Selasa, 24 Januari 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Penduduk bantah pindah kubur

Posted:

Penduduk bantah pindah kubur

Penduduk bantah pindah kubur

Oleh ABD RAZAK OSMAN
pengarang@utusan.com.my

SUNGAI PETANI 23 Jan. - Hampir 500 penduduk dari beberapa buah kampung di sekitar mukim Sidam Kiri di sini membantah kerja-kerja pemindahan kubur lama ke tapak baharu berikutan pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan itu yang dijangka bermula tidak lama lagi.

Mereka mendesak pihak berkaitan, termasuk Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dan Jabatan Mutfi Negeri Kedah mengkaji semula operasi pemindahan itu demi kebaikan penduduk kampung.

Dakwa mereka, tidak ada sebab kerja-kerja pemindahan kubur lama itu perlu dilakukan kerana kawasan tersebut belum pernah dinaiki air.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemindahan kubur itu, Zulkifli Idrus, 46, berkata, dia kecewa jika operasi pemindahan itu tetap diteruskan kerana kubur yang terletak berhampiran Masjid Jamek Sultan Abdul Halim, Sidam Kiri tersebut telah wujud lebih 50 tahun lalu.

Menurutnya, kebanyakan penduduk di Kampung Pantai Edau, Olak Madu, Lubuk Saga, Banggol, Padang Mahligai, Padang Buluh, Kubang Sapi, Lubuk Kiat dan Kemumbong Kuala yang meninggal dunia dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan.

"Buat masa ini, kami tetap membantah kerana ramai daripada keluarga kami telah dikebumikan di tanah perkuburan lama ini," katanya di sini, hari ini.

Menurut Zulkifli, semasa ukuran pertama dilakukan, kawasan perkuburan berkenaan tidak terlibat langsung dengan projek tebatan banjir itu tetapi apabila kali kedua dibuat, banyak kubur lama terpaksa dipindahkan pula.

Tegasnya, penduduk mahu pihak berkuasa menggunakan kaedah lain yang tidak menjejaskan kawasan kubur itu dan bersedia mengadakan perbincangan bagi tujuan tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk, Azmi Alang, 46, berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu banyak kubur anggota keluarganya yang terpaksa dipindahkan ke kawasan perkuburan baharu yang disediakan oleh pemaju projek tebatan banjir itu.

Katanya, perkara itu perlu dipandang serius, bahkan kawasan tersebut adalah tempat tinggi dan selamat daripada ditimpa banjir besar.

"Kami bukan penghalang untuk kerja-kerja pemindahan itu, kalau boleh kami ingin mendapatkan pandangan dari majlis agama dengan memberi alasan yang munasabah," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Sultan Perak meriahkan sambutan Tahun Baru Cina

Posted:

Sultan Perak meriahkan sambutan Tahun Baru Cina

Sultan Perak meriahkan sambutan Tahun Baru Cina


SULTAN Azlan Shah menyampaikan angpau kepada kanak-kanak sambil diperhatikan oleh Dr. Zambry Abd Kadir (kanan) pada majlis sambutan Tahun Baru Cina 2012 di Ipoh, semalam.


IPOH 23 Jan. - Lebih 15,000 rakyat pelbagai kaum hadir memeriahkan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri yang didakan di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Jalan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Majlis tersebut tambah bermakna dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun serta Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja MudaMusa; Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk R. Ganesan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Bercakap kepada pemberita pada majlis tersebut, Zambry melahirkan rasa puas dan gembira dengan kehadiran begitu ramai orang pada majlis rumah terbuka yang diadakan berkenaan.

"Saya lihat orang tidak berhenti-henti datang. Jumlahnya lebih ramai dari dahulu dan ia memang tidak disangka-sangka. Ini menandakan masyarakat kita (Perak) dapat berinteraksi dengan begitu baik sekali dan dapat menyambur perayaan ini (Tahun Baru Cina) bersama-sama.

"Lebih manis, keberangkatan Sultan Perak (Sultan Azlan Shah) dan Raja Permaisuri (Tuanku Bainon) yang berkenan mencemar duli untuk sama-sama merayakan sambutan ini bersama-sama rakyat di sini. Ia sungguh mengharukan kita," katanya.

Pada majlis tersebut, Zambry dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli turut memberi angpau kepada golongan kurang bernasib baik termasuk kanak-kanak

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, selain dapat menjamu selera di lebih 40 gerai makanan, para pengunjung yang datang hari ini juga dihiburkan dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian singa dan naga.

Full content generated by Get Full RSS.

70 murid sertai ekspedisi berbasikal KIM

Posted:

70 murid sertai ekspedisi berbasikal KIM

70 murid sertai ekspedisi berbasikal KIM

TASEK GELUGOR 23 Jan. - Seramai 70 murid sekolah rendah dan pelajar menengah di sekitar Tasek Gelugor menyertai Program Ekspedisi Berbasikal anjuran Kelab Komuniti 1Malaysia (KIM) di Kampung Besar di sini, semalam.

Kesemua mereka menyertai ekspedisi berkayuh ke Pantai Merdeka, Kedah sejauh 100 kilometer.

Upacara pelepasan peserta ekspedisi itu disempurnakan oleh bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd. Shariff Omar.

Pengerusi KIM kampung itu, Saidin Hassan berkata, program itu bertujuan memastikan murid tidak membabitkan diri dengan aktiviti tidak sihat dan membimbangkan ibu bapa mereka.

"Inilah cara terbaik untuk menarik minat murid sekolah menyertai program yang memberikan manfaat kepada mereka," katanya di sini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed dan Pengerusi Perkasa Parlimen Tasek Gelugor, Azmi Alang.

Melalui program itu, ibu bapa menyertainya dengan menaiki bas ke tempat yang sama.

Pengarah program itu, Rizal Abu Saman berkata, dia mengambil masa hampir sebulan bagi menarik murid sekolah menyertai ekspedisi itu.

"Program kayuhan begini tentu mencabar kerana pelbagai kenderaan lain turut berada atas jalan raya dan kita menasihatkan peserta agar berhati-hati semasa membuat kayuhan basikal itu," katanya.

Menurutnya, program itu juga membabitkan sesi ceramah diadakan pada sebelah malam.

Seorang peserta program, Azmi Selamat, 15, berkata, peserta yang menyertai program itu dinasihatkan bersemangat tinggi, cekal, tabah dan kuat bagi menghadapi sebarang rintangan sertai mencintai keindahan alam.

"Kami sanggup tinggal dalam khemah dan sedia mematuhi setiap arahan penganjur bagi program dua hari ini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan