Ahad, 29 Januari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bawa anak demam berjudi

Posted: 28 Jan 2012 09:39 AM PST

GEORGETOWN: Seorang bapa tergamak membawa anaknya yang demam semata-mata mahu berjudi, namun hajat untuk meraih keuntungan tidak kesampaian apabila dicekup polis dalam operasi di sebuah premis judi Internet di Relau, di sini, semalam.

Lelaki berusia 40-an itu turut memberi alasan isterinya sakit di rumah menyebabkan dia terpaksa membawa anak lelakinya berusia tiga tahun kerana tiada orang menjaganya.


Lelaki terbabit antara 62 yang ditahan termasuk seorang wanita lingkungan 30-an dalam operasi bersepadu judi yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) bermula jam 5 petang hingga 2 pagi semalam di 10 lokasi berasingan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, operasi dilakukan di sekitar Mount Erskine, Relau, Batu Ferringhi, Sungai Nibong, Jelutong, Dato Keramat dan Jalan Patani hasil maklumat awam dan intipan.


Katanya, sembilan premis kafe Internet yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian diperiksa dan 111 unit komputer pelbagai jenis yang diubahsuai menjadi permainan berunsur perjudian dirampas.


"Turut dirampas wang tunai berjumlah hampir RM41,000 serta beberapa peralatan perjudian.

"Kami turut terkejut apabila seorang bapa sanggup membawa anaknya yang sakit pada awal pagi semata-mata mahu berjudi," katanya ketika ditemui dalam Ops Sepadu Judi di sini, semalam.


Gan berkata, siasatan awal mendapati kafe Internet yang menjalankan kegiatan perjudian menawarkan pertaruhan serendah RM10 hingga RM100 dan mampu memperoleh hadiah wang tunai sehingga RM100,000 sehari hasil pertaruhan dibuat.

"Turut ditahan 13 penjaga dan 23 pelanggan berusia antara 20 hingga 50-an pelbagai bangsa untuk diambil keterangan diri," katanya.


Gan berkata, sebelum itu pada jam 5 petang, pegawai dan anggotanya turut menyerbu 'kasino rimba' buat kali ketiga berturut-turut di Jalan Mount Erskine, di sini.


Beliau berkata, 25 lelaki dan seorang wanita ditahan dan pelbagai peralatan perjudian dirampas.


Katanya, pihaknya turut merampas wang tunai RM37,865 daripada suspek yang ditahan, termasuk tiga dadu, mangkuk, 182 keping cip pelbagai warna dan satu meja serta 20 kerusi.



Full content generated by Get Full RSS.

Terlalu gembira

Posted: 28 Jan 2012 09:20 AM PST

KUALA KANGSAR: Seorang tauke kilang kicap tidak sempat merasai masakan ikan terubuk yang digemari apabila maut dengan kepala hampir pecah akibat digilis tayar lori.

Pengusaha kilang kicap jenama Bunga, Mohd Azmi Zakaria Zaidi, 67, maut selepas motosikal ditunggangi bergesel dengan sebuah lori berhampiran simpang 3, RPA 4, Jalan Kuala Kangsar menuju ke Manong, di sini, semalam.


Dalam kejadian jam 12 tengah hari , mangsa dikatakan menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Ketior, di sini, selepas menyelesaikan urusan perniagaan di bandar Kuala Kangsar.

Isteri mangsa, Basariah Badarshah, 46, berkata, suaminya sempat memberitahu ingin ke bandar Kuala Kangsar bagi menjelaskan bil dan membeli surat khabar.


Menurutnya, suaminya sempat meninggalkan pesanan meminta dia memasakkan ikan terubuk untuk hidangan makan tengah hari apabila dia pulang dari bandar nanti.


"Sebaik suami keluar dari rumah, saya segera ke pekan Manong untuk membeli ikan terubuk dimintanya. Namun saya terkejut apabila dihubungi seorang anak saudara memberitahu kemalangan itu.

"Saya terus menuju ke lokasi kemalangan sebelum melihat suami terbaring bermandi darah. Keadaannya ketika itu sungguh mengerikan dan saya hanya mampu menangis," katanya.


Basariah berkata, suaminya dipercayai digilis lori sebelum diseret beberapa meter selepas terjatuh.

"Dia sebelum ini menunjukkan sikap aneh apabila gemar bergurau dengan saya dan lima anak yang lain, sedangkan sebelum ini dia pendiam.


"Saya tidak pasti apa membuat dia terlalu gembira namun saya tidak menyangka gurauan itu adalah tanda dia akan pergi buat selama-lamanya," katanya.


Sementara itu, anak saudara mangsa, Mohd Faizal Othman, 30, berkata, dia pada mulanya tidak menyangka mangsa kemalangan yang terbaring di tepi jalan itu adalah bapa saudaranya.


"Saya ketika itu dalam perjalanan ke Kuala Kangsar untuk membeli barang dan berhenti apabila melihat beberapa orang berkumpul menyaksikan kemalangan jalan raya.


"Saya hanya mengetahui bapa saudara saya menjadi mangsa apabila terlihat motosikal yang dirempuh lori berkenaan,"' katanya.


Jurucakap bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar berkata, pemandu lori berkenaan yang berusia 40-an ditahan untuk diambil keterangan berhubung kemalangan itu.



Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan