Rabu, 1 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ubat sengsara

Posted: 31 Jul 2012 12:55 PM PDT

SERDANG: Sengsara lebih 3,800 penduduk Taman Putra Budiman dan kawasan sekitar yang terputus bekalan air sejak lebih seminggu lalu terbela selepas Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) tampil menghulurkan bantuan segera dengan membekalkan air menerusi lori milik Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Ia berikutan aduan penduduk yang tidak tahan selepas terpaksa mengangkut air setiap hari untuk kegunaan mereka di pangsapuri berkenaan dan keadaan menjadi lebih teruk terutama ketika umat Islam berpuasa.


Seorang penduduk, Azizah Abu Bakar, 34, berkata dia terpaksa mengangkut air ke rumahnya di tingkat tiga untuk kegunaan seharian dan ia menjejaskan kehidupan seharian dengan empat anaknya yang masih bersekolah.

Katanya, bekalan air hanya akan diterima pada waktu tengah malam dan awal pagi menyebabkan ada penduduk terpaksa menunggu di bawah pangsapuri semata-mata untuk mengambil air menggunakan baldi.


"Saya sendiri terpaksa bergilir dengan anak mengangkut air sehingga tengah malam dan pada masa sama perlu menjaga anak kecil baru habis pantang. Kalau keadaan begini berterusan, tak tahulah bagaimana persiapan Aidilfitri nanti," katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan tong air disampaikan Pengerusi GPRS, Datuk Sohaimi Shahadan, semalam.


Seorang lagi penduduk, Siti Aishah Adnan, 48, berkata sejak bekalan di kawasan itu terganggu, dia menghadapi kesukaran melakukan kerja rumah termasuk menyiapkan dua cucunya yang masih kecil kerana perlu mengangkut air.

"Saya sudah penat kerana berlarutan dalam tempoh lama. Kalau sebelum ini pernah berlaku, tapi hanya sementara. Ini tidak, pihak berkenaan seolah-olah lepas tangan dengan apa berlaku walaupun dalam bulan puasa," katanya.


Sementara itu, Sohaimi berkata, pihaknya akan terus memperjuangkan isu berkaitan rakyat Selangor dengan memberikan bantuan meringankan beban terutama mereka kurang mampu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/01


Perpaduan benteng kekuatan negara

Posted: 31 Jul 2012 12:51 PM PDT

PUTRAJAYA: Perpaduan menjadi benteng kekuatan negara dan kunci utama keselesaan dinikmati rakyat Malaysia ketika ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata, rakyat di negara ini bebas melakukan majlis ibadah, berpuasa dengan tenang dan selesa tanpa sebarang ketakutan.


"Kita amat bernasib baik dan beruntung kerana negara yang bakal menyambut kemerdekaan ke-56, 31 Ogos ini sentiasa berada dalam keadaan aman dan harmoni," katanya ketika berucap pada Program Nur Ramadan dan berbuka puasa bersama warga Putrajaya dan kementerian di Presint 8, di sini, semalam.

"Banyak negara lain khususnya negara Islam, biasanya akan tumbang atau hampir tumbang pada bulan Ramadan, tahun ini Syria, tahun lalu Mesir dan sebelumnya Libya.


"Ini satu peringatan kepada kita bahawa kekuatan mana-mana negara datangnya dari perpaduan, tanpa perpaduan akan berlaku seperti negara berkenaan, ia menjadi benteng negara kerana tanpa perpaduan akan ada orang yang akan mengambil kesempatan," katanya ketika berucap pada Program Nur Ramadan dan berbuka puasa bersama warga Putrajaya dan kementerian di Presint 8, di sini, semalam.


Pada majlis itu, Raja Nong Chik turut menyampaikan sumbangan kepada 300 penerima termasuk warga emas, anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) serta 300 kakitangan sokongan yang bertugas di kementerian dan agensi.

Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi RM10,000 kepada Surau Putra Al-Amin bagi membantu jawatankuasa surau melaksanakan program pengimarahan dan penambahbaikan untuk kegunaan masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/01


Tiada ulasan:

Catat Ulasan