Utusan Online - Jenayah |
Posted: Anak 'Datuk' direman 7 hariOleh OPAT RATTANACHOT
SUNGAI PETANI 18 Jan. - Seorang jurujual kereta yang melarikan diri selama enam tahun ketika disiasat dalam kes rogol dan bunuh seorang gadis, akhirnya berjaya dikesan dan ditangkap polis semalam. Suspek yang berusia 31 tahun dan merupakan anak seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' ditangkap sejurus tiba dari Perth, Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam. Suspek dibawa ke Kedah dan direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes rogol dan bunuh seorang eksekutif pemasaran, Chee Gaip Yap, 25, di kawasan perumahan Kelab Cinta Sayang di sini pada 14 Januari 2006. Perintah tahanan reman sehingga 23 Januari ini ke atas suspek dikeluarkan Majistret Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli, pukul 10.30 pagi ini. Utusan Malaysia difahamkan, suspek pernah ditahan polis kira-kira enam tahun lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis semasa menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA). Bagaimanapun, dia bertindak melarikan diri ke Australia dan memegang taraf penduduk tetap di sana sejak itu. Kes pembunuhan Gaip Yap pernah mendapat perhatian meluas masyarakat sebelum ini. Mangsa yang merupakan siswazah Universiti Utara Malaysia (UUM) dibunuh dengan kejam selepas dipercayai dirogol dan mayatnya ditemui pada awal pagi 15 Januari 2006 dalam keadaan separuh bogel di Jalan Kelab Cinta Sayang. Pembunuhan kejam itu berlaku semasa Gaip Yap keluar berjoging bersama adik perempuannya berusia 24 tahun. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut. Beliau berkata, polis cuba mengesan suspek yang bertindak melarikan diri ke negara kanggaru itu sejak tahun 2006. "Polis tidak pernah menutup kes ini dan sentiasa mengikuti perkembangan kes tersebut setiap dua bulan," katanya. Beliau berkata, polis turut bekerjasama dengan rakan setugas di negara itu bagi mengawasi pergerakan suspek di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara. "Bertindak atas maklumat berkenaan, polis berjaya menahan suspek di KLIA semalam selepas mendapat tahu dia memasuki negara ini melalui penerbangan dari Australia," katanya. Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk siasatan lanjut. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Bapa mahu kematian anak gadis mendapat pembelaan Posted: Bapa mahu kematian anak gadis mendapat pembelaanSUNGAI PETANI 18 Jan. - Bapa kepada eksekutif pemasaran, Chee Gaip Yap, 25, yang dibunuh dan dirogol dengan kejam enam tahun lalu, Chee Ah Sau, berharap lelaki yang ditahan polis semalam dibawa ke muka pengadilan jika benar-benar merupakan suspek utama dalam kes berkenaan. Ah Sau, 56, berkata, setiap kali mengenangkan kes tersebut terutama berdekatan sambutan Tahun Baru Cina, hatinya bagai disiat-siat. "Bapa mana yang sanggup melihat anak yang dididik dengan penuh kasih sayang, mati dibunuh dan dirogol dengan kejam. "Kalau boleh saya mahu melupakan perkara ini secepat mungkin dan berharap agar kes ini berjalan dengan lancar dan pembunuhnya mendapat hukuman setimpal dengan apa dia lakukan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. Polis semalam menangkap seorang jurujual kereta berusia 31 tahun sejurus dia tiba dari Perth, Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Suspek yang merupakan anak seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' itu dikatakan melarikan diri dan gagal dijejaki pihak berkuasa sejak enam tahun lalu. Kes pembunuhan Gaip Yap pernah mendapat perhatian meluas masyarakat sebelum ini. Mangsa yang ketika itu berusia 25 tahun merupakan anak ketiga daripada enam beradik ditemui mati dibunuh selepas dirogol di kawasan Kelab Golf Cinta Sayang dekat Taman Ria Jaya, pada awal pagi 15 Januari 2006. Menurut Ah Sau, kes itu berjalan selama enam tahun dan dia serta ahli keluarga tidak berputus asa untuk melihat orang yang melakukan perbuatan kejam itu dijatuhkan hukuman. Tambahnya, sebelum ini, lebih 10 suspek ditahan polis dalam kes tersebut tetapi dilepaskan kerana kekurangan bukti. "Saya tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan untuk anak saya dan saya mahu kematiannya terbela. "Sebagai bapa, saya hanya mahu keadilan bagi anak saya yang dibunuh dan dirogol dengan kejam," katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota polis terutamanya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang sentiasa memberi perhatian kepada kes tersebut. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan