Rabu, 29 Disember 2010

Harian Metro: BeritaUtama

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: BeritaUtama


Nahas adik-beradik

Posted: 28 Dec 2010 11:48 AM PST

TUMPAT: Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan Proton Iswara yang dipandu abangnya dalam kemalangan di Jalan Kampung Bendang Pak Yong, di sini, kelmarin.

Dalam kemalangan adik-beradik yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu, Mohd Syafiq Ghani, 16, yang menunggang motosikal Yamaha 125 maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Tumpat, manakala abangnya, Mazlan, 19, terseliuh tangan kiri.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Bendang Pak Yong ke Kota Bharu sebelum motosikal ditunggangnya bertembung kereta dipandu abangnya yang datang dari arah bertentangan.

Berikutan itu, Mohd Syafiq tercampak hampir dua meter dan parah di kepala manakala kereta abangnya terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh tiang lampu.


Ibu saudara mangsa, Rokiah Ismail, 53, berkata dia terkejut sebaik menerima panggilan telefon daripada seorang saudara mengenai kejadian itu pada jam 6 petang dan bergegas ke hospital.


Menurutnya, sebelum kejadian, Mohd Syafiq baru keluar dari rumah selepas menikmati minuman petang bersama ibunya, Zaleha Awang Kecik, 45.

"Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik, namun dia baru menggunting rambutnya sebagai persediaan untuk kembali ke sekolah.

"Selain itu, dia bersungguh-sungguh mahu menyelesaikan segala urusan pembayaran yuran persekolahannya hari ini (semalam) dan kelihatan tak sabar untuk mula bersekolah kerana akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan," katanya ketika ditemui di rumah Mohd Syafiq, semalam.

Usaha menemu bual ibu remaja itu gagal kerana wanita berkenaan masih sedih dan terkejut dengan kehilangan anak kedua daripada lima beradik itu, tambahan pula suaminya, Ghani Hassan, baru meninggal dunia, tahun lalu.

Rokiah berkata, Mohd Syafiq, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat, di sini, rapat dengan abangnya itu dan kejadian yang menimpa mangsa membuatkan abangnya masih trauma dan terkejut.

Jenazah mangsa dikebumikan di tanah perkuburan Islam Mukim Bendang Pak Yong pada jam 11 malam kelmarin selepas dituntut keluarganya di Unit Forensik Hospital Tumpat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan meminta pemandu kereta yang cuba dipintas Mohd Syafiq tampil ke balai untuk membantu siasatan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Dibelasah adik ipar

Posted: 28 Dec 2010 11:43 AM PST

MELAKA: "Apabila saya turunkan tingkap kereta sebelah pemandu, tiba-tiba satu tumbukan tepat mengenai mata sebelah kiri saya menyebabkan pandangan berpinar dan pada masa sama, dia (adik ipar) terus menumbuk saya bertubi-tubi," kata seorang peniaga, Maslan Jannel, 42, dari Taman Desa Bayu, Kuala Sungai Baru, dekat sini, yang hampir maut kerana diserang sakit jantung ketika dibelasah adik iparnya Ahad lalu, kira-kira jam 6.15 petang.

Maslan Jannel yang ditemui di Hospital Melaka (HM) berkata, dia diserang adik iparnya yang berusia lewat 30-an akibat berlaku sedikit salah faham kerana masalah keluarga.

Katanya, akibat dibelasah adik iparnya itu, dia bukan saja mengalami lebam di mata kiri dan dada, malah diserang sakit jantung.

"Ketika kejadian itu, saya sedang melalui satu lorong deretan rumah kedai untuk balik ke rumah sebelum melihat dia (adik ipar) berdiri di tengah jalan.


"Saya teruskan perjalanan sebelum dia beralih ke tepi jalan sambil mengejar dan menendang pintu kereta di sebelah pemandu.


"Saya terkejut dan menurunkan cermin kereta untuk bertanya mengapa dia buat begitu.

"Dengan marah, dia memandang saya, belum habis bercakap, tiba-tiba dia melepaskan tumbukan kuat mengenai mata kiri hingga pandangan berpinar," katanya.

Beliau berkata, akibat tumbukan itu, matanya menjadi kabur, bibir pecah, namun ketika dia tersandar di pintu kereta, adik iparnya terus menyerang dengan menumbuknya bertubi-tubi di dada sehinggakan dia terduduk.

Katanya, pada masa sama, dia melihat sekumpulan kira-kira 15 lelaki turut mengepungnya.

"Seorang anggota polis berpakaian preman yang melalui kawasan itu meleraikan pergaduhan berkenaan sebelum adik ipar saya berlalu pergi sambil mengeluarkan kata-kata kesat," katanya.

Katanya, setibanya di rumah, dia tiba-tiba diserang sakit jantung.

Menurutnya, dia yang menghidap penyakit jantung sejak beberapa tahun lalu dihantar ke Hospital Alor Gajah sebelum ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

"Adik ipar sering mencampuri urusan keluarga saya sejak dulu tanpa sebarang sebab dan kami sekeluarga tidak selesa tindakannya itu.

"Hal anak saya pun dia nak masuk campur. Apa hak dia mencampuri hal keluarga saya, sedangkan kami susah dulu dia tak pernah bantu. Kenapa sekarang nak campur urusan keluarga kami?" katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru, pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes, namun masih dalam siasatan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

0 ulasan:

Catat Komen