Berita Harian: Wilayah |
Posted: 22 Dec 2010 06:46 PM PST Wilayah PENJUAL rokok haram beroperasi di kaki lima pekan Keningau. KENINGAU: Selain membuka `kaunter ekspres' menjual rokok di kaki lima kedai dan perhentian bas, penjual rokok haram di pekan ini juga ligat menjual rokok secara bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain di sekitar pekan ini bagi mencari pelanggan. Kegiatan tidak kira masa, dari pagi hingga malam, selagi masih ada orang ramai di pekan ini, seolah-olah operasi mereka tidak mendapat perhatian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau agensi penguat kuasa lain. Jika di Kota Kinabalu, kegiatan menjual rokok secara haram dilakukan secara sembunyi, di pekan ini, penjualnya berurus niaga secara terang-terangan tanpa gentar ketika menghulurkan rokok kepada orang ramai di kaki lima kedai. Bagi pengunjung luar di pekan ini, situasi itu agak mengejutkan kerana di kawasan lain, kegiatan menjual rokok di kaki lima kedai dilarang.Seorang pengunjung dari Kota Kinabalu, Awang Aming Abdullah, 36, berkata dia terkejut melihat ramai penjual rokok beroperasi di kaki lima kedai sekitar pekan ini dan lebih memeranjatkan ialah ada penjual bergerak menawarkan rokok secara terbuka kepada orang ramai. "Kalau di ibu negeri saya lihat penjual rokok haram takut menjual rokok secara terbuka kerana bimbang dirampas pihak berkuasa, tetapi di pekan ini situasi sebaliknya berlaku. "Di sini, rokok boleh dibeli dengan mudah di kaki lima kedai. Bagi perokok yang malas berjalan, mereka boleh menunggu kedatangan penjual rokok bergerak," katanya. Pekan ini menjadi tempat persinggahan pelancong yang melawat beberapa tempat menarik di pedalaman seperti Taman Pertanian Sabah di Lagud Seberang, Tenom dan Batu Punggul di Pensiangan. Rokok pelbagai jenama yang dijual di kaki lima pekan ini, dipercayai diseludup berikutan harganya lebih rendah berbanding rokok dijual secara sah. Awang berkata, penguatkuasaan yang lemah terhadap aktiviti penjualan rokok haram adalah punca pengedar rokok seludup dari daerah lain mengambil kesempatan memasarkan rokok itu di pekan ini secara berleluasa. "Kalau ada langkah penguatkuasaan lebih ketat, saya percaya kegiatan menjual rokok haram di kaki lima atau secara bergerak di pekan ini tidak berleluasa. Kegiatan ini turut menjejaskan perniagaan pengedar dan penjual rokok sah," katanya. Tinjauan Berita Harian di sini mendapati, kebanyakan penjual rokok haram di pekan ini adalah daripada kalangan warga asing atau penduduk dari daerah lain dengan kebanyakannya menjadikan lokasi tumpuan orang ramai seperti perhentian bas, pasar malam dan pasar raya sebagai sasaran. Harga lebih rendah berbanding rokok yang dijual secara sah mendorong orang ramai di pekan ini, khususnya golongan berpendapatan rendah, termasuk remaja lebih tertarik membeli rokok dipasarkan di kawasan kaki lima berbanding yang dijual di kedai. Isnin lalu, akhbar ini mendedahkan rokok pelbagai jenama yang dijual secara haram pada harga lebih murah mengandungi nikotin dan tar melebihi paras dibenarkan serta menggunakan daun tembakau yang tidak memenuhi piawaian Lembaga Tembakau Negara. |
Posted: 22 Dec 2010 05:03 PM PST Wilayah Lokasi Tedungan, Limbang dan Kuala Lurah tumpuan ramai setiap hariLIMBANG: Sesak sejauh tujuh kilometer dan menunggu selama empat jam, semata-mata untuk melepasi dua pos kawalan Imigresen dan Kastam di Tedungan, Limbang dan Kuala Lurah (Brunei), rutin harian, tiga hari dalam seminggu bagi pemandu di sini. Tidak hairan, ramai pemandu hilang sabar dan memotong barisan atau 'q' tanpa mempedulikan kenderaan lain di belakang. Situasi ini adalah rutin harian yang terpaksa dihadapi penduduk di utara Sarawak, setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad ketika melalui dua pintu sempadan Malaysia dan Brunei. Tinjauan Berita Harian ke lokasi itu baru-baru ini mendapati masalah kesesakan kenderaan di dua pintu sempadan berkenaan semakin serius.Terdapat kenderaan sekadar berpeluang melepasi kedua-dua pintu sempadan berkenaan selepas empat jam menunggu. Keadaan bertambah buruk apabila hanya terdapat beberapa anggota polis bertugas mengawal lalu lintas dan mengambil tindakan terhadap individu yang melanggar peraturan di situ termasuk kenderaan yang cuba memotong barisan. Apa yang mengecewakan, jumlah kaunter Imigresen dan Kastam yang dibuka pada hari berkenaan amat terhad iaitu dua atau tiga kaunter, bagi menampung ribuan kenderaan berpusu-pusu untuk keluar masuk.
Penduduk Brunei yang sering berulang alik ke Limbang untuk urusan perniagaan, Rasdan Muhid, 55, berkata jumlah kaunter keluar masuk sama ada di pihak Brunei atau Malaysia perlu ditambah ketika kesesakan kenderaan yang serius setiap hujung minggu. Beliau berkata, kedua-dua negara mempunyai hubungan dua hala yang amat baik sejak dari dulu. "Justeru, tiada sebab Malaysia dan Brunei tidak dapat menyelesaikan isu sempadan dengan dengan berkesan. Sekarang, Malaysia sudah mengorak langkah membesar dan menambah jumlah laluan kenderaan sama ada di Sungai Tujuh atau di Tedungan dekat Limbang," katanya. Penduduk Limbang, Abu Seman Jaraie, 33, berkata masalah kesesakan di pintu sempadan di Limbang jika dapat diatasi bakal merancakkan perkembangan ekonomi di bandar itu. Katanya, ramai rakyat Brunei berkunjung ke Limbang pada hujung minggu sama ada untuk beriadah atau istirehat hujung minggu. "Jika isu kesesakan dapat diatasi saya yakin lebih ramai penduduk Brunei akan berkunjung ke Limbang, mahupun Lawas pada hari berkenaan," katanya. Justeru, beliau mahu supaya pemimpin Malaysia tidak putus asa menyelesaikan isu sempadan berkenaan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan