Ahad, 1 Januari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ibu, ayah maut bersama

Posted: 31 Dec 2011 07:02 AM PST

KUALA KUBU BHARU: "Saya terkilan kerana tidak sempat menyambut tahun baru bersama ibu bapa yang terbunuh dalam kemalangan ngeri," kata Fizree Mohd Zakry, 25, mengulas tragedi menimpa keluarganya di Kilometer 419.5 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan persimpangan susur keluar Plaza Tol Bukit Tagar, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, kereta Proton Waja dinaiki ibunya, Latifah Hashim, 48, bapanya, Mohd Zakry Othman, 56, bersama tiga penumpang lain dikatakan terbabas lalu merempuh besi penghadang lebuh raya.


Menurutnya, ibu bapanya maut di tempat kejadian, manakala adiknya, Noor Fauzana, 22, Mohammad Fakrul, 17, dan rakan adiknya, Mohamad Ramadan Firdaus, 17, cedera ringan dan mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Sungai Buloh (HSB).

"Saya bergegas dari Terengganu ke Hulu Selangor apabila menerima panggilan daripada dua adik yang terbabit dalam kejadian itu, semalam.


"Sungguh terkilan apabila saya tidak dapat bertemu ibu bapa untuk menyambut tahun baru di Temerloh, Pahang. Tuhan lebih sayangkan mereka," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), di sini, semalam.


Fizree berkata, keluarganya dalam perjalanan pulang ke Felda Hulu Jempol, Temerloh, Pahang selepas menghadiri majlis kenduri perkahwinan jiran mereka di Alor Setar, Kedah.

Beliau yang turut berkunjung ke Kedah bagaimanapun pulang lebih awal kerana menyambung kerja di Terengganu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca daripada pemandu kenderaan yang mengantuk lalu terbabas dan melanggar besi bucu penghalang lebuh raya.


Katanya, kereta mangsa remuk teruk dan Mohd Zakry tertusuk besi yang membengkok di dalam kereta sepanjang tiga meter.


"Isteri mangsa, Latifah ditemui tercampak dua meter dari kereta melalui cermin depan. Sepasukan anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Kuala Kubu Bharu membantu mengeluarkan mayat mangsa dan tiga yang cedera," katanya.



Full content generated by Get Full RSS.

Pihak berkuasa tidak tutup sebelah mata

Posted: 31 Dec 2011 06:55 AM PST

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tidak pernah menutup sebelah mata atau terlepas pandang kehadiran pendatang di negara ini, malah sentiasa peka dan mengadakan pemeriksaan secara berterusan, termasuk yang terbabit dalam kegiatan tidak bermoral.

Kebanjiran pendatang, khususnya di Pulau Ketam, Klang, juga tidak terkecuali, terutama selepas operasi secara berkala disusun untuk membanteras kemasukan pendatang asing yang menjadikan pulau itu sebagai transit atau bekerja di situ.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, pihaknya sentiasa menjalankan operasi di lokasi terbabit dan terbaru, beberapa siri operasi berskala kecil dilakukan dan akan ditingkatkan secara konsisten selepas program pemutihan selesai.

Menurutnya, buat masa ini kebanyakan pegawai imigresen dikerah membantu dalam urusan pemutihan pendatang dan pemantauan serta penguatkuasaan dilakukan dalam skala kecil kerana memberi peluang kepada golongan pendatang mendaftar.


"Memang kita belum membuat penguatkuasaan tetapi jangan ingat kita menutup mata kerana kita juga menghantar anggota serta pegawai untuk memantau beberapa lokasi berisiko, jadi usah ada pihak mendabik dada dan mendakwa mereka masih terselamat.


"Majikan yang belum mendaftarkan pekerja mereka diharap segera mendaftar, manakala pendatang yang masuk secara sendirian boleh mencari jalan penyelesaian yang ada atau berdepan tindakan tegas," katanya.

Ditanya mengenai kewujudan pusat urut dan pusat pelacuran yang menawarkan aktiviti seks di kalangan warga asing di pulau itu, Alias berkata, golongan berkenaan juga tidak akan terlepas kerana mereka turut terikat dengan peraturan imigresen.


"Saya akan berbincang dengan Imigresen Selangor mengenai perkara ini tapi untuk pengetahuan, kami sebenarnya ada perancangan sendiri untuk menangani gejala itu, namun kini lebih menumpu kepada program pemutihan," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan perancangan dibuat, sebaliknya memberitahu sesuatu sudah dirancang.



Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan