Selasa, 28 Disember 2010

Kosmo Online - Rencana Utama

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Trend jual beli karya seni

Posted:

Trend jual beli karya seni

Trend jual beli karya seni

Oleh YEO LI SHIAN
yeo.lishian@kosmo.com.my



ROBERT TOK, 45, bukan pengunjung baru setiap kali berlangsungnya pameran seni di ibu negara. Malah, keterujaan bapa kepada empat orang anak itu jelas memandangkan kunjungannya ke pameran-pameran seumpama itu setiap kali tidak akan hadir dengan tangan kosong.

Sebaliknya, lelaki yang berasal dari Kuantan, Pahang itu akan membawa wang tunai bernilai puluhan ribu ringgit bersamanya. Wang itu dibawa dengan harapan beliau dapat membeli lukisan-lukisan yang disukai.

Dalam satu pameran seni terbesar, Art Expo Malaysia 2010 yang diadakan di ibu negara baru-baru ini, Robert sekali lagi tidak sedih untuk berpisah dengan sebahagian daripada wang simpanannya. Walaupun bajet yang dikeluarkan agak besar, dia lebih gembira apabila lukisan kegemaran sudah menjadi miliknya.

Tindakan spontan untuk membeli lukisan demi kepuasan diri itu bagaimanapun kurang disenangi oleh isteri Robert memandangkan seni kepada isterinya dianggap satu pembaziran. Apatah lagi, pendapatan bulanan Robert yang hanya seorang pemandu lori cuma cukup-cukup makan untuk menampung seisi keluarga.

Robert bagaimanapun tidak keseorangan. Dia merupakan sebahagian daripada kategori pembeli yang biasanya sanggup mengeluarkan sejumlah wang asalkan lukisan yang dibeli menepati cita rasa mereka.

Membeli lukisan sebenarnya telah menjadi satu gaya hidup masyarakat urban di Malaysia pada hari ini. Pelaburan atas seni atau lukisan baik untuk tujuan kepuasan diri mahupun keuntungan tidak lagi hanya terhad kepada golongan berada dan elit.

"Hari ini, sesiapa pun boleh membeli lukisan asalkan dalam lingkungan bajet masing-masing. Daripada ratusan sehingga ribuan ringgit.


KECANGGIHAN teknologi kini membolehkan keaslian sesebuah lukisan disahkan.


"Tidak kira berapa pendapatan kita, jika sudah minat, anda akan sanggup untuk membelinya," kata Pengarah Projek Art Expo Malaysia, Sim Pojinn kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini.

Hakikatnya, pembeli perlu terlebih dahulu menyukai hasil karya yang dibeli. Faktor ini penting memandangkan pembeli perlu 'hidup' bersama sesebuah lukisan yang dimiliki.

Menurut Pojinn, lazimnya terdapat dua kategori mentaliti pembeli seni. Selain golongan yang membeli atas dasar suka tanpa mempedulikan siapa pelukisnya, kategori kedua pembeli pula lebih memberi tumpuan kepada butiran-butiran kecil tentang latar belakang pelukis sesebuah hasil karya.

Ketelitian seperti itu biasanya amat penting bagi golongan pembeli yang membeli lukisan untuk tujuan pelaburan kerana mereka ingin mengetahui prospek lukisan untuk dijual semula selepas tempoh beberapa tahun. Sebagai satu produk bersifat intelektual, trend membeli seni untuk pelaburan di Malaysia dilihat kian ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Karya kontemporari

"Kini, karya kontemporari Malaysia semakin hangat di pasaran. Ramai golongan pembeli muda yang

berusia di bawah 60 tahun membeli

karya -karya seni kontemporari padahal pada tahun 1980-an, seni kontemporari sukar laris," terangnya sambil memberitahu Malaysia juga memiliki ramai pelukis yang berbakat dan berkaliber.

Jika pelaburan dalam seni lebih terjurus kepada subjek-subjek berbentuk pemandangan sekitar tahun 1980-an, trend hari ini tertumpu kepada lukisan-lukisan kontemporari. Lukisan kontemporari boleh hadir dalam gaya surrealism mahupun realistik biasanya membawa tafsiran yang tersirat dan tidak sekadar pada corak-corak permukaan sesebuah hasil karya.


LUKISAN bersifat kontemporari biasanya menyimpan maksud tersirat sesebuah lukisan.


Dari konteks pasaran antarabangsa, lukisan kontemporari Cina menjadi rebutan. Pengarah sebuah pusat bidaan, Institut Sotheby Singapura, Phil Whittaker berkata, nilai lukisan kontemporari Cina telah meningkat lebih 200 peratus dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Namun, beliau yang memiliki lebih dua dekad pengalaman dalam industri jual beli pelaburan seni berpendapat, pada asasnya, pelaburan seni perlu dilakukan pada masa yang betul. Malah, kemahiran untuk membeli dan menilai lukisan yang berbaloi sebagai pelaburan juga tidak berlaku dalam masa sehari dua.

"Banyak yang perlu diketahui dan dipelajari sebelum seseorang boleh menjadi seorang pakar pelabur seni atau lukisan. Oleh sebab sesetengah orang mendapat keuntungan melalui pelaburan dalam seni tidak bermakna setiap orang untung," katanya dalam satu seminar bertajuk Penilaian dan Pelaburan Seni di ibu negara baru-baru ini.

Sebaliknya, sebelum mencampakkan sejumlah wang ke dalam lukisan untuk tujuan pelaburan, seseorang pembeli perlu mengetahui dan menguasai tip-tip membeli lukisan yang asli. Pertama, latar belakang seseorang pelukis dan lukisannya boleh menentukan nilai dan kualiti sesebuah hasil karya.

Proses perkembangan seseorang pelukis, galeri yang mewakilinya, berapa banyak pameran yang telah disertai serta pandangan wakil galeri melihat potensi pelukis tersebut adalah persoalan yang perlu dijawab.

Lukisan palsu

Whittaker yang juga seorang pengumpul lukisan berkata, harga sesebuah lukisan juga dipengaruhi oleh beberapa faktor. Bakat semata-mata tidak mencukupi untuk menambahkan nilai sesebuah hasil karya. Sebaliknya, jumlah dan jenis anugerah atau pengiktirafan yang diterima, pencapaian akademik, jenis medium yang digunakan serta pendapat pihak ketiga tentang pelukis tersebut adalah satu bonus tambahan.

"Pada kebiasaannya, nilai lukisan cat minyak adalah lebih tinggi berbanding cat air ataupun lakaran biasa. Tetapi itu pun bergantung kepada reputasi pelukis terbabit," jelasnya.


POJINN berpendapat masyarakat Malaysia sudah tahu menghargai seni sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.


Dalam keseronokan mengejar trend membeli dan melabur dalam seni, pembeli yang tidak berpengalaman juga boleh terdedah kepada risiko terbeli lukisan palsu.

"Kita ambil senario ini sebagai contoh. Jika anda dicadangkan untuk membeli sebuah lukisan yang kononnya sangat berkualiti dan dihasilkan oleh pelukis terkenal pada harga ribuan ringgit dan penjual pula beriya-iya menjualkannya kepada anda. Anda perlu berfikir dahulu.

"Sekiranya lukisan itu hasil karya orang yang ternama dan anda pun bukan pengumpul seni yang terkemuka, apakah rasionalnya penjual atau galeri akan menjualkannya kepada anda? Jadi, berhati-hatilah pada tawaran harga murah untuk lukisan oleh pelukis terkemuka," kata Whittaker sambil menasihati.

Pemilik Galeri Artseni di Galeri Starhill, Jalan Bukit Bintang, Philip Wong, 42, yang dihubungi Kosmo! pula berkata, sesiapa juga boleh menjadi pelabur dalam bidang seni asalkan mereka membuat penyelidikan yang terperinci mengenai subjek tersebut.

"Ramai pembeli dari Barat lebih tahu menghargai dan membeli lukisan kerana mereka memahami sejarahnya. Berbeza pula dengan orang kita. Tidak ramai yang tahu tentang gaya dan teknik lukisan yang ingin dibeli.

"Jadi, saya nasihatkan pembeli agar banyak membaca dan melakukan penyelidikan terperinci terlebih dahulu daripada buku, katalog atau majalah-majalah seni sebelum membeli seni untuk pelaburan," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

FluCard gantikan pemacu pena

Posted:

FluCard gantikan pemacu pena

FluCard gantikan pemacu pena


TAN memasang impian mahu menjadikan Flucard satu fenomena yang digilai seperti pemacu pena.


MEMAKSA penggunaan disket menempah tiket ke era kejatuhannya, Henn Tan berjaya memandu jentera perniagaannya untuk memastikan penggunaan pemacu data USB (Universal Serial Bus) berkembang seiring globalisasi.

Bagaimanapun, cengkaman legasinya dalam dunia penghasilan pemacu data semakin ampuh tatkala pelbagai jenama alatan kompak itu terpacul di pasaran.

Kini, usahawan dari Singapura itu memasang harapan untuk membuktikan dia adalah peneraju terulung dalam penciptaan alatan kecil yang mampu menyimpan data dalam kuantiti mega itu.

Tan yang menggenggam paten pemacu simpanan data kompak itu telah tersebar ke 30 pasaran tempatan dan label antarabangsa kini tampil dengan inovasi terbaru bersama nama yang lebih unik.

FluCard iaitu alat penyimpan data bersaiz setem berupaya memindahkan data tanpa wayar.

Fenomena yang diigilai

Tan yang menganggap ia adalah satu kelahiran baru turut memasang cita-cita untuk melihatnya menjadi satu fenomena dan digilai berjuta-juta pengguna seperti pemacu USB.

Tan juga mengakui ramai pengguna teknologi telah menjadikan pemacu pena (thumbdrive) sebagai satu permintaan pasaran semasa yang hangat.

"Namun, jujur saya katakan dakwaan mereka itu adalah salah. Walaupun mereka tetap tidak mempercayai kata-kata saya.

"Kita bukan sekadar bergelumang dengan era pemacu pena sebaliknya kuasa FluCard akan mengatasi segala-galanya," tegas Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif (CEO) Syarikat Antarabangsa Trek 2000 yang kini turut tersenarai dalam bursa saham Singapura.

Tan juga kesal dengan kesilapannya membiarkan pemacu pena bertahan sendirian tanpa berkongsi dengan syarikat megalopolis pada tahun 2000. Beliau mengakui kenaifannya mengabaikan pesaingnya memanipulasi keupayaan alat simpanan datanya itu.

Namun, kali ini beliau bergabung dengan syarikat terkenal Jepun, Toshiba Corp. untuk mempromosi FluCard dan memastikan patennya dilindungi sepenuhnya.

Ditebak dengan persoalan mengenai pemilihan nama alatan canggih ciptaan terbarunya, Tan seraya memaklumkan ia sesuai dengan sifatnya yang sangat mudah berjangkit malah senang untuk disebut-sebut.

Usahawan yang menggaji pakar teknikal untuk merealisasikan buah fikirannya turut mengaitkan FluCard dengan senario global.

"Kalau anda ke Afghanistan sekali pun dan menyebut perkataan flu, pasti mereka akan memahaminya," ujarnya yang baru bergelar usahawan itu.

Pengurus bahagian Penasihat Teknologi Frost dan Sullivan, Marc Einstein menambah, FluCard adalah satu tanda bahawa proses penumpuan pengguna elektronik dan teknologi komputer giat berlaku.

"Saya yakin masa depan teknologi dan alatan pengguna bermula dari sini," luahnya yang turut optimis dengan jaminan keselamatan syarikat Toshiba.

Syarikat Tan dan Toshiba kini diiktiraf pemegang saham kedua terbesar menerusi Syarikat Antarabangsa Trek 2000 yang kini telah berjaya membentuk satu konsortium pengusaha kamera dan memberikan FluCard sebagai satu standard.

Pengarah Kajian bersama di syarikat pembrokeran Singapura, DMG dan rakan kongsi, Terence Wong melihat satu prospek komersial yang baik untuk pasaran FluCard dan penggabungan Tan dengan Toshiba adalah pergerakan yang positif.


FLUCARD iaitu penyimpan data bersaiz setem berupaya memindahkan data tanpa wayar.


"FluCard ini berkemungkinan akan menggantikan penggunaan kad SD (Secure Digital) jika ia dibangunkan secara berhemat," kata Wong.

Direka seakan-akan kad memori SD yang digunakan dalam kebanyakan kamera digital, FluCard turut dilengkapi dengan perincian pemindahan data secara WiFi ke atas alatan lain. Ia juga mempunyai kebolehan yang sama seperti telefon bimbit dan komputer riba.

"Saya boleh menghasilkan alatan yang lebih baik daripada keupayaan kad SD yang hanya mampu menyimpan data sahaja. Selagi alatan anda dilengkapi dengan WiFi, anda boleh memuat turun apa sahaja daripada FluCard," tambah Tan.

Sesuai untuk semua

Dilancarkan pada awal tahun ini, FluCard berfungsi dalam semua alatan termasuk kamera digital yang menyediakan slot SD.

Menurut kajian pasaran semasa, kad SD yang kebiasaannya digunakan dalam kamera digital kompak telah terjual sebanyak 100 juta unit pada tahun 2009.

Menerusi penggunaan FluCard dalam kamera digital, pengguna mempunyai pilihan untuk memuat naik gambar baru secara terus dalam talian Internet untuk berkongsi detik-detik manis bersama rakan-rakan yang menggunakan perisian Facebook atau jaringan sosial lain sebagai perantaraan.

Ia juga bertindak sebagai fail sokongan data berikutan isi kandungan di dalamnya akan dipindahkan ke dalam akaun persendirian di portal yang telah didirikan oleh Syarikat Antarabangsa Trek 2000.

Idea untuk mencipta FluCard oleh Tan tercetus selepas musibah kehilangan kamera digitalnya apabila pulang daripada bercuti bersama keluarganya di China lima tahun lalu.

"Kita tidak boleh kembali semula ke tempat itu semata-mata untuk mengambil gambar. Dalam masa yang sama, kita akan merasa sangat jelek apabila tiadanya fail-fail sokongan untuk data yang telah hilang," getus Tan.

Tan menambah, kuasa FluCard akan menjadi lebih besar jika ia dibangunkan dengan betul.

"Ia juga akan melonjakkan syarikat saya daripada sebuah syarikat terpinggir kepada liga utama dalam industri penyimpanan data," katanya. – AFP

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

0 ulasan:

Catat Ulasan