Jumaat, 31 Disember 2010

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Promosi sikap hormati agama

Posted:

Promosi sikap hormati agama

Promosi sikap hormati agama

SEJAK ditubuhkan kira-kira 10 bulan lalu, tidak banyak yang diketahui umum mengenai peranan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama.

Malah, ada yang membandingkannya dengan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang ditolak kerajaan sebelum ini.

Dalam satu wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, Pengerusinya, DATUK ILANI ISAHAK berkata, jawatankuasa itu bergerak atas titik persefahaman antara penganut agama ke arah perpaduan dan keharmonian kaum.

''Jawatankuasa ini juga sedia maklum ada beberapa isu berkaitan agama yang rumit dan timbul lebih 20 tahun lamanya. Isu-isu ini memerlukan penyelesaian yang bijak sesuai dengan konteks Malaysia," kata beliau.

Dalam pertemuan hampir satu jam di rumah beliau di pinggir Taman Tun Dr. Ismail, Kg. Sg. Penchala, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Ilani turut berkongsi aspek-aspek lain mengenai jawatankuasa itu termasuk cabaran dan permasalahan agama semasa.

UTUSAN: Sejauh mana perkembangan jawatankuasa ini sejak penubuhannya?

ILANI: Alhamdulillah, sejak penubuhannya pada lewat Februari 2010, jawatankuasa ini telah giat berusaha untuk memantapkan perhubungan di kalangan penganut pelbagai agama, menggalakkan semua pertubuhan agama menghormati dan patuh kepada Perlembagaan Persekutuan, mengatur langkah dan memulakan ikhtiar ke arah menjadi mekanisme mediasi berkesan untuk konflik antara penganut agama. Dalam masa yang sama, jawatankuasa ini juga berusaha memastikan supaya kerajaan di setiap peringkat memberi perhatian kepada suara pertubuhan dan badan agama.

Bagaimana dengan program-program dan aktiviti yang telah dilaksanakan?

Sepanjang tahun ini, jawatankuasa telah menitikberatkan jalinan silaturahim antara ahli ahli dengan tujuan memudahkan urusan-urusan yang rumit apabila berusaha bersama dalam suasana persahabatan. Oleh itu, program berunsur interaksi sosial diaturkan bersama pihak-pihak yang menyokong matlamat itu.

Antaranya seperti penglibatan bersama dalam acara-acara perayaan keagamaan seperti Hari Raya Aidil Fitri anjuran MACMA, Hari Wesak anjuran Maha Vihara, Hari Deepavali anjuran Malaysia Hindu Sangam dan Hari Krismas anjuran CFM. Ahli ahli Jawatankuasa ini juga telah bersama dalam majlis berbuka puasa anjuran bersama IIS, JAIS dan JPNIN (pusat) pada bulan Ramadan.

Selain itu, ramai ahli jawatankuasa telah terlibat sama ada sebagai pembentang kertas, penceramah atau peserta dalam bidang antara agama melalui diskusi meja bulat, forum atau seminar. Program-program itu telah memberi peluang bukan sahaja kepada ahli, tetapi juga kepada ramai penganut pelbagai agama dalam meningkatkan pengetahuan mengenai agama-agama penting di Malaysia.

Tahun ini juga menyaksikan kursus pendedahan kepada bidang mediasi (perbincangan dengan kehadiran pihak ketiga) dilaksanakan dan akan diikuti dengan kursus-kursus mediasi menangani konflik antara penganut agama secara bersiri pada 2011 dan 2012. Jawatankuasa ini juga telah mengadakan Bengkel Pembangunan Pelan Strategik pada 1 dan 2 Disember lalu yang membincangkan kerangka kerja jawatankuasa ini sesuai dengan persetujuan kerajaan untuk memberi bajet bagi menyokong kerja-kerjanya. Bengkel itu berjaya mengenal pasti gerak kerja program dan aktiviti yang bakal dilaksanakan untuk tahun hadapan dan sepanjang 2012.

Di samping itu, ia juga telah menghasilkan visi untuk Jawatankuasa iaitu 'Ke Arah Malaysia Harmoni Dan Muhibah' dan juga misi iaitu ' Untuk Menjadi Mekanisme Dialog Dan Mediasi Bagi Mewujudkan Persefahaman Dan Keharmonian Antara Penganut Agama Ke Arah Membina Malaysia Sebagai Sebuah Negara Berjiwa Muhibah'.

Apa pula program-program dan aktiviti lain pada masa depan?

Ada beberapa program dan aktiviti yang kita rancang untuk tahun 2011. Antaranya acara khas untuk UN World Interfaith Harmony Week yang dijadualkan pada 1 hingga 7 Februari ini. Sepanjang program itu, rumah-rumah ibadat seperti masjid, gereja, kuil dan sebagainya akan menyampaikan mesej-mesej keamanan, perpaduan dan keharmonian antara penganut agama.

Ia boleh dilakukan sama ada menerusi misalnya, khutbah sembahyang Jumaat bagi orang Islam atau ucapan di gereja bagi penganut Kristian pada hari Ahad. Selain itu, kita juga akan mengadakan sesi dialog muhibah bersama penuntut-penuntut di universiti dan menganjurkan kem belia muhibah membabitkan seramai 300 orang peserta daripada generasi muda.

Selain itu, kita juga akan mengadakan lawatan muhibah ke rumah-rumah ibadat serta menganjurkan kempen muhibah untuk mempromosikan semangat saling menghormati antara penganut agama. Dalam masa yang sama, kita juga akan mengadakan dialog tertutup mengenai isu-isu keagamaan selain menganjurkan perbincangan bersama pemimpin-pemimpin kerajaan pusat dan negeri.

Kita juga akan memperhebat latihan mediasi kerana ketika ini, kita tidak memiliki kepakaran yang khusus berhubung amalan mediasi konflik antara penganut agama. Dalam hal ini, kita berharap untuk menimba pengalaman daripada dua warga Nigeria iaitu tokoh Islam dan Kristian yang melawat Malaysia baru-baru ini.

Mereka ialah imam Dr. Muhammad Nurayn Ashafa dan Pastor Dr. James Movel Wuye. Kita tertarik dengan pengalaman, kepakaran dan kesungguhan kedua-dua tokoh berlainan agama ini yang saling bergandingan selama 15 tahun dalam meneraju usaha-usaha mediasi khususnya berkaitan pergaduhan antara penganut agama Islam dan Kristian di sana. Di Nigeria, perbalahan antara penganut agama telah mengorbankan kira-kira 500 nyawa. Jadi, kita mungkin boleh belajar sesuatu daripada tokoh-tokoh ini.

Ramai yang tidak jelas mengenai penubuhan jawatankuasa ini terutama dari sudut peranannya. Apa yang boleh Datuk jelaskan mengenai jawatankuasa ini?

Sepanjang 2009, beberapa isu yang menyentuh secara langsung mengenai agama telah timbul termasuk isu penggunaan istilah kalimah Allah. Isu ini telah memberi reaksi negatif di kalangan rakyat sehingga ada yang bertindak merosakkan rumah ibadat. Ini mendorong kerajaan mewujudkan mekanisme yang sesuai untuk menangani isu-isu keagamaan antara penganut agama.

Pastinya, kerajaan juga inginkan persefahaman dan keharmonian antara penganut agama diusahakan secara sistematik dan berkesan dan ini hanya boleh berlaku jika ada badan khusus yang dipertanggungjawab mencapai cita-cita itu.

Semasa pentadbiran kerajaan yang lalu, mekanisme itu sudahpun ada iaitu menerusi penubuhan Jawatankuasa Kerja Perhubungan Antara Penganut Agama yang berfungsi sejak 2005. Bagaimanapun, jawatankuasa itu tamat tempohnya pada penghujung 2008 berikutan berakhirnya fungsi badan induk iaitu Panel Penasihat Perpaduan Negara.

Selama ia berfungsi, jawatankuasa kerja itu telah berjaya meredakan ketegangan antara penganut agama ekoran demonstrasi jalanan yang membantah cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC). Jawatankuasa kerja itu juga telah mengambil maklum ada beberapa isu yang rumit dan timbul lebih dari 20 tahun lamanya. Isu-isu ini memerlukan penyelesaian yang bijak sesuai dengan konteks Malaysia.

Antara isu itu adalah masalah pembinaan rumah ibadat, tempat perkuburan dan pembakaran mayat serta kekurangan pakar-pakar tempatan dalam bidang agama bukan Islam. Masalah lain termasuk pertukaran agama serta isu berkaitan seperti pemakluman, perkahwinan, nafkah isteri dan anak, agama anak- anak kecil, harta bersama dan harta pesaka.

Ada juga kes seperti masalah murtad, masalah guru sekolah tidak sensitif kepada agama bukan Islam dan penggunaan istilah yang sama dalam agama Islam dan menyalahi enakmen negeri, selain beberapa istilah yang juga istilah agama bukan Islam tertentu.

Pada Julai 2008, melalui bengkel khas tertutup, beberapa kaedah telah dikenal pasti mampu dilaksanakan untuk memulakan proses penyelesaian.

Malangnya, tempoh jawatankuasa kerja itu tamat dan proses penyelesaiannya juga terbantut. Justeru, jawatankuasa baru ini yang ditubuhkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah kesinambungan kepada kerja murni yang sebelum ini dijalankan oleh Jawatankuasa Kerja Perhubungan Antara Penganut Agama yang ditubuhkan pada 2005.

Di mana pula kedudukan jawatankuasa ini dari sudut organisasi kerajaan?

Jawatankuasa ini merupakan sebuah badan penasihat di bawah kawalan Jemaah Menteri. Terma tugas dan bidang kuasanya ditentukan oleh Jemaah Menteri. Segala keputusannya yang menyentuh dasar perlu diangkat kepada Jemaah Menteri melalui dua orang Penasihat Bersama iaitu, Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Senator Datuk Seri Mejar Jeneral (B) Jamil Khir Baharom.

Kedu-duanya merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pihak Jemaah Menteri juga telah menubuhkan Urusetia Bersama untuk membantu kerja-kerja jawatankuasa ini dan ia dianggotai oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional; Institut Kefahaman Islam Malaysia, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao dan juga Gabungan Pertubuhan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan. Gabungan ini memayungi 17 buah pertubuhan lain seperti MUAFAKAT, Persatuan Ulama Malaysia, ABIM, PERKIM, MACMA dan JIM. Jika dilihat kepada struktur dan peranan jawatankuasa ini juga, ia sebenarnya jauh berbeza dengan IFC seperti yang didakwa oleh beberapa pihak.

Ada yang mendakwa jawatankuasa ini tidak boleh mencapai objektif utamanya kerana ia dipimpin oleh ahli politik?

Jika dilihat daripada senarai 34 orang ahlinya, adalah jelas bahawa jawatankuasa ini tidak dibarisi oleh pemimpin politik.

Sebaliknya jawatankuasa ini dianggotai oleh pemimpin agama, badan-badan agama serta pegawai-pegawai kanan kerajaan. Hanya saya seorang selaku Pengerusi yang kebetulan ada pengalaman politik.

Di kalangan ahli-ahli lain jawatankuasa ini pula, terdapat wakil dari Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri; Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM); Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN); Majlis Perundingan Malaysia Agama Bufdha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST); Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia; Sidang Injil Borneo, Sabah; Persatuan Gereja-Gereja Sarawak; Interfaith Spiritual Fellowship (INSAF) dan beberapa wakil dari persatuan berteraskan agama lain.

Ada pihak bimbang jawatankuasa ini membenarkan campur tangan pihak bukan Islam dalam isu-isu berkaitan agama Islam?

Berkaitan perbincangan isu-isu keagamaan termasuk yang melibatkan agama Islam, jawatankuasa ini melalui Bengkel Pembangunan Pelan Strategik pada 1-2 Disember 2010, telah bersetuju untuk menubuhkan empat jawatankuasa kerja dengan skop kerja tertentu. Setiap jawatankuasa kerja itu akan mengenal pasti beberapa pakar agama bagi membantu kerja masing-masing. Oleh itu, apa juga isu keagamaan akan dibincang oleh mereka yang memiliki kepakaran yang bertepatan.

Sepanjang mengetuai jawatankuasa ini, bagaimana Datuk melihat penerimaan pemimpin agama lain terhadap Islam?

Setakat apa yang dapat saya perhatikan, pemimpin dan penganut agama lain tidak begitu memahami dan mengenali agama Islam atau pentadbirannya di Malaysia.

Kesedaran dan kefahaman mereka mengenai agama ini termasuk pentadbirannya boleh saya katakan pada tahap yang nipis. Mereka bukan takut kepada agama ini, meskipun di Barat sentimen Islamophobia itu dimainkan dengan begitu hebat sekali.

Ada keinginan di kalangan pemimpin mereka sebenarnya untuk berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin Islam.

Malah, dalam satu majlis meraikan sambutan Hari Krismas bersama-sama Uskup Agung Kristian Katolik baru-baru ini, ada permintaan daripada pihak-pihak pemimpin Kristian untuk berjumpa dan berdialog dengan pemimpin-pemimpin Islam termasuk Mufti. Saya melihat ini sebagai satu perkembangan yang baik dari sudut pertemuan antara tokoh-tokoh agama kerana ia mampu memberikan gambaran dan kefahaman yang sebenar mengenai agama masing-masing .

Saya akan cuba mendapatkan pertolongan Senator Datuk Seri Mejar Jeneral (B) Jamil Khir Baharom, salah seorang Penasihat Bersama bagi jawatankuasa ini bagaimana caranya supaya perjumpaan itu boleh diadakan. Sudah semestinya jawatankuasa ini juga boleh dijadikan sebagai medium untuk mengatur pertemuan antara pemimpin agama Islam dan bukan Islam itu.

Perjumpaan sebegini bukanlah bermaksud kita akan berkompromi dalam soal keyakinan kita kepada agama Islam sebagai agama yang benar dan hakiki. Tetapi ini merupakan satu usaha untuk kita mengenali agama lain demi memupuk persefahaman dan meningkatkan semangat saling menghormati berteraskan perasaan muhibah sesama kita.

Apa cabaran utama dalam menggerakkan jawatankuasa ini?

Ahli ahli Jawatankuasa ini sebahagian besarnya baru berkenalan antara satu sama lain, khususnya antara yang beragama Islam dan bukan agama Islam.

Usaha berterusan telah dilakukan untuk menggalak pembinaan silaturahim antara mereka dan kini mereka lebih akrab berbanding awal tahun ini tetapi tahap perhubungan antara kebanyakan mereka masih belum mantap. Ini satu cabaran kerana tanpa pencapaian kemesraan yang memuaskan, maka kerja-kerja keagamaan yang rumit dan sensitif akan sukar diselesaikan.

Saya juga bimbang tahap komitmen ahli untuk bekerjasama hanyalah sederhana, sedangkan yang diperlukan adalah komitmen yang tinggi.

Justeru, saya sangat mengharapkan ahli yang beragama Islam akan lebih proaktif menghulur tangan persahabatan kepada ahli bukan Islam melalui jemputan minum pagi atau seumpamanya. Begitu juga harapan saya kepada ahli bukan Islam agar sentiasa berikhtiar mendekati ahli beragama Islam.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tahun penting untuk rakyat

Posted:

Tahun penting untuk rakyat

Tahun penting untuk rakyat

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

ANTARA realiti dan fantasi. Itulah dua pilihan yang ada dalam kalangan rakyat Malaysia apabila mereka melangkah masuk ke tahun 2011 pada hari ini.

Realiti ditawarkan oleh Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, manakala fantasi ditawarkan oleh pakatan pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu bercita-cita menjadi Perdana Menteri. Sememangnya tahun 2011 bukan sahaja dilihat penting oleh BN, tetapi juga pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

Justeru, sudah pastilah masing-masing mengatur strategi dengan matlamat untuk meraih sokongan rakyat bagi membolehkan mereka memerintah. Bagi BN, seperti kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, tahun 2011 menjanjikan cabaran getir untuk mereka.

Ujian pertama akan bermula di Dewan Undangan Negeri Tenang yang bakal berlangsung pilihan raya kecil dan ia akan disusuli dengan pilihan raya negeri Sarawak yang paling lambat pun dijangka pada Julai ini dan seterusnya pilihan raya umum.

Berdasarkan cabaran-cabaran berkenaan, sudah tentulah BN perlu menyusun strategi terbaik bagi memastikan kedudukannya dalam arena politik negara kukuh.

Biarpun dalam beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini menyaksikan BN mencapai kejayaan, namun bak kata Hishammuddin ia bukanlah ukuran sebenar, banyak lagi yang perlu dilakukan.

Najib dijangka melancarkan pelan transformasi politik (PTP) yang akan membantu memperkukuhkan lagi gerak kerja BN bagi mencatatkan kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum akan datang.

Namun apa pun, ia bergantung sejauh mana pelan dan tindakan yang dirancang disambut oleh pemimpin serta ahli di peringkat akar umbi kerana merekalah bakal menyampaikan secara langsung kepada rakyat.

Oleh itu, fajar 2011 perlu disambut dengan keazaman yang tinggi oleh pemimpin dan ahli BN untuk memperkukuhkan parti.

Tumpuan sudah pasti diberikan kepada pengukuhan kedudukan BN di negeri-negeri yang ditawan oleh pembangkang seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Sementara Perak juga akan termasuk dalam perhitungan selepas negeri itu terlepas 11 bulan kepada pembangkang.

Bagi mencapai cita-cita menawan kembali negeri-negeri berkenaan, ahli-ahli BN termasuklah UMNO perlu menyingkirkan segala tindak-tanduk politiking sesama sendiri. Ini termasuklah tidak mengamalkan cah keting, tikam belakang dan memburuk-burukkan antara satu sama lain.

Pengumuman Najib mengenai pengerusi perhubungan UMNO negeri baru-baru ini sepatutnya menamatkan segala spekulasi sekali gus membolehkan UMNO memberi tumpuan sepenuhnya bagi menyusun strategi bagi menghadapi pilihan raya.

Sama ada pelantikan yang dibuat disenangi atau tidak, ia seharusnya tidak lagi menjadi persoalan kerana Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO sudah membuat keputusan berdasarkan pelbagai pertimbangan yang mendalam.

Oleh itu, tidak perlulah ada mana-mana pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat negeri merajuk atau ingin membawa diri, kalau begitulah sikap mereka biarkan sahaja. UMNO sudah tidak ada masa lagi untuk pujuk memujuk pemimpin seumpama itu kerana apa yang lebih penting ialah perjuangan parti.

'Musuh politik' BN dan UMNO ialah PKR, DAP dan Pas yang sudah meletakkan sasaran PRU-13 sebagai landasan untuk mereka menawan Putrajaya. Oleh itu, pemimpin dan ahli BN perlu membuat persediaan bagi berhadapan dengan serangan pembangkang yang sudah pasti lebih hebat demi mencapai cita-cita politik mereka dan bukannya membuang masa melayan kerenah memualkan dalam parti sendiri.

Pembangkang awal-awal lagi mengemukakan pelbagai janji kepada rakyat jika mereka diberi peluang memerintah, sama ada janji itu mampu ditunaikan atau tidak, itu soal kedua. Apa yang penting rakyat perlu dipengaruhi bagi membolehkan sokongan diraih. Sebenarnya, BN tidak boleh memandang remeh apa yang dilakukan oleh pembangkang itu kerana dalam tahun 2008, politik persepsi serta 'mengula-gulakan' rakyatlah yang menjadi punca BN kehilangan kuasa di beberapa negeri dan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

BN perlu mempertingkatkan usaha menyakinkan rakyat terhadap realiti yang ditawarkan oleh parti berkenaan, masa depan negara tidak boleh digadaikan kepada satu pakatan yang terlalu gilakan kuasa semata-mata.

Turut menjadi perhatian pada 2011 ialah sejauh mana kerjasama PKR, DAP dan Pas mampu bertahan dalam usaha mereka mewujudkan satu barisan alternatif.

Setakat ini, segala-galanya dicorakkan oleh PKR dan DAP manakala Pas menjadi pak turut sahaja. Oleh itu, ramai yang ingin melihat apakah pendirian Pas seterusnya.

Sikap PKR dan DAP yang melakukan apa sahaja tindakan semata-mata kerana kuasa dikatakan tidak sehaluan dengan Pas, biarpun ada sebahagian pemimpin parti itu mengiakan saja apa kata PKR dan DAP demi menjaga hubungan serta meraih kuasa.

Sudah terdapat arus di dalam Pas yang mahu parti itu keluar daripada pakatan dan berjuang sendirian. Ia kerana mereka amat memahami selagi Pas berada dalam gabungan berkenaan, PKR dan DAP sudah pasti tidak akan membiarkan Pas menjadi sebuah parti yang dominan.

Hakikatnya, corak politik yang diamalkan oleh PKR dan DAP tidak sesuai dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas tetapi entah mengapa Pas mahu juga bertahan untuk bekerjasama dengan kedua-dua parti tersebut.

Keadaan itu menyebabkan ramai beranggapan bahawa Pas sudah kehilangan rasa yakin diri, tidak seperti mana suatu ketika dulu.

Malahan lebih bahaya daripada itu, Pas dikatakan akan mengalami kerugian lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang berbanding dengan PKR dan DAP.

Bagi PKR pula, parti itu akan melangkah ke tahun baru dengan seribu satu masalah. Krisis keyakinan bukan sahaja membelenggu ahli-ahlinya, malah juga pemimpin mereka.

Sebab itulah, kita menyaksikan hari demi hari ada sahaja pemimpin atau ahli PKR meninggalkan parti tersebut. Ini kerana mereka semakin menyedari bahawa perjuangan PKR hanya untuk kuasa dan segala yang dibentangkan kepada rakyat hanya sekadar janji-janji yang sukar ditunaikan.

Apa yang berlaku Selangor, contohnya sudah menjadi bukti bahawa PKR tidaklah sehebat mana. Oleh itu, rakyat perlu mengkaji dengan sebaik-baiknya segala usaha yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh kepimpinan Najib dan bukannya berkhayal dengan janji-janji kosong pembangkang.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan