Utusan Online - Dalam Negeri |
- Saya rasa seperti hendak mati - Nenek
- Fifi Ramadhani terkejut, trauma
- PM meriahkan perkahwinan Fairuzuan-Zulaiha
Saya rasa seperti hendak mati - Nenek Posted: Saya rasa seperti hendak mati - NenekOleh ASSIM HASSAN Asmah Abdul Hakim menunjukkan bagaimana dia dicekik suspek ketika sedang menyapu sampah di halaman rumah di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 24 Jan. - Nenek kanak-kanak yang dijadikan tebusan selama enam jam di rumah mereka di Kampung Baru di sini semalam, menyangka akan menemui ajalnya setelah dicekik oleh suspek dengan kuat kira-kira tiga minit. Asmah Abdul Hakim, 70, memberitahu, ketika itu dia hanya ingat mati kerana merasa sukar untuk bernafas. "Saya sedang menyapu di halaman rumah apabila dicekik suspek yang tiba-tiba muncul dari arah belakang. Dalam keadaan sakit saya cuba menjerit meminta tolong tetapi tidak berdaya. "Saya cuba melepaskan diri tetapi dia cekik lebih kuat sebelum suspek menolak sehingga jatuh terlentang ke tanah. Dalam detik itu, memang saya rasa seperti hendak mati," katanya ketika ditemui di rumah mereka di sini hari ini. Menurut Asmah, ketika itulah menantunya, Santi Ngadiono, 30, yang melihat kejadian itu dari dalam rumah berlari mengikut pintu belakang untuk menyelamatkannya. Katanya, suspek bagaimanapun meluru masuk ke dalam rumah dan terus mengambil pisau di dapur dan menjadikan anak Santi, Fifi Ramadhani Safruddin, 10, sebagai tebusan. "Santi kemudian memapah saya untuk berehat di rumah salah seorang jiran. Ekoran itu, saya cedera di leher dan pinggang kerana terjatuh," ujarnya. Dalam kejadian pukul 9.50 pagi itu, Fifi Ramadhani terpaksa mengharungi detik cemas selama enam jam apabila menjadi tebusan seorang lelaki dipercayai penagih dadah di rumah mereka di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru di sini. Full content generated by Get Full RSS. |
Fifi Ramadhani terkejut, trauma Posted: Fifi Ramadhani terkejut, traumaFifi Ramadhani ditemani ibunya, Santi Ngadiono ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 24 Jan. - Kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa tebusan seorang lelaki yang disyaki penagih dadah di rumah mereka di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru di sini semalam, masih lagi dalam keadaan terkejut dan trauma ekoran kejadian menimpanya. Ibu mangsa, Santi Ngadiono, 30, berkata, dia yang menemani Fifi Ramadhani Safruddin, 10, di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dapat merasakan perasaan anak sulungnya itu kerana sering terjaga daripada tidurnya malam tadi. Jelas Santi, anaknya itu juga tidak banyak bercakap dan hanya mendiamkan diri. Santi berkata, dia sendiri mengelak untuk bertanyakan peristiwa hitam itu bagi mengelak Fifi Ramadhani kembali mengingatinya. "Ekoran kejadian itu, Fifi mengalami luka kecil di leher dan perut akibat kesan pisau yang dihunus oleh suspek ketika dijadikan tebusan. "Kaki Fifi turut mengalami kesan calar dan lebam akibat diseret lelaki tersebut dari ruang tamu ke dalam bilik," katanya. Dalam kejadian pukul 9.50 pagi itu, Fifi Ramadhani terpaksa mengharungi detik cemas selama enam jam apabila menjadi tebusan seorang lelaki dipercayai penagih dadah di rumah mereka di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru di sini. Santi memberitahu, setakat ini, Fifi Ramadhani diminta oleh pegawai perubatan supaya berehat di HKL dan menunggu pemeriksaan pakar sebelum dibenarkan pulang. Dia berharap selepas menjalani pemeriksaan dan rehat secukupnya, anaknya itu dapat kembali pulih. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi hari ini berkata, kes tersebut telah selesai berikutan kematian suspek. Full content generated by Get Full RSS. |
PM meriahkan perkahwinan Fairuzuan-Zulaiha Posted: PM meriahkan perkahwinan Fairuzuan-ZulaihaNAJIB Tun Razak menabur bunga rampai kepada Fairuzuan Hamshi Mohamad Fatmi dan Siti Zulaiha Azmi ketika menghadiri majlis perkahwinan pasangan tersebut di Kota Bharu, semalam. KOTA BHARU 24 Jan. - Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memeriahkan majlis perkahwinan pasangan Fairuzuan Hamshi Mohamad Fatmi, 30, dan Siti Zulaiha Azmi, 28, di Jalan Hospital, di sini hari ini. Fairuzuan Hamshi, pengurus sebuah syarikat pengurusan ekuiti di Petaling Jaya, Selangor merupakan anak sulung kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh dan isteri, Datin Norsiah Musa manakala pasangannya seorang pegawai di Kementerian Kewangan di Putrajaya. Dalam kunjungan itu, Najib yang diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan rombongan tiba kira-kira pukul 1.30 petang meluangkan masa lebih sejam untuk meraikan pasangan mempelai termasuk menepung tawar kedua-dua pengantin baru itu. Hadir sama ibu bapa pengantin perempuan, Azmi Yusoff dan Noraini Yusuf. Fairuzuan Hamshi ketika ditemui merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas kesudian Perdana Menteri hadir pada majlis perkahwinannya. "Kunjungan Perdana Menteri besar maknanya daripada hadiah-hadiah yang diterima," katanya yang merancang berbulan madu ke Kepulauan Mauritius. Menurut Fairuzuan Hamshi, dalam kunjungan itu Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah dan menitipkan doa semoga dia dan isterinya berbahagia sehingga ke anak cucu. Sementara itu, Mohamad Fatmi gembira kerana Perdana Menteri sudi meluangkan masa meraikan majlis perkahwinan anak sulung daripada enam beradik itu yang turut dihadiri kira-kira 10,000 hadirin. Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu berkata, kedatangan Najib turut memberi peluang kepada penduduk sekitar untuk bertemu Perdana Menteri yang prihatin dan sentiasa memberi ruang kepada rakyat untuk mendekatinya. "Jadual Perdana Menteri amat ketat tetapi beliau sempat dan sanggup hadir. Ini ciri-ciri kepimpinan yang kita mahukan dan rakyat perlu menilai keprihatinan Perdana Menteri yang sentiasa memberi ruang waktu bertemu mereka," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan