Utusan Online - Jenayah |
3,886 PATI, 106 majikan ditahan Posted: 3,886 PATI, 106 majikan ditahanOleh MUHAMMAD AZRUL RADI KUALA LUMPUR 19 Jan. - Sejumlah 3,886 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 106 majikan ditahan dan dikenakan pelbagai tindakan oleh Jabatan Imigresen menerusi operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) yang bermula sejak 10 Oktober tahun lalu. Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, jumlah yang ditahan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 35,323 PATI yang diperiksa sepanjang operasi. "Berdasarkan statistik, 823 PATI dan empat majikan telah didakwa di mahkamah, 580 PATI diusir dari negara ini, 257 PATI dan 24 majikan dikenakan kompaun dan 1,452 PATI serta 52 majikan masih dalam siasatan,'' katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini. Tambahnya, sebanyak 341,956 telah melalui proses pemutihan dan pengampunan manakala 26,760 majikan hadir di lapan pusat setempat operasi 6P. Daripada jumlah tersebut, katanya, angka paling tinggi dicatatkan ialah di pusat setempat Jabatan Imigresen Putrajaya iaitu 15,391 permohonan majikan bagi pemutihan 126,960 PATI diikuti Kompleks KDN Seberang Jaya, Pulau Pinang (3,507 majikan, 11,057 PATI) dan Kompleks KDN Johor Bahru, Johor (2,122 majikan, 8,928 PATI). "Selain itu, pusat setempat yang turut mencatatkan proses pemutihan tertinggi ialah Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya (2,125 majikan, 8,334 PATI); Jabatan Imigresen Presint 15 (823 majikan, 4,305 PATI); Kompleks KDN Kuantan, Pahang (1,339 majikan, 4,065 PATI); Kompleks KDN Jalan Duta (759 majikan, 4,036 PATI) dan Jabatan Imigresen Pelabuhan Klang (694 majikan, 2,483 PATI),'' katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Facebook ugut PM: Seorang lagi pelajar ditahan Posted: Facebook ugut PM: Seorang lagi pelajar ditahanALOR SETAR 19 Jan. – Polis menahan seorang pelajar wanita sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kuala Muda di sini berikutan kenyataan berbaur ugutan serta lucah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laman sosial Facebook miliknya. Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pelajar berusia 20 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9 pagi hari ini dan dibebaskan petang tadi setelah pihak polis mengambil keterangannya. "Pihak kami menerima laporan mengenai Facebook pelajar ini pada pukul 10 malam semalam dan setelah mengenal pasti siapa pemilik akaun Facebook tersebut, kami menahan pelajar ini di pusat pengajiannya. "Pelajar ini menggunakan nama samaran di dalam akaun Facebooknya dan setelah mengambil keterangan daripadanya, kami membebaskannya kerana dia akan mengambil peperiksaan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Menurut Ahmad, siasatan kes ini dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan pihak polis akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan. "Ibu bapa pelajar ini juga telah dipanggil dan mereka memberi jaminan bahawa anak mereka bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak polis pada bila-bila masa. "Pihak kami telah merampas telefon bimbit dan komputer riba milik pelajar ini untuk menyiasat isi kandungan peralatan tersebut," ujarnya. Tambahnya, pihak polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati apabila menggunakan Facebook dan tidak mengeluarkan sesuatu ancaman di dalam laman sosial tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan