Khamis, 23 Disember 2010

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


4 balai polis bakal terima BLT

Posted:

4 balai polis bakal terima BLT

4 balai polis bakal terima BLT

Oleh FAUZI MOHD
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 22 Dis. - Empat buah balai polis di negeri ini dipilih untuk menerima Anugerah Liga Balai (BLT) sebagai pengiktirafan terhadap keberkesanan yang diambil untuk mengurangkan kadar kes jenayah.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kesemua balai tersebut adalah tiga balai polis di daerah ini iaitu Balai Polis Cendering, Balai Polis Cabang Tiga dan Balai Polis Manir serta Balai Polis Chukai dalam daerah Kemaman.

"Kesemua balai ini dipilih berdasarkan kejayaannya mengurangkan kadar jenayah setempat seperti yang digariskan sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Semua pencapaian ini dinilai terus oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui data kadar indeks jenayah yang dihubungkan secara langsung untuk tujuan pemantauan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini hari ini.

Lawatan tersebut merupakan yang terakhir beliau ke semua IPD di negeri ini sebelum menamatkan tugasnya di negeri ini.

Majlis penyerahan tugas kepada penggantinya, Datuk Jamshah Mustapha akan dilakukan pada Isnin depan.

Tambah Mohd. Shukri, anugerah BLT yang hanya dimenangi oleh kira-kira 20 buah daripada 754 balai polis di seluruh negara akan disampaikan oleh Ketua Polis Negara di Kuala Lumpur esok.

"Kemampuan memperoleh empat daripada 20 itu memperlihatkan prestasi yang cukup membanggakan warga polis seluruh negeri ini," jelasnya.

Katanya, IPD daerah ini pernah menjadi contoh terbaik dalam pengurusan keselamatan pilihan raya kecil pada tahun 2008 lalu di mana kaedah yang dilaksanakan menjadi contoh kepada IPD di negeri-negeri lain.

"Selain itu, ia telah mampu menurunkan kadar jenayah sebanyak 22.5 peratus berbanding tahun lalu di mana ia satu pencapaian yang besar memandangkan status daerah ini sebagai bandar raya.

"Pendekatan yang diambil pihak kami ialah mendekatkan diri dengan masyarakat setempat untuk membanteras jenayah termasuk di sekolah yang telah menampakkan hasil yang baik," katanya.

Sementara itu ujarnya, bangunan IPD daerah ini yang beroperasi sejak tahun 1960-an akan dinaik taraf dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) berdasarkan keperluan yang mendesak berikutan kepesatan daerah ini.

"Pembangunan itu meliputi pembinaan prasarana baru yang lebih selesa, penambahan kelengkapan logistik dan kekuatan anggota yang akan dikemas kini mengikut kapasiti penduduk," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

343 pelajar Terengganu terima ARP

Posted:

343 pelajar Terengganu terima ARP

343 pelajar Terengganu terima ARP

KUALA TERENGGANU 22 Dis. - Seramai 343 pelajar dari seluruh negeri yang aktif dalam pelbagai gerak kerja mendapat pengiktirafan dengan menerima Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARP) peringkat negeri tahun ini.

Daripada jumlah itu, seramai 148 pelajar menerima pingat perak manakala selebihnya pingat gangsa yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat.

Ia disampaikan pada Majlis Penganugerahan dan Pentauliahan ARP peringkat negeri di sini semalam.

Ketika berucap merasmikan majlis itu, Rozi berkata, penganugerahan pingat itu dibuat berdasarkan peningkatan pencapaian golongan muda melalui empat komponen utama.

"Empat komponen utama yang dinilai untuk tujuan pentauliahan ialah penglibatan dalam program khidmat masyarakat, kemahiran serta kreativiti, rekreasi fizikal dan penjelajahan lasak yang bukan bersifat pertandingan.

"Ketika ini juga, seramai 15 peserta dari negeri ini sedang dinilai oleh pihak badan operasi ARP untuk dianugerahkan pingat emas yang mana pengiktirafan ini belum diperoleh oleh anak negeri," katanya pada majlis itu.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri, Abd. Aziz Abd. Rahman dan Pegawai Rakan Muda JBS negeri, Rokiah Awang.

Penilaian kali ini melibatkan para pelajar dari enam buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, SMK Seri Bukit Puteri (Besut), Asrama Yayasan Terengganu (Kemaman), SMK Ketengah Jaya (Dungun), SMK Merchang (Marang) dan SMK Saujana (Setiu).

Rozi yakin anugerah itu mampu menjadi perangsang ke arah melahirkan generasi muda yang berdisiplin, bermoral, penyayang, beretika dan progresif selain berupaya menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara.

"Pengiktirafan itu membuktikan nilai-nilai positif dan peribadi kental telah diterapkan sebagai persediaan untuk memimpin negara sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara yang dinamik.

"Diharapkan lebih banyak sekolah di negeri ini dapat mewujudkan program sebegini kerana pengiktirafannya bukan saja pada peringkat gangsa iaitu sekolah.

''Ia juga pada peringkat perak dan emas iaitu antarabangsa apabila mereka dinilai bersama remaja dari seluruh dunia," ujarnya.

Dalam pada itu, Abd. Aziz menjelaskan, ARP adalah anugerah berkembar yang mana penerimanya turut diberikan Anugerah Remaja Antarabangsa dikenali sebagai 'The Duke of Edinburgh Award For Young People' yang diperkenalkan pada 1956 di United Kingdom.

''Ia telah berkembang pesat di seluruh dunia dengan pelbagai nama seperti The President Award di Afrika Selatan, Young Canadian's Challenge di Kanada dan The National Youth Achievement Award di Singapura.

"Apabila diperkenalkan di negara ini, ia dikenali sebagai ARP dan Kementerian Belia dan Sukan bertindak sebagai badan berkuasa anugerah peringkat kebangsaan," jelasnya.

Tambah beliau, program ini adalah satu-satunya program yang mengiktiraf penglibatan golongan muda berusia 14 hingga 25 tahun tanpa mengira perbezaan jantina, agama, budaya mahupun kemampuan fizikal dan mental.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan