Rabu, 22 Disember 2010

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Berjanji demi gila kuasa

Posted:

Berjanji demi gila kuasa

Berjanji demi gila kuasa

Oleh Zulkiflee Bakar

PAKATAN pembangkang yang disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas berjanji lagi, kali ini atas nama program 100 hari reformasi yang diuar-uarkan melalui buku kecil 'Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia'.

Janji terbaru itu dilaungkan pada konvensyen mereka pada Ahad lalu. Matlamat mereka hanya satu 'mengula-gulakan' rakyat bagi membolehkan cita-cita merampas Putrajaya tercapai dan memenuhi impian Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Soal sama ada 10 program reformasi awal yang disenaraikan dalam buku kecil itu mampu dilaksanakan atau tidak ia soal kedua. Apa yang penting rakyat 'diperdaya' dengan sebaik mungkin demi meraih kuasa.

PKR, DAP dan Pas ingin memberi gambaran melalui janji-janji tersebut kononnya merekalah pilihan terbaik dan 'anugerah Tuhan' bagi memimpin negara ini. Kalau mereka memerintah Malaysia akan menjadi negara serba sempurna dan rakyat hidup bahagia.

Tetapi sebelum rakyat terseret sama dengan janji-janji pembangkang yang tidak ubah seperti mimpi indah Labu Labi dalam filem arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, mereka perlu memikir sejenak apa yang berlaku sejak Mac 2008 apabila pembangkang mempunyai kuasa memerintah di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Cuba fikirkan apakah semua janji-janji di kesemua negeri itu sudah ditunaikan? Apakah negeri-negeri berkenaan jauh lebih baik daripada negeri-negeri yang berada di bawah Barisan Nasional (BN)?

Fikirkan juga munasabah atau tidak segala janji yang ditaburkan termasuklah terbaru mahu memberi kuasa autonomi kepada Sarawak, memberi jaminan keluarga di negara ini akan menerima gaji RM4,000 sebulan manakala semua warga emas akan mendapat RM1,000 sebulan.

Jangan lupa dan kajilah bagaimana sebahagian besar janji-janji yang dibuat oleh pakatan pembangkang di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang tidak ditunaikan sehingga kini.

Di Kedah seperti mana kata Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail segala janji yang dibuat semasa pilihan raya lalu oleh pakatan pembangkang hanya tinggal janji.

''Pelbagai alasan diberikan berikutan kegagalan mereka untuk menunaikan janji, akhirnya yang menjadi mangsa ialah rakyat,'' katanya ketika dihubungi.

Apa yang malang Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak terus berdolak-dalih jika ditanya kenapa banyak janji belum ditunaikan.

''Sebab itulah tidak perlulah rakyat terpedaya pula dengan janji terbaru pembangkang semua itu bukan janji yang boleh ditunaikan sebaliknya satu pembohongan,'' kata Mohd.Yusof.

Di Pulau Pinang pula, kepimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng bukannya menunaikan janji tetapi menjadikan janji yang dibuat ketika pilihan raya ibarat 'tuba' kepada rakyat.

Contoh paling mudah ialah kenaikan tarif air di negeri itu dan bagaimana penduduk Kampung Buah Pala diperbodohkan dengan sewenang-wenangnya.

Di Selangor lagi teruk, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim gagal untuk menunaikan sebahagian besar janji dalam manifesto pilihan raya 2008 yang menjadi senjata utama pembangkang menawan negeri itu.

Ini belum lagi mengambil kira pelbagai kemelut yang melanda termasuklah dalam isu mencuri pasir dan beberapa isu lain.

Di Kelantan, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih banyak mengeluarkan kenyataan politik berbanding memajukan negeri berkenaan.

Kalaulah di negeri-negeri tersebut pun banyak janji tidak mampu ditunaikan dan pemerintahan masih tunggang langgang serta penuh kekalutan, bagaimana mungkin janji-janji terbaru pakatan pembangkang mampu dilaksanakan?.

Sebenarnya, pembangkang menggunakan taktik 2008 untuk sekali lagi dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dengan menyenaraikan 'tawaran-tawaran' yang antaranya menyentuh soal kewangan rakyat secara mendadak, mereka berharap rakyat akan menyebelahi mereka lagi.

Terbaru berjanji mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan sebanyak RM500 sebulan kepada setiap guru sebagai penghargaan.

Jangan lupa ini belum lagi termasuk janji sebelum ini untuk memberi RM1,000 sebulan kepada warga emas. Sebelum ini PKR, DAP dan Pas juga berjanji memberi imbuhan wang kepada rakyat jika mereka memerintah.

Tetapi cuba fikirkan apakah ia ditunaikan, contoh di Selangor antaranya yang dijanjikan ialah memberi bantuan RM50 sebulan bagi pendidikan pra sekolah, elaun khas ibu tunggal dan membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor. Namun semuanya tidak ditunaikan.

Oleh itu tidak perlulah lagi rakyat memeningkan kepala apatah lagi terpengaruh dengan janji-janji pembangkang kerana mereka seperti mana kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlalu gilakan kuasa sehingga sanggup menabur janji-janji palsu.

Rakyat harus faham, usaha untuk membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat bukan hanya bersandarkan kepada janji-janji kosong seperti dilakukan oleh pembangkang.

Sebaliknya, mengkaji sejauh manakah apa yang dijanjikan mampu ditunaikan atau tidak. Semua ini sudah dibuktikan oleh Najib yang melakukan perubahan dalam segala aspek demi memakmurkan negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Pembangkang boleh berjanji apa sahaja kerana tidak ada kuasa tetapi apabila sudah ada kuasa seperti mana di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, mereka sendiri memahami untuk melaksanakan sesuatu ketika ada kuasa berbeza apabila bercakap ketika tiada kuasa.

Pembangkang tahu fakta ini tetapi sengaja menyembunyikannya kerana yang penting Pilihan Raya Umum Ke-13 seolah-olah perjuangan hidup mati mereka untuk menawan tampuk pemerintahan negara.

Selagi terdaya maka segala tipu muslihat politik akan digunakan bagi menyakinkan rakyat bahawa pembangkang perlu diberi peluang memerintah negara.

Tetapi pembangkang terlupa bahawa rakyat sudah bijak menilai. Senario 2008 sudah jauh berbeza, rakyat sudah semakin memahami kerakusan pembangkang untuk berkuasa melalui pendekatan matlamat menghalalkan cara.

Ketika BN melalui kepimpinan Najib membentangkan realiti melalui pelbagai program, pembangkang pula lebih banyak menawarkan fantasi. Sebab itulah pentadbiran di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang serta Kedah kelam-kabut serta carca-marba.

Oleh itu kita berhak bertanya siapakah sebenarnya mahu diselamatkan oleh pembangkang melalui janji yang dibuat, hendak menyelamatkan Malaysia atau hendak menyelamatkan pakatan pembangkang.

Justeru janganlah terpedaya atau terpengaruh dengan mimpi Labu Labi pembangkang yang akhirnya memungkinkan kemakmuran negara hancur dan kesejahteraan rakyat berkecai!

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Pendedahan Nazri bukti pembohongan terbaru Anwar

Posted:

Pendedahan Nazri bukti pembohongan terbaru Anwar

Pendedahan Nazri bukti pembohongan terbaru Anwar

PENDEDAHAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengenai kandungan surat yang dihantar oleh firma perhubungan awam, Apco Worldwide kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen telah mendedahkan pembohongan dan sikap putar-belit Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia kerana surat berkenaan menafikan dengan tegas penglibatan Apco dalam mencipta slogan 1Malaysia seperti mana didakwa oleh Ketua Pembangkang tersebut yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selain itu akuan bersumpah daripada Robert M.Shrum seorang warga negara Amerika Syarikat yang menafikan penglibatan Apco dalam kempen 'One Israel' telah membuktikan bahawa Anwar sememangnya menipu.

Apa yang didedahkan oleh Mohamed Nazri ini seharusnya memberikan pengajaran kepada rakyat untuk melihat siapa Anwar sebenarnya.

Sejak dulu lagi, Anwar sememangnya terkenal dengan sikap memutar-belitkan fakta demi survival politiknya.

Begitulah juga dalam kes Apco ini yang beliau dakwa ada kaitan dengan Israel tetapi apabila didesak mengemukakan bukti beliau gagal melakukannya.

Sebaliknya seperti biasa Anwar memekik melolong di pentas-pentas ceramah mendakwa dirinya telah dianiaya dan tidak diberi keadilan sewajarnya dalam kes itu sehingga digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.

Anwar seperti mana kata Mohamed Nazri sudah diberi peluang membela diri sejak Ketua Pembangkang itu mengeluarkan kenyataan mengaitkan konsep 1Malaysia dengan 'One Israel', tetapi Anwar gagal mengemukakan bukti dakwaannya.

Justeru apabila tindakan diambil barulah beliau membuat tuduhan yang bukan-bukan. Bagi Anwar, apa sahaja yang beliau buat betul, segala dakwaannya adalah benar dan kalau tindakan diambil ke atas itu tidak adil.

Sebenarnya Anwar seperti juga sesetengah pemimpin pembangkang hanya bijak melontar tuduhan dan fitnah tetapi apabila diminta mengemukakan bukti mereka gagal melakukannya.

Taktik pembangkang ialah menimbulkan persepsi buruk terhadap apa juga yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Begitulah juga dalam isu slogan 1Malaysia ini. Pembangkang amat memahami bahawa slogan itu semakin diterima oleh rakyat kerana ia mampu menyatukan mereka tanpa mengira fahaman agama dan kaum.

Oleh kerana bimbang dengan sambutan tersebut maka pembangkang akan berusaha dengan sedaya upaya memburuk-burukkan slogan itu termasuklah membuat dakwaan bahawa ia ada kaitan dengan Israel.

Niat Anwar mudah iaitu mahu rakyat terutamanya orang Melayu menolak slogan berkenaan kerana Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut amat memahami orang Melayu dan umat Islam amat sensitif dengan istilah Israel itu.

Tetapi kebenaran tetap kebenaran, ia tidak boleh ditutupi dengan pembohongan, penipuan apatah lagi memutar-belitkan fakta.

Kini kebenaran sudah terserlah dengan langkah bijak yang dilakukan oleh Mohamed Nazri yang mendedahkan surat Apco dan akuan bersumpah Shrum.

Justeru kita akan menanti apa pula putar belit yang akan dilakukan oleh Anwar yang kini sedang menjelajah seluruh negara bagi mendapat sokongan terhadap penggantungan yang diterimanya.

Anwar yang begitu bercita-cita menjadi Perdana Menteri perlu menjawab pendedahan Mohamed Nazri itu secara profesional, jangan berpolitik lagi kerana tindakannya melakukan fitnah terhadap slogan 1Malaysia adalah perbuatan yang cukup buruk.

Namun kita percaya Anwar tidak akan menjawab pendedahan berkenaan sebaliknya akan terus bersandiwara kerana sememangnya itu wajah sebenar beliau dalam kerakusannya meraih kuasa dan sokongan rakyat.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan