Utusan Online - Kota |
- Bela miskin bandar
- Kerajaan Selangor sekat suara rakyat
- Fiesta Dataran Nilai 2012 sasar 100,000 orang
Posted: Bela miskin bandarOleh MUHAMAD ZAID ADNAN Noh Omar diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras, Datuk Ir, Muhammad Bushro Mat Johor ke majlis perasmian program Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama rakyat di kawasan Perumahan Sri Cemara, Bandar Baru Sri Damansara, semalam. KUALA LUMPUR 28 Jan. - Barisan Nasional (BN) Selangor akan menjadikan usaha mengatasi miskin bandar di negeri itu antara manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, masalah kemiskinan bukan sahaja berlaku di luar bandar malah ia turut berlaku di bandar seperti di Selangor. Selain itu, katanya, masalah-masalah yang dihadapi penduduk flat kos rendah seperti ketiadaan prasarana sempurna juga akan mendapat pembelaan di bawah manifesto berkenaan. ''Ini menunjukkan (masalah kemiskinan) di bandar pun harus diberikan perhatian kerana pembelaan kemiskinan ini mesti dilihat seimbang di bandar dan kawasan luar bandar. ''Oleh itu, pembelaan kemiskinan bandar akan menjadi salah satu manifesto BN dan Insya-Allah kalau BN diberikan kepercayaan semula oleh rakyat Selangor, kita janji, kita akan buat lebih baik. ''Saya yakin kalau diberikan peluang kedua, maka saya boleh berikan keyakinan bahawa BN akan berikan satu perubahan dan harapan yang baru di Selangor," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama rakyat Parlimen Subang di Kawasan Perumahan Sri Cemara di sini hari ini. Noh dalam pada itu membidas kerajaan Parti Keadilan Rakyat Selangor kerana gagal melaksanakan manifesto mereka untuk membina premis perniagaan dan membela nasib peniaga di negeri itu. Pada masa ini, katanya, beliau hanya melihat kerajaan negeri mengambil tapak dan kompleks perniagaan yang disediakan kerajaan terdahulu serta menaikkan kadar sewa sehingga membeban dan memberi tekanan kepada peniaga sedia ada. ''Kita lihat, sewa-sewa premis perniagaan dinaikkan, orang yang telah berniaga dalam pasar terpaksa dikeluarkan, malah, peniaga pasar tani turut tidak terkecuali apabila sewa tapak sedia ada turut dinaikkan. ''Justeru, di mana janji mereka hendak bagi pembelaan kepada rakyat? Sebab itu kalau kita sayangi Selangor, kita kena yakini kerajaan BN sebab kita lihat kerajaan pembangkang ini mereka tahu ambil-alih tetapi tidak tahu mengurus," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Kerajaan Selangor sekat suara rakyat Posted: Kerajaan Selangor sekat suara rakyatKUALA LUMPUR 28 Jan. - Tindakan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menurunkan 10 kain rentang mengenai siri jelajah bekas Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali menunjukkan kerajaan negeri di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyekat kebebasan bersuara rakyat. Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, ini jelas bertentangan dengan prinsip yang sering dilaungkan sebelum ini kononnya mereka adalah pejuang kebebasan rakyat. "Dahulu, mereka lantang memperjuangkan hak tersebut dengan menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) menyekat hak bersuara, tetapi kini sebaliknya berlaku. "Setelah berjaya memegang kuasa, mereka menyekat kebebasan tersebut. Jelas pendirian mereka sudah berbeza," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran dan Perasmian Koperasi Melayu Petaling Berhad (Kopeta) di sini hari ini. Noh menegaskan kini terdapat dua individu yang dianggap parti pembangkang mampu menggugat kedudukan mereka pada pilihan raya umum akan datang. Katanya, dua tokoh tersebut ialah Hasan dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin. "Kedua-duanya dahulu antara pemimpin tertinggi pembangkang kini giat mendedahkan salah laku dan kepincangan yang berlaku dalam parti itu. "Setahu saya, setiap ceramah yang diadakan mendapat sambutan dan ini amat membimbangkan pembangkang,'' ujarnya. Beliau berkata, rakyat kini sudah sedar untuk menilai kerajaan yang lebih prihatin dan mampu membawa negara serta rakyat maju dalam pelbagai bidang. |
Fiesta Dataran Nilai 2012 sasar 100,000 orang Posted: Fiesta Dataran Nilai 2012 sasar 100,000 orangKUALA LUMPUR 28 Jan. - Fiesta Dataran Nilai 2012 yang akan dibuka percuma menyasarkan seramai 100,000 pengunjung dari tiga negeri berdekatan untuk melawat program itu di Nilai, Negeri Sembilan selama empat hari bermula 3 hingga 6 Februari ini. Fiesta anjuran Koperasi Pembangunan Sukan Malaysia Berhad (Kopsukma) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Nilai (MPN) itu bermula setiap hari pada pukul 12 tengah hari hingga 12 malam. Program sempena ulang tahun ke-10 itu juga dijangka menarik pengunjung dari Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, termasuk Kuala Lumpur. Setiausaha Kehormat Kopsukma, Yus Zanusy Yusuf berkata, fiesta itu juga dijangka akan menarik kehadiran majoriti golongan remaja bersesuaian dengan aktiviti sebagai promosi menjelang Hari Belia Negara 2012 peringkat kebangsaan pada Mei ini. ''Segenap lapisan masyarakat seisi keluarga patut berkunjung ke Fiesta Dataran Nilai 2012 di lokasi strategik itu kerana ia menjanjikan pelbagai acara istimewa, termasuk untuk kanak-kanak,'' katanya pada sidang akhbar fiesta itu di Kompleks Sukan Bukit Jalil, dekat sini semalam. Hadir sama Timbalan Pengarah Jualan dan Pemasaran Kopsukma, Zafarali Ali Akarbara, jurucakap program itu penyanyi popular 1980-an Shidee dan para penaja fiesta tersebut. Yus Zanusy menambah, secara keseluruhan pengisian fiesta itu akan dipenuhi gerai jualan makanan, minuman dan pameran meliputi industri kecil sederhana, sukaneka, futsal pasang serta permainan kanak-kanak. Di samping itu, katanya, satu majlis Forum Perdana Maulidur Rasul dan persembahan nasyid akan berlangsung pada 5 Februari ini, bermula pukul 8 malam. Tambahnya, acara menarik lain pada 6 Februari pula ialah pertandingan kereta dan motor kreatif, program BeliaHeboh@Nilai, konsert artis popular tanah air dan pertandingan karaoke. Yus Zanusy berkata, bagi mereka yang ingin menempah tapak gerai di fiesta itu masih boleh berbuat demikian dengan melayari website www.kopsukma.com atau menghubungi urusetia menerusi telefon 03-89968001, 017-2159784 dan 012-2187494. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan