapa yang mengenali mangsa atau kehilangan ahli keluarga boleh tampil segera bagi membantu siasatan," katanya.
- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan