Khamis, 30 Disember 2010

Utusan Online - Jenayah

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Peniaga getah cedera ditetak perompak

Posted:

Peniaga getah cedera ditetak perompak

Peniaga getah cedera ditetak perompak


ABDUL Razak Ahmad cedera di kepala dan tangan akibat ditetak penyamun di dalam rumahnya di Kampung Pedas Hilir di Rembau, semalam.


REMBAU 30 Dis. - Seorang peniaga getah cedera parah setelah ditetak oleh sekumpulan perompak bersenjatakan parang yang memecah masuk rumahnya di Kampung Pedas Hilir, dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Abdul Razak Ahmad, 56, mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan tangan kanan akibat ditetak dengan parang oleh penjenayah terbabit.

Menceritakan kembali detik-detik cemas itu, Abdul Razak memberitahu, dia dan isteri yang sedang tidur menyedari rumahnya dipecah masuk sebaik sahaja terdengar bunyi bising akibat dulang disandarkan pada pintu rumahnya terjatuh.

"Lantas saya bangun dan segera mencapai senapang patah milik saya kerana mengesyaki kehadiran pencuri, namun saya tidak sempat mengisi peluru apabila perompak terbabit bertindak menendang pintu bilik tidur saya.

"Apabila mereka melihat saya memiliki senjata, beberapa perompak itu menerkam ke arah saya untuk merampas senjata itu," katanya di sini hari ini.

Jelas bapa kepada empat orang anak itu, dia terpaksa bergelut dan menyebabkan dirinya ditetak di bahagian kepala, muka dan tangan kanan ketika perompak itu ingin merampas senapang.

"Saya hanya memikirkan keselamatan keluarga dan nekad bergelut dengan enam perompak bersenjatakan parang itu, saya tetap melawan walaupun mereka berulang kali menetak parang pada tubuh saya.

"Namun saya rebah akibat terlalu banyak kehilangan darah ketika pergelutan itu dan penjenayah tersebut juga berjaya merampas senjata saya," ujarnya.

Katanya, perompak terbabit dipercayai warga Indonesia itu kemudian bertindak mengikat mereka sekeluarga menggunakan kain yang dikoyakkan.

Tambahnya, perompak terbabit yang tidak bertopeng kemudian menggeledah rumahnya dan melarikan senapang patah serta peluru.

"Mereka juga melarikan barang kemas, wang tunai, komputer riba, telefon bimbit dan pemain cakera video digital (DVD) yang nilai keseluruhannya dianggarkan RM40,000," ujarnya.

Dalam pada itu, isteri mangsa, Selamah Mohd Yusuf, 51, yang turut cedera di tangan kanannya akibat dipukul dengan pemutar skru berkata, salah seorang perompak turut bersikap aneh apabila mandi di bilik air selepas mengikat keluarganya.

"Apa pun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat dalam kejadian berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

"Hasil siasatan awal, kami mendapati suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta dan sebuah motosikal yang diletakkan tidak jauh dari rumah mangsa.

"Polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana merompak dan menyebabkan kecederaan," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Suami isteri dakwa dipukul polis hingga patah gigi

Posted:

Suami isteri dakwa dipukul polis hingga patah gigi

Suami isteri dakwa dipukul polis hingga patah gigi


TAN Khoon Hor (kanan) bersama isterinya, Lim Chung Keok menunjukkan gigi mereka yang patah didakwa kena tumbuk pada sidang akhbar di Rumah Club Cina Jalan Maju Jaya, Taman Pelangi, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 30 Dis. - Sepasang suami isteri pasti mengalami detik-detik menakutkan apabila dipukul empat lelaki termasuk salah seorang daripadanya dipercayai pegawai polis sehingga patah gigi mereka hanya kerana keretanya menghalang kenderaan lain.

Kejadian berlaku pukul 8.45 malam ketika mangsa, Tan Khoon Hor, 35, berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah, Perak, Ahad lalu, untuk ke tandas.

Katanya, ketika insiden dia baru pulang bercuti dari Cameron Highlands dan sedang menuju ke Johor Bahru.

Tambahnya, semasa tiba di R&R terbabit, dia memberhentikan keretanya di belakang kereta kedua-dua lelaki itu kerana tiada tempat letak kenderaan yang kosong.

"Namun semasa hendak ke kereta semula, saya lihat mereka menghampiri isteri saya, Lim Chung Keok, 34, dalam keadaan marah-marah.

"Saya enggan bergaduh lalu menolak lelaki itu perlahan tetapi tiba-tiba mereka menumbuk di muka saya sehingga berdarah dan patah dua batang gigi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, lebih buruk apabila Chung Keok pula datang membantu menyebabkan wanita itu pula ditumbuk sehingga terjatuh dan patah enam batang giginya.

Tambahnya, secara tiba-tiba datang dua lagi lelaki yang tidak dikenali lalu turut sama memukulnya.

"Kami lalu melarikan diri untuk membuat laporan polis dan salah seorang daripada dua lelaki itu mengeluarkan kad kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Dia bagaimanapun tidak memakai pakaian seragam. Kami kemudian ke Balai Polis Tapah untuk membuat laporan seterusnya ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Katanya, semasa membuat laporan, dia dimaklumkan pegawai polis yang memukulnya itu juga membuat laporan mengenai kejadian sama di R&R Tapah.

"Kami menyatakan kepada salah seorang pegawai di balai berkenaan untuk mencari peguam tetapi dia meminta saya tidak berbuat demikian kerana akan membantu menyelesaikan kes itu," katanya.

Khoon Hor menyifatkan tindakan mereka yang memukulnya sebagai melampaui batas dan meminta agar perkara itu disiasat secara menyeluruh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Roslan Bek Ahmad ketika dihubungi hari ini mengesahkan telah menerima laporan tersebut dan pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian tersebut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan dengan sengaja yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

0 ulasan:

Catat Komen