Utusan Online - Timur |
- Rawat sisa kumbahan tekstil
- Nur Shairah Fatin mahu berkhidmat sebagai doktor di medan perang
- Konvensyen Kualiti Kampus Kesihatan USM
Posted: Rawat sisa kumbahan tekstilOleh YULPISMAN ASLI Universiti Malaysia Kelantan berjaya menggunakan jerami padi yang diubah suai secara kimia untuk menyingkirkan lilin dalam sisa kumbahan tekstil. KOTA BHARU 24 Jan. – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus menempa kejayaan dalam bidang penyelidikan, membabitkan rawatan air kumbahan tekstil menggunakan sisa pertanian iaitu jerami padi yang diubah suai secara kimia. Penyelidikan itu membabitkan proses penyingkiran lilin dalam sisa kumbahan efluen daripada industri tekstil iaitu pembuatan batik, yang boleh memberi kesan negatif terhadap rawatan air kumbahan di loji-loji. Kajian tersebut dijalankan oleh pensyarah kanan Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli (FASA) UMK, Dr. Wong Yee Ching membabitkan rawatan sisa kumbahan industri tekstil secara kimia menggunakan jerami padi sejak Jun tahun lalu. "Jerami padi yang digunakan untuk mengkaji tahap penjerapan kandungan lilin dalam sisa kumbahan tekstil, dari segi panjang dan kuantiti jerami padi yang digunakan serta kesan permukaan yang diubah suai secara kimia terhadap penjerapan lilin. "Ia juga bertujuan mewujudkan suhu penjerapan dan model kinetik untuk sisa pertanian dalam penjerapan lilin berbanding loji rawatan air sisa industri agar kestabilan penjerapan lilin dapat difahami dengan lebih jelas," katanya di sini baru-baru ini. Menurut beliau, jerami padi biasanya dianggap sebagai bahan buangan dan dibakar secara terbuka terutama ketika musim menuai padi sehingga mengakibatkan pencemaran udara. Pembakaran jerami padi juga mengundang bahaya dan menjejaskan kualiti hidup penduduk sekitar. "Jerami padi sebenarnya dapat dimanfaatkan dengan pengubahsuaian melalui kaedah kimia menerusi perawatan menggunakan agen pengaktif permukaan dan natrium hidroksida," ujarnya. Yee Ching memberitahu, setakat ini hasil keputusan positif dapat dilihat dengan penjerapan lilin di permukaan serta di liang kapilari jerami padi yang diubah suai melalui kaedah kimia. "Hasil muktamad penyelidikan dijangka diperoleh pada pertengahan tahun ini. Dengan adanya ciptaan inovasi kaedah pengubahsuaian secara kimia terhadap jerami padi ini, diharap ia dapat mengubah corak pelupusan jerami padi yang diguna pakai sebelum ini. "Selain itu, jerami padi juga boleh dijadikan bahan bermanfaat dalam proses rawatan sisa kumbahan industri tekstil terutamanya industri batik di samping dapat mengitar semula sisa bahan buangan sektor pertanian sejajar dengan konsep mesra alam," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Nur Shairah Fatin mahu berkhidmat sebagai doktor di medan perang Posted: Nur Shairah Fatin mahu berkhidmat sebagai doktor di medan perangKOTA BHARU 24 Jan. - Tutur bicara lembut Nur Shairah Fatin Badaruddin (gambar), 22, pasti mencairkan hati sesiapa sahaja yang mendekatinya tetapi harus diingat di sebalik kelembutannya itu darah bangsa pahlawan Bajau dan Bugis tetap mengalir dalam diri gadis yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini. Pelajar tahun tiga jurusan perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) ini ternyata membuktikan penampilan zahirnya tidak membataskan sifat kepemimpinannya apabila terpilih membarisi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM selaku Naib Yang Dipertua III merangkap Pengerusi MPP Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, sejak Mac tahun lalu. Nur Shairah yang merupakan anak tunggal perempuan dalam keluarganya ini fasih berbahasa Mandarin dan menganggap ia sebagai satu bonus dalam melunaskan kewajipannya sebagai pimpinan kepada pelajar berbilang kaum di kampus tersebut. Jelasnya, hasil pergaulan dan pemerhatiannya secara dekat, dia dapat melihat bagaimana sikap berbeza antara pelajar Melayu dan bukan Melayu dalam menangani pelbagai situasi yang melingkari kehidupan dalam kampus. "Pelajar Melayu lebih sabar dan tidak cepat mengkritik dengan masalah-masalah kecil tetapi pelajar Cina misalnya lebih mengambil berat dan mahukan tindakan segera jika ada sesuatu yang dilihat tidak berpihak kepada kebajikan pelajar. "Sebagai wakil yang mereka pilih, saya cuba menangani dan menjadi pemudah cara dengan pihak universiti. ''Pada zaman ini, setiap luahan bukan sahaja akan kita dapat secara berdepan tetapi juga melalui kemudahan laman sosial Internet yang sudah tentu lebih praktikal," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, baru-baru ini. Nur Shairah berkata, tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar mengajarnya menjadi lebih peka dengan keadaan sekeliling dan menuntutnya lebih cekap membahagikan masa lebih-lebih lagi dengan bebanan sebagai seorang pelajar jurusan perubatan. Anak kepada pasangan Badaruddin Mohd. Saidi, 59, seorang ejen penjual kereta dan Merineh Agu, 48, pengusaha kedai runcit ini mempunyai dua orang abang yang bertugas sebagai pensyarah dan dua adik lelaki yang juga sedang belajar di universiti. Semestinya cita-cita gadis bertudung litup ini adalah untuk menjadi seorang doktor tetapi Nur Shairah punya sasaran yang lebih jauh daripada itu. "Sejak dahulu lagi saya sudah impikan mahu merasai bertugas di kancah peperangan atau medan konflik, di tempat yang mana bantuan seorang doktor paling diperlukan. "Saya tidak takut dengan risiko kematian kerana dalam Islam syahid di jalan Allah adalah perkara yang seharusnya menjadi cita-cita setiap orang. "Saya pernah mendengar kisah Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, pengasas Mercy Malaysia yang begitu berani dan sikap beginilah yang mesti kita contohi," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Konvensyen Kualiti Kampus Kesihatan USM Posted: Konvensyen Kualiti Kampus Kesihatan USMSebahagian kakitangan yang menghadiri Konvensyen Kualiti Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. KOTA BHARU 24 Jan. - Sebanyak 12 kategori kualiti termasuk amalan '5S' dipertandingkan pada Konvensyen Kualiti Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) 2012 yang berlangsung di kampus itu baru-baru ini. Pertandingan yang melibatkan puluhan unit dan bahagian termasuk 31 wad di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) serta makmal penyelidikan dan diagnostik merupakan acara tahunan bagi mengiktiraf usaha warga kampus tersebut yang menunjukkan prestasi membanggakan dalam aktiviti berkaitan kualiti. Hadir menyampaikan sijil dan hadiah kepada pemenang ialah Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Omar Osman. Turut hadir Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed dan Pengarah HUSM, Datuk Dr. Zaidun Kamari. Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen Kualiti, Yusoff Abdullah dalam ucapannya berkata, kesemua unit dan jabatan yang mengambil bahagian dinilai sepanjang bulan November tahun lepas oleh juri yang dilantik. Pada kali ini, Jabatan Farmasi (Unit Pentadbiran dan Kewangan) HUSM memenangi tempat pertama kategori amalan '5S' yang julung kali dipertandingkan manakala Pejabat Pendaftar pula di tempat kedua dan ketiga, Makmal Kalibrasi CAL 25. Bagi kategori keceriaan dan kebersihan pejabat pula dimenangi oleh Bahagian Pentadbiran dan Perkhidmatan Sokongan Perpustakaan Hamdan Tahir manakala kategori asrama penuntut dimenangi Blok DM2 Desasiswa Murni, Klinik Pediatrik HUSM (klinik) dan Kaunter Penerimaan makmal Mikrobiologi dan Parasitologi Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) bagi kategori kaunter perkhidmatan pelanggan. Bagi tujuh kategori lagi iaitu makmal diagnostik dan analitikal dimenangi oleh makmal Hematologi PPSP manakala kategori wad dimenangi Wad 4 Timur Depan. Pemenang lain Makmal Pemakanan Pusat Pengajian Sains kesihatan (PPSK) bagi kategori makmal penyelidikan dan inovasi, premis makanan (gerai Kantin Desasiswa Nurani); laman web (Perpustakaan Hamdan Tahir); makmal komputer (Makmal Digital Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG)) dan landskap (Taman Herba Jabatan Pembangunan). Pada majlis itu juga, dua kumpulan inovasi dan kreatif iaitu Kumpulan Rehab Charger dan Kumpulan Lestari yang mengharumkan nama Kampus Kesihatan USM pada pelbagai pertandingan kualiti tahun lalu menerima wang tunai penghargaan masing-masing sebanyak RM2,000 dan RM2,500. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan