Rabu, 29 Disember 2010

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Pelihara khazanah Sungai Pahang

Posted:

Pelihara khazanah Sungai Pahang

Pelihara khazanah Sungai Pahang

Oleh MUSAZLILA MUSTAPAR
utusanpahang@utusan.com.my


Sarif Azib (dua dari kanan) bersama Penghulu Mukim Jenderak, Zainal Azman Bidin (tiga dari kanan) melepaskan anak ikan ke dalam Sungai Pahang di Kampung Kuala Mai, Kuala Krau, Temerloh, baru-baru ini.


TEMERLOH 29 Dis. – Sepanjang aliran Sungai Pahang bermula dari Kampung Kuala Mai hingga ke Kuala Krau di sini, terdapat khazanah tidak ternilai yang perlu dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya.

Khazanah itu bukanlah emas, harta karun atau sebagainya tetapi ia merupakan lubuk ikan yang baru dikenal pasti kewujudannya oleh Jabatan Perikanan Negeri Pahang.

Jabatan tersebut mengesan terdapat 10 lubuk utama yang menjadi tempat pembiakan pelbagai spesies ikan.

Lubuk tersebut merupakan satu khazanah yang perlu sama-sama dijaga kerana jika ia musnah, pastinya habitat pembiakan ikan air tawar itu turut musnah dan menyumbang kepada kepupusan pelbagai jenis hidupan di dalamnya.

Masyarakat sekeliling kawasan ini bertanggungjawab membantu jabatan tersebut menjaga lubuk yang dikenal pasti itu daripada diceroboh oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri.

Mereka yang tidak bertanggungjawab itu tidak memikirkan kesan daripada perbuatan mereka sebaliknya memikirkan keuntungan yang bakal mereka dapati melalui kegiatan penangkapan ikan secara terlarang seperti menggunakan bahan letupan untuk memusnahkan lubuk tersebut dan menuba ikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Mai, Sarif Azib berkata, untuk menjaga dan memelihara ikan air tawar serta lubuk-lubuk sepanjang Sungai Pahang di sini pihak JKKK menubuhkan sistem penjagaan sistematik.

Menurutnya, ia dipanggil Sistem Pengurusan dan Pemuliharaan Sungai (SiPPS) dengan setiap ahli yang dilantik bertanggungjawab menjaga dan membuat rondaan siang dan malam secara bergilir-gilir untuk melihat lubuk-lubuk tersebut daripada diganggu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Kita tidak sangka sungai di Kuala Krau ini mempunyai 10 lubuk tempat pembiakan ikan air tawar.

"Sebab itu ikan di kawasan tersebut banyak dan Jabatan Perikanan Pahang telah memberikan nama kepada lubuk-lubuk tersebut.

"Antaranya Lubuk Temperah, Sanggang, Telaban, Kundur, Kuala Seboi, Singa, Seminai, Redap, Seboi dan Sungai Mai," katanya semasa majlis pelepasan anak ikan ke Sungai Pahang di Kampung Kuala Mai, Kuala Krau di sini baru-baru ini.

Sarif berkata, beberapa spesies ikan air tawar dikenal pasti sebagai spesies terancam yang berkemungkinan akan pupus sekiranya langkah-langkah memeliharanya tidak diambil.

Tambahnya, spesies terancam itu adalah seperti jelawat, kelah, temelian, tengalan, kerai, gerahak, patin, belida, tapah dan beberapa spesies lain kerana mempunyai nilai pasaran yang sangat tinggi.

Jelasnya, jika langkah proaktif untuk memelihara spesies ikan terancam itu tidak diambil, dibimbangi generasi akan datang tidak dapat merasai keenakan isi ikan itu yang kaya dengan sumber protein untuk keperluan tubuh badan.

"Kita harap penduduk tidak melakukan perbuatan yang boleh memusnahkan ikan itu seperti pembuangan sampah atau racun rumpai ke dalam sungai.

"Penduduk juga perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat orang luar yang melakukan kegiatan mengebom ikan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sarif memberitahu, pihak JKKK juga bekerjasama dengan pihak Jabatan Perikanan Daerah dan melepaskan sebanyak 10,000 benih pelbagai jenis ikan air tawar antaranya patin, temoleh, jelawat, kelah dan baung ke 10 lubuk tersebut untuk dibiakkan.

Selain itu, bagi menjamin spesies ikan air tawar itu tidak berkurangan, jabatan perikanan melakukan proses pembiakan dan penetasan ikan dengan kerjasama Pusat Pengembangan dan Akuakultur Perlok, Jerantut.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, penemuan lubuk tersebut di Kuala Krau menggembirakan penduduk dan mereka perlu sama-sama menjaganya daripada sebarang kegiatan yang boleh memusnahkannya.

Menurutnya, penduduk boleh mencari ikan di sini tetapi ia perlu mengikut kaedah penangkapan yang betul supaya hidupan di dalam sungai tidak terancam dan dapat membiak secara semulajadi.

"Penemuan lubuk itu adalah berita menggembirakan buat semua penduduk yang tinggal di sepanjang sungai berkenaan kerana ada antara mereka bergantung hidup dengan menangkap ikan sungai tersebut untuk menampung kehidupan.

"Penemuan lubuk itu juga dapat menambah rezeki nelayan yang sebelum ini berhadapan dengan masalah tangkapan yang semakin berkurangan berikutan kegiatan menangkap ikan secara berlebihan dan penggunaan alat yang diharamkan oleh segelintir nelayan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau meminta JKKK serta penduduk bersama-sama menjaga lubuk terbabit daripada dicerobohi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, larangan menangkap ikan hanya berkuatkuasa di kawasan lubuk itu sahaja dan nelayan masih boleh menangkap ikan seperti biasa di luar kawasan lubuk yang diwartakan sepanjang lapan kilometer yang dikenal pasti itu.

"Penggunaan teknologi dan satelit canggih oleh Jabatan Perikanan dapat memulih dan memelihara kawasan pembiakan ikan air tawar daripada mengalami kepupusan di kawasan berkenaan.

"Penduduk boleh menangkap ikan tetapi tidak boleh menjalankan kegiatan itu di 10 lubuk yang diwartakan. Jika didapati bersalah, mereka akan dikenakan tindakan supaya menjadi pengajaran untuk tidak melakukan sebarang tangkapan di lubuk berkenaan," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Mohon wujud semula PIA, Pias

Posted:

Mohon wujud semula PIA, Pias

Mohon wujud semula PIA, Pias

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my


YANG Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Pahang, Datuk Che Wan Mohd. Khalid Mohamad (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tan Mohd. Aminuddin selepas merasmikan majlis taklimat Prosedur Pendaftaran Baru Kontraktor CIDB Malaysia di Maran, baru-baru ini.


MARAN 29 Dis. – Kerajaan Pusat perlu mewujudkan semula Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (Pias) pada tahun depan bagi membantu kontraktor Melayu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin berkata, kontraktor Melayu sangat memerlukan kedua-dua projek itu bagi menjana pendapatan yang akhir-akhir ini menghadapi masalah mendapatkan kontrak kerajaan.

''Ketiadaan peruntukan projek PIA dan Pias tahun ini kerana peruntukan besar disediakan bagi membiayai projek di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

''Ketika ini terdapat 63,933 kontraktor pelbagai kelas di seluruh negara yang mana 3,677 orang daripadanya ialah rakyat negeri ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis taklimat Prosedur Pendaftaran Baru Kontraktor Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia dan Pembiayaan Kontrak oleh Credit Guarantee Corporation Berhad (CGC) peringkat Zon Tengah di Dewan UMNO Bahagian Maran di sini baru-baru ini.

Tan Mohd. menegaskan, berikutan persaingan hebat mendapat sesuatu projek, masing-masing perlu membuktikan rekod baik sambil menonjolkan kewibawaan diri dan syarikat mereka.

Katanya, pengiktirafan akan datang sendiri daripada kerajaan, swasta atau agensi kerajaan mahupun rakyat yang berpuas hati menerima kemudahan projek itu.

''Kerajaan sentiasa menyokong dan membantu kontraktor sejajar dengan matlamat mewujudkan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera,'' katanya.

Beliau turut menegur segelintir kontraktor Melayu yang lebih cenderung mengambil pekerja asing khususnya Indonesia berbanding penduduk tempatan.

Katanya, perkara itu menyebabkan penduduk tempatan tiada pekerjaan dan hilang punca pendapatan dan kemahiran dalam sektor pembinaan.

''Pengaliran keluar wang negara sebanyak RM16 bilion setahun yang dikirim oleh tenaga buruh Indonesia ke negara mereka tidak baik untuk iklim ekonomi negara,'' katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, kerajaan negeri telah memutuskan bahawa hanya kontraktor di Pahang sahaja layak memasuki mana-mana tender projek di negeri ini.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

0 ulasan:

Catat Komen