Utusan Online - Muka Hadapan |
- Ketua Audit Negara perjelas laporan
- WCEF wujud pelaburan baru
- Sokong penjara mandatori sebabkan kemalangan
Ketua Audit Negara perjelas laporan Posted: Ketua Audit Negara perjelas laporan
KUALA LUMPUR 25 Jan. – Jabatan Audit Negara (JAN) menjelaskan bahawa Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 tidak ada menyebut perkataan-perkataan seperti kucar-kacir, 'in a mess' ataupun penyelewengan dalam laporan pengauditannya terhadap projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan. Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam kenyataan hari ini berkata, "Perkataan-perkataan ini telah digunakan oleh pihak-pihak lain dan JAN tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan." Katanya, pada pendapat JAN, sama ada terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek itu terpulanglah kepada penyiasatan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Menurut beliau, pada perspektif audit, sememangnya terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek itu yang menyebabkan kerajaan menangguhkannya pada Mei 2009, iaitu sebelum pengauditan, sehingga satu kajian daya maju dan model perniagaan dijalankan. "Perkara ini ada dinyatakan dalam LKAN 2010. Ia membayangkan Kerajaan Malaysia sememangnya sedar akan kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan projek ini dan telah mengambil tindakan untuk menentukan hala tuju projek," katanya. Ambrin menambah, pengauditan bagi projek NFC dibuat secara bebas dan profesional tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak dan sebarang kenyataan yang mempertikaikan kewibawaan dan integriti juruaudit JAN adalah dikesali. Tambah beliau, analisis audit mendapati objektif projek NFC masih belum dicapai sepenuhnya disebabkan pelbagai faktor yang dihuraikan dalam LKAN 2010. "Antaranya, mengikut perjanjian pelaksanaan yang ditandatangani pada Mac 2010, sasaran pengeluaran NFC iaitu 38,600 ekor lembu untuk tahun 2010 belum dicapai kerana Program Pembangunan Usahawan (EDP) yang melibatkan 130 pengusaha ladang satelit belum dilaksanakan lagi," katanya. Beliau turut menjelaskan bahawa perkara yang menjadi fokus utama pengauditan prestasi yang dijalankan oleh JAN itu adalah pencapaian projek NFC sejak penubuhannya pada tahun 2006 dan bukannya National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) sebagai sebuah syarikat. Menurutnya, NFCorp adalah sebuah syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mana Kementerian Kewangan Diperbadankan memegang satu golden share bernilai RM1, manakala modal berbayar berjumlah RM1.11 juta telah disumbangkan oleh Agroscience Industries Sdn. Bhd. Ambrin berkata, projek itu diaudit memandangkan ia penting dari segi pengeluaran makanan negara yang mana kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang besar kepadanya. Katanya, ini termasuk peruntukan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjumlah RM73.64 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi menampung kos pembangunan dan pengoperasiannya. "Daripada peruntukan ini, sejumlah RM48.71 juta telah dibelanjakan setakat akhir tahun 2010 oleh kementerian itu untuk menyediakan tapak seluas 2,000 hektar bagi projek ini. Kawasan ini kemudian dikurangkan menjadi 800 hektar sahaja," katanya. Beliau seterusnya memberitahu, geran pelancaran untuk penyediaan infrastruktur berjumlah RM13 juta diluluskan kepada NFCorp pada September 2007 dan setakat akhir tahun 2010, sejumlah RM6.52 juta telah dibayar kepada NFCorp untuk penyediaan infrastruktur seperti kandang dan jalan ladang. Ambrin berkata, pinjaman mudah berjumlah RM250 juta juga telah diluluskan kepada NFCorp menerusi satu perjanjian pinjaman yang ditandatangani pada Disember 2007 dan setakat Mac 2010, sejumlah RM134.7 juta telah dikeluarkan kepada NFCorp berdasarkan kepada tuntutan yang dibuat kepada Kementerian Kewangan. – BERNAMA. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: WCEF wujud pelaburan baruOleh HASHNAN ABDULLAH NAJIB Tun Razak bersama Michael Yeoh (tiga, kiri); Mohd. Sidek Hassan (kiri); Lee Kim Yew (dua, kiri); Chua Soi Lek (tiga, kanan); Jefry Cheah (empat, kanan) dan Koh Tsu Koon (dua, kanan) menggaul 'yee sang' sempena pelancaran Forum Ekonomi China Sedunia di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. – BERNAMA PUTRAJAYA 25 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak yang melancarkan Majlis Perniagaan Global Forum Ekonomi China Sedunia (WCEF) hari ini, yakin inisiatif itu akan memberi peluang kepada Malaysia untuk memainkan peranan penting dalam koridor Pertumbuhan Ekonomi Segi Tiga baru. Perdana Menteri berkata, ini kerana koridor yang merangkumi China melalui Asia Tenggara dan India hingga ke Asia Barat itu akan mewujudkan peluang perniagaan dan pelaburan yang sangat banyak. ''Satu usaha baru yang akan membina jambatan antara Timur dan Barat, pada masa sama ia untuk menggalakkan kerjasama, memperkukuh integrasi ekonomi dan meningkatkan perdagangan di rantau ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penganugerahan khas dan pelancaran Majlis Perniagaan Global Forum Ekonomi China Sedunia di sini. Pada majlis itu Najib menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat WCEF yang disampaikan penasihat WCEF, Datuk Seri Chua Soi Lek dan Penaung WCEF, Tan Sri Lee Kim Yew. Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Pengerusi WCEF dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (Asli), Datuk Michael Yeoh. Najib menerima anugerah itu berikutan langkah berani dan sumbangannya ke arah mentransformasi negara terutamanya dalam bidang ekonomi. Menurut Perdana Menteri, beliau percaya majlis perniagaan global itu bukan hanya dapat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik malah mengukuhkan hubungan dengan China dan peniaga Cina dari seluruh dunia. ''Majlis itu akan menjadi satu cara paling berkesan untuk mengumpul dan mengeratkan semua pemimpin dan usahawan yang bukan hanya dari China, India, ASEAN dan Asia Barat tetapi orang juga Cina dari seluruh dunia," katanya. Najib berkata, dalam iklim ekonomi semasa dan zon Eropah masih dibelenggu krisis kewangan teruk, ia kini bergantung kepada Timur, khususnya China, India dan ASEAN untuk memacu pemulihan dan pertumbuhan ekonomi global. ''Ini adalah masa kita, jadi marilah kita mengambil kesempatan pada perubahan dalam sejarah ekonomi dunia dan memastikan bahawa abad ke-21 diketuai oleh Asia. ''Saya tidak menggalakkan usaha persaingan yang wujud sejak sekian lama tetapi kita perlu saling melengkapi antara satu sama lain tetapi berasaskan keadaan ekonomi yang sedang kita hadapi sekarang ini, Asia perlu menjadi peneraju," katanya. Dalam ucapan sama, Najib berkata, kemampuan membina kekuatan dan bakat yang ada pada rakyat sendiri membolehkan Malaysia menawarkan apa sahaja di peringkat antarabangsa, sama ada sekarang atau masa depan. Malah, beliau menambah, kepelbagaian budaya tidak harus dilihat sebagai halangan sebaliknya kekuatan untuk memupuk kerjasama dalam mencapai kejayaan yang lebih besar. ''Pepatah Cina ada menyebut, jika anda ingin menikmati kemakmuran untuk tempoh setahun, maka berikan mereka makan. Jika anda mahu kemakmuran selama 10 tahun, tanamlah pokok. Dan jika anda mahu kemakmuran selama 100 tahun, bangunkan rakyatnya," katanya. Menyentuh penganugerahan itu, Najib menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat Cina. ''Tanpa sumbangan anda, Malaysia tidak mungkin berada di tahap sekarang ini, jadi saya ingin mengucapkan terima kasih atas penganugerahan itu," katanya. Majlis Perniagaan Global yang dijangka menghubungkan para pemimpin perniagaan dan usahawan dari China, Asia Tenggara, Australia dan Eropah itu turut menyediakan platform lain bagi pertukaran idea perniagaan, perkongsian pengalaman dan pengukuhan hubungan antara negara-negara di rantau ini. Majlis itu dibuka bukan sahaja untuk ahli perniagaan Cina malah kepada ahli perniagaan semua bangsa dan keturunan dan turut menggalakkan kerakyatan korporat global, tadbir urus korporat, etika perniagaan dan pertumbuhan hijau. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Sokong penjara mandatori sebabkan kemalangan Posted: Sokong penjara mandatori sebabkan kemalanganKUALA LUMPUR 25 Jan. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong pelaksanaan hukuman penjara mandatori terhadap pemandu yang menyebabkan kemalangan dan kematian sekiranya ia langkah terbaik menyedarkan golongan itu. Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hukuman itu perlu difikirkan memandangkan masyarakat selama ini tidak mengambil endah pesanan kerajaan dan pihak berkuasa sehingga menyaksikan bilangan kes kematian masih membimbangkan setiap kali Ops Sikap pada musim perayaan. ''Saya tengok tahun lepas bila IGP (Ketua Polis Negara) sudah cuba bawa pendekatan menyedarkan rakyat, merayu, mendidik, jumlah kemalangan dan kematian tidak menurun. "Jika itu (hukuman penjara) boleh menurunkan bilangan kematian di jalan raya, saya rasa kita tiada pilihan kerana usaha selama ini tidak berhasil," katanya kepada pemberita selepas selepas menghadiri Program Belia Anti Jenayah di sini hari ini. Beliau mengulas kenyataan anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye yang baru-baru ini menyarankan pihak berkuasa mengenakan hukuman penjara mandatori terhadap mereka yang memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan maut. Hishammuddin menambah, penggubalan undang-undang penjara mandatori itu perlu dirujuk serta dilaksanakan oleh Pejabat Peguam Negara dan sistem kehakiman sedia ada. "Kalau sekiranya undang-undang itu dapat dipinda dengan mengambil kira hukuman yang lebih berat, maka pihak polis hanya melaksanakan tugas sebagai penguat kuasa," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan