Utusan Online - Kota |
Posted: DBKL beri kata duaOleh ROSLAH OTHMAN
KUALA LUMPUR 22 Dis. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi tempoh sehingga 3 Januari ini untuk peniaga di Jalan Damai di sini berpindah ke lokasi lain. Jika arahan itu gagal dipatuhi, tindakan menyita serta merobohkan 28 premis di situ yang didapati menukar premis kediaman untuk aktiviti perniagaan akan diambil. Daripada 28 premis itu, 12 premis dijadikan restoran, empat pejabat, dua kedutaan, dua sekolah dan kolej, dua kedai perabot dan dua rumah kelab dan masing-masing satu dijadikan tapak semaian, tadika, spa dan galeri. Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup menegaskan, tindakan itu bukan sahaja membuktikan pihaknya bersikap tegas dan telus tetapi juga bagi menepati perencanaan pembangunan di ibu negara. Menurutnya, tindakan itu juga adalah bagi memastikan keindahan bandar raya Kuala Lumpur terpelihara dan keselesaan dan keselamatan warganya terjamin. "Mungkin ada yang mempersoalkan kenapa tindakan penguatkuasaan tidak diambil sejak dahulu "Hakikatnya, sejak tahun 2005 lagi notis sudah dikeluarkan tetapi atas dasar timbang rasa dan untuk memberi mereka masa secukupnya, peniaga diberi peluang sehinggalah pada Julai lalu. "Dan kini Datuk Bandar Kuala Lumpur telah mengeluarkan arahan sekali lagi agar semua perniagaan yang terlibat menghentikan operasi berkuat kuasa 31 Disember," katanya pada sidang akhbar di sini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Perancang Bandar DBKL, Mahadi Ngah dan timbalannya, Ismail Yusuf. Salleh berkata, selain menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai kacau ganggu terutama bunyi bising dan masalah lalu-lintas kerana ada premis yang beroperasi sehingga awal pagi, pelbagai aspek lain turut diambil kira. Katanya, pengusaha terlibat juga menyalahi Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982 iaitu menukar kediaman kepada premis perniagaan, malah mengikut Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020, kawasan tersebut dizonkan untuk kediaman dengan kepadatan 80 orang seekar. "DBKL berasa tempoh satu tahun yang diberikan melalui notis yang dikeluarkan pada November 2009 sudah cukup untuk pengusaha mencari kawasan perniagaan lain," ujarnya. Sementara itu, pada sesi penyerahan notis terakhir kepada pengusaha yang terlibat, ada pengusaha berjanji akan akur dengan arahan tersebut dan tidak kurang juga yang tidak bersetuju. Seorang pengusaha restoran, Md. Jamil Aris berharap DBKL dapat mempertimbangkan rayuan mereka agar diberi peluang bagi meneruskan perniagaan di situ kerana Jalan Damai berpotensi menjadi kawasan tumpuan pelancong. Dia yang menjalankan perniagaan makanan Asia Barat sejak 2002 berkata, perkara itu perlu diperhalusi demi masa depan peniaga. "Saya tidak faham kenapa sebelum ini DBKL tidak menimbulkan perkara ini. Sebelum kawasan ini dibuka pada 2002, kawasan ini tiada apa-apa. "Tetapi kini ia menjadi kawasan tumpuan ramai khusus pelancong asing. "Saya harap DBKL memberi peluang kepada kami termasuk mengadakan sesi dialog bagi mencari jalan penyelesaian menang-menang," ujarnya. Pandangan yang sama turut dilontarkan oleh Sharifah Zainab Syed Ahmad, 48, yang juga pengusaha restoran makanan Arab. Anak jati Kuala Lumpur itu berpendapat masih banyak cara yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah yang didakwa ditimbulkan oleh pengusaha di situ. "Sekiranya sesak jadi alasan, saya percaya masih ada jalan untuk menyelesaikan perkara itu tetapi bukan dengan menutup perniagaan kami," katanya. | ||
Posted: Maksiat di bawah jambatanOleh RASMI ABDULLAH
KUALA LANGAT 22 Dis. – Suasana sunyi di taman permainan bawah jambatan Banting di sini menjadikan tempat itu tumpuan pasangan remaja untuk memadu kasih. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, taman permainan itu menjadi persinggahan pasangan remaja untuk melakukan maksiat tidak mengira waktu termasuklah di siang hari. Senario memalukan itu turut menyakitkan mata orang yang lalu lalang termasuk pemandu yang membuat pusingan untuk ke pekan Banting di kawasan tersebut. Seorang pemandu, Hanafi Sulaiman, 45, berkata, kelakuan pasangan kekasih bermesra dan berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai tidak sepatutnya berlaku kerana kadang-kadang terdapat kanak-kanak bermain di kawasan itu. Menurutnya, anaknya sendiri pernah bertanyakan perkara tersebut apabila melihat sepasang kekasih sedang berpelukan dan berciuman di bawah jambatan itu. "Saya malu melihat pasangan kekasih duduk berdua-duaan di kawasan ini tanpa menghiraukan orang yang lalu lalang di situ. "Pihak berkuasa perlu tegas dan lebih kerap mengadakan rondaan bagi memastikan kawasan ini bebas daripada sebarang perlakuan maksiat," ujarnya. Seorang lagi pengguna, Mohd. Fuad Salleh, 26, berkata, kawasan riadah di situ selalu dikunjungi pasangan kekasih kerana keadaannya yang agak sunyi. "Saya lihat ada yang berpelukan ada juga yang tanpa segan silu menunjukkan kemesraan dan melakukan 'adegan panas' di khalayak ramai walaupun menyedari kawasan itu adalah tempat awam. "Papan tanda larangan ada dipasang di situ tetapi semua itu tidak mampu menghalang mereka daripada terus melakukan perbuatan tidak senonoh, malah tidak menghormati orang lain yang datang ke situ. "Setiap petang saya lalu di sini, pasti ada saja pasangan kekasih di sekitar kawasan ini, membuatkan saya rimas untuk lalu di sini," tambahnya. Bagi Mohd. Ali Bakar, 47, pula, kegiatan itu perlu dihentikan segera dan pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan sewajarnya agar gejala tersebut tidak berleluasa. Katanya, perlakuan seperti itulah yang mengundang pelbagai kesan negatif termasuk gejala membuang bayi yang kerap dilaporkan oleh media akhir-akhir ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan