Utusan Online - Utara |
Dana RM39 juta urus JKKKP Kedah Posted: Dana RM39 juta urus JKKKP Kedah Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH ALOR SETAR 20 Dis. - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) memperuntukkan sejumlah RM39.1 juta bagi perbelanjaan pengurusan kesemua 1,896 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di negeri ini pada tahun depan. Peruntukan itu menyaksikan peningkatan sebanyak 33 peratus berbanding tahun ini yang berjumlah kira-kira RM30 juta berikutan kenaikan elaun bulanan pengerusi kepada RM800 dan elaun menghadiri mesyuarat ahli jawatankuasa (AJK) kepada RM50 berkuat kuasa 1 Januari ini. Pengerusi Keda, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, daripada peruntukan berkenaan, sebanyak RM22.75 juta adalah untuk pembayaran elaun bulanan pengerusi dan setiausaha JKKKP manakala selebihnya bagi elaun mesyuarat kepada AJK. "Dengan jumlah yang begitu besar disediakan oleh kerajaan, saya mahu melihat JKKKP melakukan usaha berterusan dan kreatif dalam mengerakkan dan menjaga kawasan masing-masing. "Saya mahu mereka sentiasa berada di depan dalam apa jua perkara, jangan hanya melihat pihak lain aktif sedangkan kita tidak melakukan apa-apa," katanya selepas menyampaikan elaun JKKKP bagi Parlimen Alor Setar di sini semalam. Seramai 96 pengerusi dan setiausaha JKKKP dalam Parlimen tersebut menerima elaun masing-masing bagi Ogos hingga bulan ini yang kesemuanya berjumlah RM312,000. Dalam pada itu, Ahmad Bashah yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, mulai tahun depan, Keda menyasarkan untuk meningkatkan bilangan JKKKP yang mengadakan mesyuarat bulanan kepada 80 peratus berbanding hanya 30 peratus pada tahun ini. Katanya, jika terdapat JKKKP yang tidak berfungsi, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas. "Keda akan memantau dari semasa ke semasa perkembangan mesyuarat yang diadakan oleh kesemua 1,896 JKKKP di seluruh negeri. "Tindakan tegas termasuk menukar pengerusi akan diambil terhadap mereka yang gagal berfungsi dengan baik," katanya. | ||
Tarikan terbaru di Pulau Pinang Posted: Tarikan terbaru di Pulau PinangOleh ZABRY MOHAMAD
PULAU PINANG 20 Dis. - Bekas tapak pintu gerbang Taman Botani di sini yang terpaksa dirobohkan berikutan bantahan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa pembinaannya tidak mesra alam akan berubah menjadi taman terapung terbesar dan tercantik di negara ini. Dinamakan Dataran Teratai, ia meliputi kawasan seluas separuh padang bola sepak yang mempunyai tujuh kolam dan bakal ditanam dengan pelbagai tumbuhan menarik termasuk teratai gergasi serta pokok unik dibawa khas dari Madagascar. Pakar botani, Dr. Francis Ng berkata, kerja-kerja penanaman tumbuhan tersebut akan dimulakan Isnin ini dan taman tersebut dijangka dibuka kepada orang ramai pada Mac tahun depan. Menurutnya, projek oleh Kementerian Pelancongan bernilai RM1.5 juta itu merupakan taman terapung pertama dibina secara terancang di negara ini. "Taman ini bakal dipenuhi dengan pelbagai tumbuhan seperti teratai gergasi bergaris pusat 1.8 meter dan pokok unik dari Madagascar digelar Victoria Amazonica yang seakan-akan pokok keladi setinggi dua meter. "Tumbuhan-tumbuhan ini amat jarang boleh dilihat di negara ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Pada Jun lalu, pintu gerbang Taman Botani yang baru dibina dirobohkan atas permintaan orang ramai serta bantahan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa pembinaannya tidak mesra alam sekitar dan condong hingga boleh membahayakan pengunjung. Pintu gerbang bernilai RM150,000 itu dirobohkan dengan kos RM80,000. Kerja-kerja perobohan yang memakan masa enam hari dilakukan pada sebelah malam atas faktor keselamatan. Sementara itu, Pengerusi Jabatan Botani Pulau Pinang, Datuk Tengku Idaura Tengku Ibrahim memberitahu, pihaknya mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak termasuk NGO mengenai pembinaan taman terapung tersebut. Jelasnya, ia akan menjadi daya tarikan baru kepada pengunjung ke Taman Botani. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan