Utusan Online - Timur |
- Semarak amalan bergotong-royong
- Ibu tunggal enam anak gembira rumah usang diperbaiki
- 17 guru bahasa Inggeris di Terengganu
Semarak amalan bergotong-royong Posted: Semarak amalan bergotong-royongIlias Husain (kiri) meninjau keadaan jalan yang berlopak untuk diperbaiki di Kampung Kolam, Bachok, semalam. BACHOK 22 Jan. - Amalan bergotong-royong perlu dikekalkan kerana ia boleh mengukuhkan perpaduan sesama penduduk yang berdepan arus pemodenan dan sering kesuntukan waktu untuk aktiviti kejiranan. Timbalan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian (MPPP) Bachok, Datuk Ilias Husain berkata, amalan itu perlu disemarakkan semula dalam konteks masyarakat berbilang kaum. Beliau turut menyarankan penglibatan secara aktif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyemarakkan semula semangat gotong-royong di kalangan masyarakat. "Semangat kejiranan dan saling hormat menghormati perlu dikukuhkan semula dengan melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai peringkat usia," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai gotong royong bersama 100 penduduk Kampung Kolam membersihkan parit di sini hari ini. Saliran parit sepanjang dua kilometer itu tersumbat kerana dipenuhi sampah sarap dan pokok yang tumbuh meliar sehingga menyebabkan 20 buah rumah sekitar kawasan itu sering dilanda banjir kilat. Ilias turut meluluskan peruntukan untuk menambak jalan ladang yang rosak di kawasan berkenaan. Mengulas lanjut, Ilias yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok berkata, kepimpinan UMNO termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keamanan Kampung Persekutuan (JKKKP) sudah diarah memberi kerjasama padu membantu menjayakan setiap program amal dan gotong-royong yang dianjurkan oleh penduduk. |
Ibu tunggal enam anak gembira rumah usang diperbaiki Posted: Ibu tunggal enam anak gembira rumah usang diperbaikiSebahagian daripada kakitangan, penuntut serta wakil anak syarikat TATIUC yang terlibat program membaiki serta membersihkan rumah Napisah Taib di Kampung Tanah Lot Baru Titian Berayun, Kemaman, semalam. KEMAMAN 22 Jan. - Nasib seorang ibu tunggal dan enam anaknya di Kampung Tanah Lot Baru Titian Berayun dekat sini yang hidup dalam sebuah rumah usang mendapat pembelaan apabila Kolej Universiti TATI (TATIUC) melalui program kemasyarakatannya bergotong-royong membaiki rumah keluarga tersebut. Menerusi peruntukan RM5,000 dan khidmat tenaga 80 orang warganya, mereka membaiki serta membersihkan rumah keluarga Napisah Taib, 48, baru-baru ini. Keluarga itu turut dibekalkan dengan peralatan rumah dan barangan dapur bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan yang lebih baik. Rektor TATIUC, Dr. Mohd. Rozailan Mamat @ Ibrahim berkata, ia merupakan program kali ketiga untuk sesi 2011/2012 bertujuan mendekatkan penuntut dengan masyarakat. "Dana untuk melaksanakan program ini disumbangkan oleh anak syarikat TATIUC iaitu Ruane TATI dan TATI Production. ''Gotong-royong pula dijayakan oleh kakitangan dan penuntut TATIUC, wakil anak syarikat TATIUC serta warga kerja Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Kijal," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Menurut Mohd Rozailan, program seumpama itu terus digerakkan berasaskan harapan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selaku Pengerusi Lembaga Pengarah TATIUC. Sementara itu, Napisah, yang bekerja di sebuah kedai membekalkan santan meluahkan rasa syukur dengan bantuan yang disalurkan. Katanya, tanpa bantuan mana-mana pihak, dia tidak mungkin dapat membaiki rumahnya yang usang kerana berpendapatan sekadar cukup untuk keperluan anak-anak. |
17 guru bahasa Inggeris di Terengganu Posted: 17 guru bahasa Inggeris di TerengganuKUALA TERENGGANU 22 Jan. - Seramai 17 daripada 50 Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright dari Amerika Syarikat (AS) yang dihantar ke negara ini akan ditempatkan di beberapa sekolah di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi Dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, penempatan tersebut merupakan tahun ketujuh negeri ini mendapatkan khidmat ETA sebagai salah satu usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Menurutnya, untuk program kali ini, pihaknya akan menumpukan penempatan di sekolah-sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah premier dan sekolah elit. "Program ETA sebenarnya bukan asing bagi kita kerana ia dilaksanakan di sini sejak 2006 lagi. "Bezanya pada tahun ini ialah, ia tidak lagi diletakkan di bawah seliaan kerajaan negeri sebaliknya telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. ETA merupakan program jaringan yang diwujudkan bagi mempromosikan pertukaran pendidikan antara Malaysia dan AS. Kumpulan 50 orang ETA itu tiba di negara ini pada 4 Januari dan sebahagiannya akan turut ditempatkan di Johor dan Pahang selama 10 bulan mulai 31 Januari ini. Menurut Ahmad Razif, berdasarkan pengalaman Terengganu, 100 peratus format dan modul yang pernah digunakan akan terus dikekalkan. Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk menambah bilangan tenaga pengajar menerusi program ETA itu pada tahun ini. "Kita ada pohon daripada Fullbright untuk tujuan itu tetapi mereka hanya sediakan 50 ETA untuk Malaysia kali ini. "Justeru, kita kini sedang mengenal pasti negara-negara lain termasuk United Kingdom untuk menambah bilangan tenaga pengajar Bahasa Inggeris di sini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan