Ahad, 12 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lemah seluruh badan

Posted: 11 Aug 2012 10:52 AM PDT

LANGKAWI: Sepasang suami isteri lemah seluruh tubuh sebaik tiba di lokasi kemalangan yang mengorbankan anak sulung mereka selepas kereta dinaiki terbabas sebelum merempuh pokok dan tiang lampu di Jalan Padang Mat Sirat-Sungai Mengkulu, di sini, awal pagi semalam.

Lebih memilukan apabila mangsa, Muhammad Afiq Noor Azam, 18, bersama rakannya yang juga pemandu kereta, Amirul Ihsan Ismail, 22, tersepit di tempat duduk masing-masing selama 30 minit sebelum dikeluarkan anggota bomba.


Kemalangan dipercayai berlaku jam 2.15 pagi berhampiran Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, menyebabkan Muhammad Afiq mati di tempat kejadian, manakala Amirul dari Kampung Padang Kandang, cedera parah, termasuk patah kaki kiri.

Mereka yang menaiki kereta Honda Civic dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Kuah menuju ke Padang Mat Sirat.


Bapa Muhammad Afiq, Noor Azam Abdullah, 41, dari Kampung Kuala Teriang, di sini, berkata arwah dilihat keluar dari rumah kerana mahu bertemu rakannya jam 8 malam sebaik selesai berbuka puasa, tetapi tidak pula memaklumkan arah tujuannya.


Menurutnya, dia bersama isteri, Norhayati Ludin, 38, bagaimanapun terkejut apabila rakan arwah datang ke rumah jam 2.30 pagi sambil memaklumkan Muhammad Afiq meninggal dunia selepas terbabit kemalangan.

"Kami bergegas ke tempat kejadian, tetapi anggota badan tiba-tiba lemah dan tidak mampu menghampiri apabila melihat kereta yang remuk, sebaliknya terus menuju ke Hospital Langkawi (HL).


"Arwah memang menunjukkan kelakuan ganjil ketika berbuka puasa bersama keluarga di rumah, dua hari lalu apabila bersungguh-sungguh meminta untuk mencium pipi neneknya yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

"Malah, beberapa hari sebelum itu dia asyik menyebut nama moyangnya yang meninggal dunia empat bulan lalu, dan saya tidak menyangka ia menjadi petanda arwah akan pergi buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui di bilik mayat HL, di sini, semalam.


Menurutnya, dia sebelum ini bercadang menghantar arwah yang juga anak sulung daripada empat beradik mengikuti kursus bidang makanan supaya dapat meneruskan usaha membuka sebuah kafe kerana menjadi harapan keluarga.


"Harapan kami sekeluarga tidak kesampaian apabila arwah pergi terlebih dulu, tetapi saya menganggap apa yang berlaku sebagai ujian Tuhan ketika Ramadan dan menerimanya dengan hati terbuka serta reda," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harrith Kam Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki remaja terbabit terbabas dan merempuh sebatang pokok serta tiang lampu jalan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/12


Persiapan raya hangus

Posted: 11 Aug 2012 10:00 AM PDT

BAYAN LEPAS: "Saya terkejut dan sedih...dalam sekelip mata rumah saya musnah dijilat api. Lebih memilukan, semua persiapan untuk hari raya termasuk baju dan kuih-muih hangus dalam kebakaran ini," kata Ghayah Ahmad, 65, mangsa kebakaran di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, rumah Ghayah bersama seorang lagi jirannya musnah dalam kebakaran itu.


Difahamkan, kedudukan rumah yang rapat selain diperbuat dari papan menyebabkan api mudah marak sekali gus memusnahkan kedua-dua rumah terbabit dalam tempoh singkat.

Ghayah berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu rumah sebelum ternampak api dari rumah jiran.


"Sejurus ternampak api itu, saya berusaha keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan kerana kejadian berlaku pantas," katanya.


Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.03 petang dan mengambil masa lapan minit untuk memadamkan kebakaran itu.

"Siasatan awal mendapati jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM30,000 dan punca sebenar kebakaran masih disiasat. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/12


Tiada ulasan:

Catat Ulasan