Khamis, 23 Disember 2010

Malaysiakini :: Berita

Malaysiakini :: Berita


Polis bersedia kawal Final Piala AFF Suzuki

Posted: 23 Dec 2010 07:01 PM PST

Polis telah membuat persiapan sepenuhnya untuk memastikan keselamatan terkawal pada perlawanan akhir pusingan pertama Piala Suzuki AFF antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada Ahad ini.

"Kita telah bersedia sepenuhnya dengan jumlah anggota yang cukup termasuk anggota tambahan dari daerah lain. Kita mampu untuk mengawal keselamatan dalam dan luar stadium," kata Ketua Polis Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh kepada Bernama hari ini.

Namun, katanya, polis memerlukan kerjasama penyokong kedua-dua pasukan supaya mematuhi arahan keselamatan untuk mengelak perkara yang tidak diingini.

"Anggaplah ini sebagai satu perlawanan bola sepak berunsurkan sosial dan bukannya untuk melakukan perkara yang tidak diingini," kata Mohan Singh.

Sekitar 90,000 penyokong Malaysia dan Indonesia dijangka membanjiri stadium itu seawal 5 petang.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperuntukkan 70,000 tiket berharga RM30dan 2,500 tiket berharga RM50 kepada penyokong Malaysia dan 15,000 tiket lagi berharga RM30 dan 500 tiket berharga RM50 kepada penyokong Indonesia.

Mohan Singh mengingatkan penyokong supaya tidak membawa barang yang dilarang seperti mercun, botol atau bunga api.

--Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Bidaan beli PLUS dilanjut hingga 10 Januari

Posted: 23 Dec 2010 01:27 AM PST

Pihak-pihak baru yang berminat untuk membeli PLUS Expressways Bhd, mempunyai sehingga jam 5 petang pada 10 Januari 2011, untuk menghantar bidaan mereka, kata pengurus besar perkhidmatan korporat Minority Shareholders Watchdog Group Lya Rahman.

"Tawaran untuk mengambil alih PLUS daripada lain-lain pembida telah dilanjutkan sehingga 5 petang pada 10 Jan 2011," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agong luarbiasa (EGM) PLUS di ibunegara hari ini.

EGM hari ini dijadualkan untuk meluluskan bidaan UEM Group Bhd-Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli PLUS dengan harga RM23 bilion.

"Pada dasarnya, kami telah bersetuju untuk menangguhkan mesyuarat. Kami akan ada lebih banyak masa untuk meneliti cadangan-cadangan dan pemegang saham akan kemudian tahu keadaan sebenar," katanya.

Katanya adalah penting untuk melihat merit kedua-dua bidaan itu - bidaan bersama UEM-KWSP dan Jelas Ulung Sdn Bhd dan mengambil keputusan terbaik.

Mengenai Jelas Ulung, Lya berkata, pemegang saham lebih bimbang tentang harga yang lebih tinggi itu berbanding merit syarikat tersebut.

Kira-kira 130 pemegang saham menghadiri EGM itu yang ditangguhkan pada tengah hari.

Saham PLUS naik tiga sen kepada RM4.65 pada 12.30 tengah hari.

Sementara itu, pengarah bukan eksekutif bebas kanan PLUS, Tan Sri K. Ravindran, yang mempengerusikan EGM itu berkata keputusan untuk melanjutkan tarikh akhir itu adalah berikutan cadangan oleh para pemegang saham.

"Lembaga sementara itu akan menilai semula dan menimbangkan terma-terma tawaran yang baru dibuat oleh Jelas Ulung Sdn Bhd dan lain-lain tawaran baru jika ada, sementara pada waktu yang sama mengambil kira tawaran bersama UEM dan KWSP," katanya dalam satu kenyataan.

PLUS berkata lembaga itu dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia pada 21 Dis menyatakan bahawa tawaran baharu yang dihantar juga patut termasuk beberapa terma dan maklumat serta menuruti beberapa syarat.

Ravindran berkata langkah itu diambil untuk melindungi kepentingan syarikat serta untuk memastikan keseriusan dan kredibiliti pembida.

Tarikh baharu EGM yang ditangguhkan itu akan diumumkan tidak lama lagi.

- Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan