Rabu, 22 Disember 2010

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Kahwin budak 11 tahun tidak sah

Posted:

Kahwin budak 11 tahun tidak sah

Kahwin budak 11 tahun tidak sah

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com


SITI Sarnan Mat Ail memimpin tangan anaknya sambil diiringi suaminya, Hussin Salleh meninggalkan Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu, Kelantan, semalam.


KOTA BHARU 22 Dis. – Tekanan yang ditanggung oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun selama lapan bulan selepas didakwa dinikahkan oleh ayahnya sendiri dengan lelaki berusia 41 tahun, terlerai hari ini apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini memutuskan perkahwinan mereka tidak sah.

Keputusan tersebut disambut dengan linangan air mata kesyukuran oleh ibu kanak-kanak terbabit, Siti Sarnan Mat Ail, 42, selaku plaintif yang memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan berkenaan.

Dalam permohonan itu, plaintif menamakan suaminya, Hussin Salleh, 54, defendan pertama manakala lelaki yang dikatakan bernikah dengan anaknya, Shamsudin Che Deraman atau dikenali sebagai 'Sudin Ajaib' defendan kedua.

Kanak-kanak tersebut yang hadir di mahkamah dengan memakai baju kurung biru berbunga merah dan bertudung warna krim dilihat resah di galeri awam sementara menunggu keputusan dibacakan.

Dalam keputusannya, Hakim Syarie, Abdullah Man berkata, mahkamah mendapati tidak ada asas untuk membatalkan perkahwinan tersebut kerana ia tidak mempunyai dokumen yang sah serta sijil nikah.

''Pernikahan antara kedua-duanya hanya dakwaan pihak plaintif kerana tidak disokong dokumen yang lengkap untuk menjelaskan wujudnya pernikahan tersebut.

''Bagaimanapun mahkamah mengambil kira peranan wali mujbir iaitu ayah kepada kanak-kanak tersebut yang mempunyai hak mengahwinkan anak perempuan mereka tanpa mengira usia. Persoalannya jika mengikut hak wali mujbir apakah perkahwinan itu sah atau tidak,'' katanya.

Abdullah menegaskan, berdasarkan keterangan defendan dalam perbicaraan yang lepas, timbul perkara-perkara berunsur penipuan, paksaan dan ugutan semasa pernikahan itu berlangsung.

''Mahkamah mendapati wali semasa memberi keterangan balas, seorang yang 'betul', tidak pandai beralasan dan hanya mengikut telunjuk orang lain, seolah-olah tidak mempunyai pegangan.

''Walaupun wali terlibat dalam pernikahan tersebut tetapi tidak mempunyai niat untuk mengahwinkan anaknya itu,'' ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, perkahwinan tersebut tidak sah mengikut hukum syarak dan Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002.

Abdullah sebelum itu turut mengesahkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan membatalkan pernikahan yang didakwa berlangsung pada 19 Februari lalu walaupun defendan kedua tidak pernah hadir ke mahkamah.

Katanya, akad nikah didakwa berlangsung sebanyak dua kali iaitu pertama kali di Madrasah Pakistan di Machang dan disusuli di sebuah hotel, Berek 12 di sini.

''Plaintif mendakwa ketika akad nikah berlangsung, anaknya itu tidak ada bersama-sama dengan defendan sebaliknya ada bersamanya di kampung Jelawang, Dabong, Kuala Krai.

''Apabila pulang ke rumah, defendan membawa anaknya keluar dan tidak pulang. Selepas empat hari keluar dari rumah mereka, plaintif diberitahu oleh suaminya, anaknya itu telah dinikahkan dengan Sudin Ajaib,'' katanya.

Menurut Abdullah lagi, kanak-kanak itu kemudian ditemui seorang diri dalam keadaan lesu di sebuah madrasah di Batu Caves, Selangor pada 12 Mac lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh selama lima hari kerana mengalami tekanan.

Katanya, permohonan plaintif dikemukakan dengan alasan anaknya itu masih muda dan tidak tahu tanggungjawab sebagai seorang isteri manakala Shamsudin telah pun mempunyai tiga isteri serta tidak bekerja.

Menurut beliau, perkara itu disokong oleh isteri pertama Shamsudin, Rohana Ibrahim, 34, yang mengesahkan suaminya telah berkahwin tiga dan mengikuti kumpulan tabligh.

Sementara itu, Siti Sarnan yang diwakili peguam syarie, Mohd. Zaki Zainal Abidin ketika ditemui di luar mahkamah, melahirkan rasa syukur dengan keputusan tersebut dan berharap Shamsudin tidak lagi mengganggu hidup anaknya.

''Syukur banyak-banyak kerana apa yang saya tuntut bagi pihak anak saya selama ini telah selamat, tidak ada apa-apa lagi hubungan antara Sudin dengan anak saya.

''Saya tidak berdendam namun berharap Sudin jangan ganggu anak saya malah sejak perkara ini dihebahkan, dia juga ghaib begitu sahaja,'' katanya.

Tambahnya, apa yang berlaku akan dijadikan pengajaran dan tugasnya kini menyekolahkan anaknya itu dan memastikan dia berjaya dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun hadapan.

Hussin yang mengahwinkan anaknya itu pula berjanji akan lebih berhati-hati dalam urusan menjodohkan anaknya pada masa depan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Lelaki hina Sultan Johor akan didakwa

Posted:

Lelaki hina Sultan Johor akan didakwa

Lelaki hina Sultan Johor akan didakwa

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Seorang lelaki yang membuka akaun laman sosial Facebook dengan tujuan memburukkan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail akan didakwa dalam tempoh terdekat.

Akaun Facebook terbabit memaparkan komen mengaibkan institusi diraja, diwujudkan selepas kemangkatan bekas Sultan Johor itu pada 22 Januari lalu.

Lelaki berusia 40 tahun yang bertanggungjawab membuka laman itu ditahan polis baru-baru ini akan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Suspek ditahan pada 29 November lalu di sekitar Lembah Klang setelah polis menerima lima laporan berhubung kewujudan akaun Facebook tersebut.

Siasatan berhubung akaun laman sosial berkenaan mengambil masa yang lama iaitu lebih sebulan kerana suspek menggunakan identiti pengguna Internet tanpa wayar yang telah dicuri.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, suspek menggunakan alamat e-mel: pendekar.bentan@gmail.com.

"Polis telah mewujudkan pasukan khas untuk menyiasat identiti suspek yang 'licik' menggodam Internet tanpa wayar individu lain bagi menyukarkan dirinya dikesan.

"Bagaimanapun, hasil kepakaran pasukan khas polis, suspek akhirnya berjaya dikesan. Malah, beberapa peralatan komputer turut dirampas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Dalam pada itu, Syed Ismail memberitahu, pihaknya sedang menunggu keputusan pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya, selepas kertas siasatan diserahkan.

"Polis telah memberi cadangan sewajarnya kepada DPP dan bila-bila masa dari sekarang sahaja suspek akan dituduh.

"Siasatan menunjukkan suspek yang bekerja sendiri pernah dibuang dari sebuah universiti di Lembah Klang dan menyertai sebuah pertubuhan Islam.

"Perjuangan dan ideologi pertubuhan terbabit menyebabkan suspek bertindak sedemikian. Bagaimanapun, pengetahuan dan pengalaman sendiri melalui Internet yang menjadikannya pakar menggodam Internet pengguna lain," katanya.

Syed Ismail menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati memastikan talian Internet yang telah didaftarkan memiliki ciri-ciri keselamatan supaya sukar digodam pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Pengguna Facebook perlu berhati-hati dalam mendedahkan sebarang maklumat dan foto peribadi bagi mengelakkan daripada disalahgunakan oleh pihak lain.

"Orang ramai juga dinasihatkan bertanggungjawab atas setiap komen yang dipaparkan dalam Internet kerana polis mempunyai keupayaan untuk menyiasat dan mengheret mereka ke muka pengadilan," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan