Utusan Online - Timur |
- Transformasi pusat mendarat ikan
- Hakisan hampiri tumpuan awam
- Jangan lengah bawa anak demam, bengkak ke hospital
Transformasi pusat mendarat ikan Posted: Transformasi pusat mendarat ikanOleh TOREK SULONG Limbongan dan terminal pendaratan ikan bot laut dalam di Tok Bali terletak berhampiran dengan pasar raya 1Malaysia. – Utusan/Torek Sulong PASIR PUTEH 1 Dis. – Kemasyhuran Tok Bali di sini sebagai kawasan pendaratan ikan terkenal di negeri ini didakwa sekadar indah khabar dari rupa oleh sebilangan besar pelancong asing yang berkunjung kerana tidak ada mercu tanda yang boleh dibanggakan. Sepanjang tahun beratus bas persiaran akan membawa pelancong asing ke Tok Bali, namun gagal mencari di mana sebenarnya lokasi yang menarik atau menyaksikan pembangunan yang ada di Tok Bali. Sekadar replika bot laut dalam dan sebuah kapal layar di pesisir pantainya pasti mengundang kehampaan. Kini nama Tok Bali kian pudar dan tidak lagi tersohor apabila harga ikan segar yang dipasarkan di pangkalan berdekatan setanding harga ikan yang dijual di Pasar Besar Pasir Puteh malah lebih mahal berbanding hasil laut yang dijaja atau dijual di tepi jalan raya. Dalam usaha merubah situasi yang semakin mengecewakan itu, sebuah syarikat Era Pertiwi Sdn. Bhd. (Era Pertiwi) bercadang melakukan transformasi pusat pendaratan ikan di sana dengan membangunkan lokasi seluas 1.38 hektar. Projek agropelancongan dan perniagaan santai itu akan memanfaatkan aset sedia ada termasuk bangunan-bangunan yang dibina oleh Perbadanan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), limbungan kapal, jeti pendaratan ikan, pasar basah dan lain-lain akan dibangun dan dibaik pulih. Pengarah Urusan Era Pertiwi, Mohd. Suhaimi Wan Naman ketika ditemui di sini berkata, pembangunan yang melibatkan pelaksanaan dalam Fasa I dan Fasa II dijangka menjadikan Tok Bali sebagai pintu pelancongan utama di Kelantan selain membangunkan sumber perikanan laut dalam yang akan mula beroperasi awal tahun depan. Menurutnya, pembinaan kapal dan perniagaan kopitiam bertaraf lima bintang yang berkonsepkan teknologi komersial dari Vietnam akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan dijangka menggamit ramai pelancong ke kawasan berkenaan. Tambahnya, syarikatnya mendapat kelulusan daripada PKINK untuk bertindak sebagai pengurus dan pemaju kawasan tersebut di samping memastikan pembangunan kawasan itu memberi peluang pekerjaan kepada sebilangan besar penduduk tempatan. "Kita akan berusaha menjadikan bangunan pasar basah yang menjual sayuran dan hasil tangkapan ikan, gerai, surau, tempat rehat dan dua buah jeti pendaratan sebagai produk utama untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung. "Kawasan ini sememangnya berpotensi dibangunkan kerana pemandangan semula jadi dan pantai yang menarik. Terletak berhampiran jambatan dan terusan Sungai Semerak, lokasinya amat strategik sebagai destinasi persinggahan pelancong kerana rangkaian jalan yang menghubungkan daerah Besut, Terengganu dengan Bachok dan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa," ujarnya. Mohd. Suhaimi menambah, kawasan terbabit sebelum ini terbiar walaupun pernah dibangunkan dengan pelbagai kemudahan oleh pihak tertentu yang membabitkan kos sebanyak RM6 juta sejak lebih tujuh tahun lalu namun gagal menarik pelancong berkunjung. Sehubungan itu, pihaknya akan mengubah persekitaran dan landskap sedia ada dari konsep medan selera kepada perniagaan kopitiam dengan melibatkan lapan pengusaha yang dikendalikan oleh chef berpengalaman untuk penyediaan pelbagai jenis minuman, makanan laut, masakan barat dan tempatan. "Fokus utama ialah menampilkan konsep kopitiam dari bandar pelancongan Vantau, Vietnam. Sehubungan itu semua perkakasan, gelas dan pinggan mangkuk, hiasan lampu kristal dan resipi masakan akan dibawa masuk ke Tok Bali," katanya. Selain masakan hasil tangkapan laut gerai-gerai ikan bakar katanya, barangan kraf tempatan, penyediaan jet ski, bot pelancongan ke Pulau Perhentian, pasar raya 1Malaysia juga akan diwujudkan selain merancang membina resort yang lengkap dengan kolam mandi untuk kemudahan pengunjung. Suhaimi yang merupakan antara pengusaha bumiputera yang mengeksport hasil tangkapan laut ke beberapa negara Asia berkata, pihaknya juga akan menjadikan kawasan tersebut sebagai hab pengumpulan ikan terutama sotong kering sebelum mengeksportnya ke luar negara terutama ke Vietnam, Jepun dan Korea menerusi kapal kargo. "Kami telah mengadakan perjanjian persefahaman (MOU) dengan rakan niaga dari negara berkenaan untuk membantu pemprosesan hasil tangkapan laut yang berkualiti sebelum di pasarkan ke negara lain," katanya. Katanya, syarikatnya kini memiliki 17 bot laut dalam yang sedang beroperasi di perairan negara dengan anggaran kasar hasil pendaratan sebanyak 600 metrik tan ikan sebulan. "Syarikat ini mempunyai RM20 juta aset dan yakin berkemampuan untuk memajukan kawasan Tok Bali termasuk mewujudkan industri membina bot laut dalam menggunakan papan yang disalut sepenuhnya dengan gentian fiber. "Pengalaman saya bertahun-tahun berada di negara Vietnam yang lebih maju ke hadapan dalam bidang perikanan dan pelancongan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memajukan kawasan di sini," katanya. Pengarah Operasi syarikat berkenaan, Zainal Idris berkata, sebuah pasar raya 1Malaysia yang akan beroperasi pada pertengahan Disember ini akan turut memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak nelayan setempat. Beliau berkata, 30 peserta yang menjual ikan di pasar basah turut dikumpulkan semula bagi penyelarasan harga ikan yang lebih murah supaya mengembalikan semula kemasyhuran Tok Bali sebagai tempat membeli hasil laut segar dan murah berbanding kawasan lain. Beberapa institusi kewangan tempatan pada dasarnya telah menyatakan persetujuan untuk meletakkan kemudahan Mesin Wang Automatik (ATM) selain penyediaan dua bangunan dibaik pulih bagi memudahkan pengunjung melakukan transaksi pembayaran secara automatik. Seorang penduduk tempatan, Pa Dollah, 42, berkata landskap kawasan pendaratan ikan di kawasan berkenaan mula berubah dengan persekitaran yang bersih berbanding sebelumnya yang sering dipenuhi sampah-sarap dan belukar yang tidak terurus. "Saya juga bersyukur kerana tidak perlu lagi turun ke laut untuk memukat ikan selepas menerima tawaran mengurus keselamatan dan keceriaan di kawasan berkenaan. Saya yakin kopitiam dalam taman yang dilaksanakan itu akan menarik lebih ramai pengunjung dan menghidupkan semula Tok Bali sebagai pekan perikanan yang maju setanding kawasan lain," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Hakisan hampiri tumpuan awam Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA Pondok rehat semakin senget dan rosak akibat hakisan pantai di Kampung Kubang Badak, Kuala Terengganu, semalam. KUALA TERENGGANU 1 Dis. - Penduduk di pinggir pantai di Kampung Kubang Badak dan Tok Jembal dekat sini bimbang keadaan hakisan yang berlaku pada musim tengkujuh ini. Hakisan yang berlaku semakin menghampiri kemudahan awam mereka manakala keindahan kawasan sekitar yang menjadi tumpuan umum semakin lenyap. Hakisan semakin ketara sejak seminggu lalu apabila empat buah pondok rehat di tepi pantai hampir tumbang dipukul ombak kuat. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa batang pokok termasuk kelapa juga tumbang sehingga menjejaskan pemandangan di kawasan tersebut. Seorang penduduk, Muhammad Zafrie Osman, 34, berkata, kerja-kerja baik pulih dan penambakan kawasan pantai itu perlu disegerakan kerana ia merupakan kawasan tumpuan ramai terutamanya setiap kali hujung minggu. "Sepatutnya, satu benteng perlu dibina untuk mengelak berlakunya masalah hakisan yang serius di sini. "Jika tidak, saya khuatir lebih banyak pondok rehat dan kemudahan lain akan dirosakkan oleh ombak yang kuat setiap kali banjir atau hujan lebat," katanya. Masalah hakisan di pantai itu sebelum ini mendapat perhatian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri yang bersetuju menambak kawasan sepanjang 450 meter itu dengan kos yang dianggarkan RM2.5 juta. Dalam pada itu, seorang peniaga, Rubiah Soh, 42, turut sependapat dengan Muhammad Zafrie dan berharap agar kerja-kerja penambakan pantai itu disegerakan. Katanya, walaupun masih dikunjungi orang ramai sehingga ke hari ini, tidak mustahil kawasan pantai itu akan dilupakan selepas ini. "Pantai ini sebenarnya destinasi tumpuan terutamanya di kalangan penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang terletak berdekatan. Full content generated by Get Full RSS. |
Jangan lengah bawa anak demam, bengkak ke hospital Posted: Jangan lengah bawa anak demam, bengkak ke hospitalZaidun Kamari bersama bekas pesakit barah pada Majlis Perjumpaan Semula Bekas Pesakit-Pesakit Wad 6 Utara (Onkologi/Hematologi) HUSM di Kota Bharu, semalam. KOTA BHARU 1 Dis. - Ibu bapa tidak harus berlengah membawa anak ke klinik dan hospital sekiranya mereka mengalami masalah demam dan bengkak kerana tidak mustahil ia adalah simptom penyakit leukemia yang merupakan jenis barah paling banyak menyerang kanak-kanak. Pakar Perunding Kanan Kanak-kanak Bahagian Onkologi dan Hemotologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr. Norsarwany Mohamad berkata, 70 peratus daripada pesakit barah kanak-kanak menghidap Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) iaitu penyakit barah darah yang disebabkan peningkatan sel-sel darah putih di dalam badan. Beliau berkata, berlainan dengan jenis barah lain seperti barah mata dan payu dara, leukemia berlaku secara spontan dan tidak berkait dengan faktor genetik. Katanya, tanda awal leukemia sering terlepas pandang kerana ia menyerupai demam dan penyakit lain sehinggalah keadaan pesakit sudah teruk seperti tidak boleh berjalan baru dibawa berjumpa doktor. "Antara tanda-tanda ALL adalah demam berpanjangan, pucat, keletihan dan sakit-sakit sendi tulang. Simptom ini mirip kepada penyakit seperti demam kepialu dan denggi sebab itulah ibu bapa perlu sentiasa mengambil serius keadaan anak-anak kerana kemungkinan mereka menghidap barah tidak boleh diketepi. "Pemeriksaan awal membolehkan pihak hospital bertindak lebih cepat seperti membuat pengambilan sum-sum tulang untuk menentukan jenis barah serta ubat paling tepat bagi merawat pesakit. "Pada hari ini, kaedah baru seperti pembedahan 'chemo-port' telah memudahkan penyaluran ubatan pada kanak-kanak mengurangkan ketakutan mereka semasa proses kemoterapi," katanya kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan Semula Bekas Pesakit-pesakit Wad 6 Utara (Onkologi dan Hematologi) USM di sini hari ini. Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah HUSM, Datuk Dr. Zaidun Kamari. Pada majlis itu juga, Zaidun telah melancarkan Kelab Pesakit dan Bekas Pesakit Onkologi HUSM yang dipimpin Pengerusi Penajanya, Dr. Mohd. Norfadzilly Mohd. Hulaime. Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Zaidun berkata, majlis perjumpaan tersebut adalah yang kali ketiga diadakan selepas penganjuran pada 2004 bertujuan mengumpul semula bekas pesakit dan keluarga termasuk dari Sabah dan Sarawak. Menurutnya, pada 2010 sebanyak 59 pesakit baru mendapat rawatan di Wad 6U berbanding 58 kes baru yang dicatat pada 2009. "Bagi kes pesakit berulang atau pesakit yang masih membuat rawatan berterusan pula bertambah daripada 201 pada 2009 kepada 715 pada 2010. "Bilangan pesakit yang lebih ramai membuat rawatan susulan adalah satu petanda baik kerana ia menunjukkan masyarakat semakin yakin dengan rawatan di hospital dan tidak berputus asa ataupun hanya bergantung kepada rawatan tradisional semata-mata," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan