Rabu, 22 Disember 2010

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


'Cantas' bantu atasi masalah

Posted:

'Cantas' bantu atasi masalah

'Cantas' bantu atasi masalah

Oleh Amran Mulup
utusanterengganu@utusan.com.my

JASIN 21 Dis. - Penggunaan pemotong sawit bermotor dikenali sebagai Cantas dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan kira-kira 40,000 tenaga kerja di ladang kelapa sawit di seluruh negara.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Seri Shahrir Abdul Samad berkata, Cantas yang digunakan untuk menuai tandan dan memotong pelepah sawit adalah alternatif terbaik yang dapat menyelamatkan industri sawit negara daripada terjejas akibat kekurangan pekerja di ladang.

Menurutnya, kekurangan pekerja ladang di seluruh negara disifatkan amat serius pada masa ini dan jika masalah itu tidak diatasi ia akan menjejaskan produktiviti terutama untuk pasaran eksport ke luar negara sebanyak 85 peratus.

Beliau berkata, kekurangan pekerja di ladang berpunca apabila kebanyakan pekerja dari Indonesia mula pulang ke negara masing-masing sejak banyak ladang kelapa sawit dibuka di negara itu.

''Setakat ini ladang-ladang kelapa sawit menghadapi masalah pekerja untuk menuai dan memotong pelepah dan MPOB menganggarkan kira-kira 40,000 pekerja diperlukan bagi memastikan produktiviti tanaman sawit tidak terjejas dalam tempoh dua tahun akan datang.

''Penggunaan Cantas dikenal pasti sebagai langkah ke arah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing di sektor perladangan khususnya bagi penuaian buah sawit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Jasin di Dewan Alamanda di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Mohd. Yazed Khamis.

Shahrir berkata, penggunaan Cantas akan dapat menjimatkan tenaga pekerja kerana ia hanya memerlukan tiga pekerja berbanding lima pekerja untuk kerja-kerja menuai dan memotong pelepah.

''Lebih penting, hasil pengeluaran sawit dapat ditingkatkan sebanyak dua kali ganda daripada 1.8 tan metrik kepada 3.2 tan metrik bagi seorang pekerja sehari berbanding penuaian secara manual," katanya.

Justeru kata beliau, kira-kira 166,018 pekebun kecil yang mengusahakan kira-kira 634,453 hektar kawasan tanaman kelapa sawit di seluruh negara wajar menggunakan Cantas untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan.

Katanya, pada masa ini sebanyak 180 pemotong sawit bermotor telah dibeli oleh pekebun kecil manakala 220 lagi telah memohon untuk membelinya.

Bagi menggalakkan penggunaan Cantas berharga RM2,500 sebuah, Shahrir berkata, MPOB telah menyediakan Skim Diskaun Cantas dengan potongan sebanyak RM1,000 bagi memudahkan pekebun kecil membelinya.

Katanya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5.3 juta bagi pelaksanaan skim diskaun kepada pekebun kecil.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Rumah tradisional terbakar

Posted:

Rumah tradisional terbakar

Rumah tradisional terbakar


SEBUAH rumah Melayu tradisional di Kampung Mortem musnah dalam kebakaran, kelmarin.


MELAKA 21 Dis. - Sebuah rumah tradisional Melayu musnah dalam kebakaran yang berlaku di Perkampungan Morten di sini semalam.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pukul 12.20 tengah hari itu kerana rumah berkenaan tidak berpenghuni sejak empat bulan lalu.

Sidang Kampung Morten, Abdullah Tamby Hussin berkata, dia dimaklumkan mengenai kebakaran itu daripada penduduk kampung di situ.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka kepulan asap yang datang dari arah rumah itu adalah hasil pembakaran sampah oleh penduduk

Namun, kata Abdullah, penduduk mendakwa sisa kebakaran itu kemudian merebak ke kawasan rumah terbabit sehingga berlaku kebakaran.

"Tanpa berlengah, saya terus menghubungi bomba dan dalam masa yang sama cuba menghubungi pemilik rumah berkenaan yang kini menetap di Kampung Bachang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Abdullah memberitahu, rumah tersebut ditinggalkan penghuninya akibat masalah keretakan pada struktur rumah dipercayai kesan daripada kerja-kerja menaik taraf Sungai Melaka hampir dua tahun lalu.

Menurutnya, rumah ini diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada 1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan pusat tarikan pelancong.

Katanya, rumah itu telah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dengan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi proses membaik pulih dan kerja-kerja terbabit baru beberapa hari dimulakan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, Yazid Mohd. Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.24 tengah hari.

Katanya, sebanyak dua jentera bomba dikerahkan ke tempat kejadian dengan kekuatan anggota seramai 12 orang termasuk tiga pegawai.

"Sebaik sahaja kami sampai, api sudah marak berikutan sebahagian daripada struktur rumah berkenaan diperbuat daripada kayu.

"Pihak kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan api secara keseluruhannya dan setakat ini punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan