Isnin, 27 Disember 2010

Kosmo Online - Rencana Utama

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Ilusi tiga ahli silap mata

Posted:

Ilusi tiga ahli silap mata

Ilusi tiga ahli silap mata

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN



GHAIB setelah masuk ke dalam kotak kecil yang ditusuk pedang-pedang tajam, muncul bersama persalinan pelbagai warna, terapung tinggi di udara dan menukarkan kertas menjadi rama-rama. Gimik itu cuma secalit daripada persembahan Charles Bach yang memukau ribuan pasang mata yang menyaksikannya.

Ada antara penonton yang terpegun sehingga tidak henti-henti menepuk tangan. Malah ada juga yang berdiri sambil menepuk tangan sebagai tanda penghargaan.

Bagi ahli silap mata dari Amerika Syarikat (AS) itu semua sorakan atau hilai tawa penonton adalah pembakar semangat untuk memberikan persembahan terbaik dan berbeza setiap kali beliau muncul di khalayak.

Membuka persembahan dengan tarian sejuta warna hasil koreografi Roman Luki pada awal pertunjukan, Bach kemudian mengejutkan pengunjung dengan kemunculannya dari sebuah kotak kekunci di tengah-tengah pentas.

Menjamu penonton dengan variasi helah magisnya seperti realisasi lakaran daun terup, tusukan pedang silap mata excalibur, ilusi magis 4D pertama di dunia dan aksi melepaskan diri daripada belenggu jaket lurus, Bach menggamatkan panggung dengan lawak bersahajanya.

Menggabungkan silap mata, tarian, komedi dan ilusi dalam setiap persembahan, Bach sempat berkongsi asam garam dunia silap mata yang dipelajarinya sejak umurnya lapan tahun.

Menurut Bach, pelajaran sulungnya dalam dunia penuh misteri itu bertitik tolak daripada bapa saudaranya menerusi helah-helah daun terup.

Sejak itu, beliau mula menggemari alam magikal dan terus mengasah bakatnya sehingga meraih pelbagai anugerah sepanjang kariernya bergelar ahli silap mata.


LEGENDA kisah pedang ajaib excalibur menghiasi sebahagian daripada pertunjukan magis Bach.


"Kebanyakan barang-barang untuk persembahan saya di pentas adalah hasil rekaan sendiri. Ia bermula selepas tercetusnya imaginasi yang mustahil dan pelik ketika waktu senggang," ujar ahli silap mata yang berumur 40 tahun itu.

Tambah figura yang turut mendapat ilham daripada lukisan, muzik dan filem untuk diadun dengan dunia magisnya, kebanyakan idea Bach adalah yang terkini. Bahkan, beliau jarang sekali mementaskan helah ulangan.

"Detik yang paling menakutkan saya sepanjang persembahan silap mata ini adalah ketika aksi melepaskan diri daripada jaket lurus sambil dijulang di udara bersama bahang api di bawahnya," katanya yang turut tersohor dengan helah meloloskan diri dari dalam air sejak tahun 2002.

Aksi yang berisiko tinggi itu dipentaskan buat julung-julung kalinya di taman percutian keluarga, Genting Highlands. Menurut Bach, impian itu telah lama tersemat dalam hatinya sejak beliau mula menceburkan diri dalam dunia persembahan pentas pada umur 12 tahun.

Pernah cedera ketika mengadakan pertunjukan menggunakan mentol lampu pada awal penglibatannya dalam bidang tersebut, suami kepada Magdalena Bach itu tidak lekang mengadakan pertunjukan amal kepada kanak-kanak di hospital.

"Berkongsi keceriaan bersama kanak-kanak adalah detik yang amat manis apatah lagi jika mereka menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang ini.

"Baru-baru ini saya sempat meluangkan masa menghiburkan mereka di wad pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)," maklumnya sambil mempamerkan pelbagai mimik muka yang melucukan.

Mainan emosi pasir Daria

Mencatat jumlah penonton mencecah puluhan juta di laman Youtube, pelukis pasir kelahiran Ukraine itu tampil dengan permainan emosi bersama penceritaan menakjubkan di kanvas putih berkaca.

Mengilhamkan riwayat hidup legenda pop Michael Jackson, pelukis pasir itu turut menerapkan elemen animasi, fantasi dan kartun dalam kebanyakan persembahannya.


PASUKAN akrobatik Puyang Huachen dari China yang membuat persembahan di Pavilion, Genting.


"Idea setiap karya saya datang berdasarkan emosi dan perasaan saya ketika itu, adakalanya muzik juga memainkan peranan penting untuk saya menjiwai hasil seni yang bakal saya pertontonkan," kata pemilik nama asal Daria Pushankina.

Daria turut menjalinkan teknik penceritaan yang unik dan tersendiri untuk memberikan hasil pertunjukan yang berbeza-beza tiap kali beliau beraksi di pentas.

Pelajaran dalam seni lukisan pasir diperoleh daripada eksplorasi bersama pelajarnya di dalam kelas lukisan selain didorong oleh kehebatan karya artis lukisan pasir lain seperti Ilana Yahav, Ferenc Cakó, Su Dabao dan David Myriam.

Bagi Daria yang mengandaikan dirinya masih mentah dalam seni penghasilan karya pasir secara langsung kepada penonton, beliau sering menjadikan sejarah lampau dan biografi tokoh ternama sebagai rujukan.

"Bukan mudah untuk berkarya secara terus kepada khalayak kerana risiko sesebuah lukisan yang diilhamkan direalisasikan itu gagal sangat tinggi.

"Maka, kaedah terbaik untuk menawan hati peminat adalah dengan menggabungkan elemen utama kehidupan iaitu muzik, pergerakan dan emosi untuk mengeluarkan impak maksimum kepada penonton," ujarnya yang berminat menurunkan ilmunya kepada rakyat Malaysia.

Aksi akrobatik China

Tidak lengkap andai emosi yang dibuai sambil fikiran terawang-awang memikirkan taktik yang dipertontonkan terhenti di situ.

Kemunculan pasukan akrobatik Puyang Huachen menggamatkan suasana bersama aksi-aksi luar jangkaan yang penuh bertenaga. Antaranya menjugil dram menggunakan kaki, loncatan tali seirama dan pelbagai aksi berani mati yang dilakukan oleh pelagak seawal usia lapan tahun.

Jurulatihnya, Zhang Jun He memberitahu, seni yang diperturunkan sejak 3,000 tahun lalu itu kini diwariskan kepada lebih 200 orang akrobat yang bernaung di bawah persatuannya.

"Latihan pada awal usia tiga hingga empat tahun adalah yang terbaik untuk mendapatkan struktur dan postur tubuh yang sesuai," tambah kapten kepada pasukan yang telah menjelajah lebih 40 buah negara itu.

Menjayakan lebih 3000 persembahan, pasukan akrobatik itu mampu menghasilkan sepuluh persembahan berasingan di sepuluh lokasi berbeza pada satu-satu masa.


BACH membuka tirai persembahan dengan kemunculannya dari kotak kekunci gergasi.


Semarak GLITZ

Selain dikenali di serata dunia, Puyang Huachen pernah memenangi pelbagai anugerah antaranya Outstanding Chinese Export Cultural Enterprise pada tahun 2008 dan National Key Export of Cultural Event untuk tahun 2009 dan 2010.

Sementara itu, panggung Pavilion yang mampu memuatkan lebih 6,000 pengunjung pada satu-satu masa bergema dengan sorakan penonton yang terpesona dengan kehebatan silap mata, keunikan karya dan aksi daripada ketiga-tiga penghibur itu.

Panggung tersebut pernah menerima kunjungan daripada ahli silap mata tersohor dunia lain umpamanya Ernesto Planas dari Cuba dan Sonny Fontana dari Venezuela sempena rangkaian persembahan dalam Dazzle selain pelbagai persembahan menarik yang lain.

Penolong Timbalan Presiden Bahagian Promosi dan Hiburan Genting Highlands Berhad, Kevin Tan Choon Keat memberitahu, persembahan GLITZ yang bertemakan ilusi, suspens dan imaginasi itu telah membuka tirai persembahan sejak 1 November lalu.

Sehingga 30 April tahun hadapan, The Pavilion yang terletak di First World Plaza, Genting Highlands akan dipenuhi dengan sentuhan pesona magis setiap hari bermula dari pukul 9 malam.

"Tiket dijual pada harga RM70 hingga RM100 untuk dewasa dan RM35 hingga RM50 bagi penonton cilik," ujarya pada majlis pratonton GLITZ di Pavilion baru-baru ini. Tempahan boleh dibuat menerusi laman web www.rwgenting.com atau menghubungi talian 03-2718 1118.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Revolusi sistem pendidikan di India

Posted:

Revolusi sistem pendidikan di India

Revolusi sistem pendidikan di India


INDIA mahu muncul sebagai sebuah negara hebat dengan memperkenalkan teknologi pada harga rendah.


LANGKAH kerajaan India memperkenalkan prototaip komputer tablet ciptaan mereka yang berharga AS$35 (RM109) pada Julai lalu mendapat liputan daripada seluruh dunia.

Di sebalik kejayaan itu, timbul desas-desus yang mempersoalkan sama ada projek tersebut mampu diteruskan atau sekadar sebuah impian sahaja.

Pada pelancaran produk tersebut, Menteri Pembangunan Sumber Manusia India, Kapil Sibal memberitahu, India akan muncul sebagai sebuah negara hebat dengan penggunaan teknologi pada harga yang rendah.

Sibal turut mendedahkan harga untuk sebuah gajet itu bersamaan sebuah iPad Apple iaitu AS500 (RM1,567).

Menurut satu kenyataan rasmi, harga gajet skrin sentuh itu yang disasarkan untuk penggunaan kira-kira sejuta orang pelajar di India boleh dijual pada harga AS$10 (RM31) jika permintaannya bertambah.

Dari segi spesifikasi, komputer tablet yang masih belum diberi nama itu dilengkapi kuasa tambahan selama tiga jam, pelayar Internet, pemain media, keupayaan persidangan video, penstoran data, pemacu cakera keras dan kamera web.

"Harga untuk sebuah komputer tablet turut memberi faedah kepada pengilang meningkatkan produktiviti untuk pengeluaran pada masa akan datang.

"Gajet yang dijual pada harga rendah ini dilihat mampu memberi revolusi baru dalam sistem pembelajaran di negara kami. Ia juga bakal menerima impak positif untuk kempen celik IT kami," kata Sibal.


SEBANYAK 61 peratus rakyat India dilaporkan ketinggalan dalam sistem pendidikan mereka.


Komputer versi asas

Sebelum ini, rakyat India pernah berjanji bahawa penggunaan komputer riba pasti akan mendapat sambutan.

Namun, keputusan kerajaan India untuk memasarkan komputer di antara tahun 2005 hingga 2009 hanyalah satu gimik dan tidak pernah dikotakan.

Dalam pada itu, seorang rakan kongsi di firma audit tempatan, Ernst and Young, Terry Thomas mendakwa, penjualan komputer tablet itu berkemungkinan menghadapi masalah.

"Harga sebuah komputer yang dilengkapi dengan fungsi biasa tidak mampu bertahan kecuali jika mendapat subsidi daripada kerajaan atau industri pembuatan itu sendiri," katanya.

Thomas menyarankan supaya komputer tablet itu hanya dimuatkan versi asas sahaja bagi mengelakkan kos tambahan pengiklanan walaupun ia berkemungkinan tidak mampu menarik perhatian pengguna.

Difahamkan, sebanyak 100,000 unit komputer tersebut akan dipasarkan pada Januari depan, namun butiran lengkap mengenai spesifikasi sebenar gajet itu masih belum diputuskan.

Pada masa yang sama, beberapa pakar turut memberi amaran bahawa gajet tersebut mungkin akan bergelut dengan isu seperti menggunakan barangan import murah dan peningkatan caj buruh yang tinggi yang bakal ditanggung oleh kerajaan India.

"Jika semua bayaran hanya untuk membayar kos buruh, kos bagi barang-barang material seperti plastik atau silikon pula tidak mampu untuk dibiayai," kata Joydeep Bhattacharya yang bertugas di syarikat gergasi komputer Amerika Syarikat (AS), Hewlett-Packard.

Kurang kos pembuatan

Mengulas mengenai harga bagi seunit papan induk yang mencecah AS$47 (RM147), kementerian Sibal dalam satu kenyataan pada awal tahun ini mendakwa kos pembuatan gajet itu masih boleh dikurangkan.

Sibal pada masa yang sama berharap 10 juta unit gajet itu berjaya dihasilkan dalam tempoh 12 bulan.

Beliau juga enggan mendedahkan identiti pengeluar gajet tersebut walaupun ia bakal berada di pasaran dalam masa sebulan.

Dalam perkembangan lain, sebuah kilang teknologi yang berpangkalan di New Delhi iaitu Persatuan Pengeluar Teknologi Maklumat (MAIT) menegaskan, subsidi kerajaan India tidak mampu u menurunkan harga AS$35 (RM109) ekoran tekanan di pihak pamasaran.

Pengarah Eksekutif MAIT, Ashwani Aggarwal berkata, dia keliru sama ada harga tersebut turut meliputi cukai, caj pengangkutan dan kos penghantaran atau sebaliknya.


SIBAL menyasarkan kira-kira sejuta orang pelajar di India boleh memiliki komputer tablet pada harga RM109.


"Untuk selari dengan kos, usaha yang lebih serius perlu diberi perhatian menerusi program yang menyediakan kewangan kepada pelajar," kata Aggarwal.

Sebagai rekod, sebanyak 61 peratus rakyat India dilaporkan jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju lain seperti China yang jauh ke depan dengan 92 peratus, tetapi masih berusaha untuk memajukan sistem pendidikan mereka.

Justeru, perancangan komputer tablet merupakan salah satu langkah untuk meningkatkan jumlah pelajar mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, mendedahkan mereka dengan kemahiran teknologi yang diperlukan untuk membangunkan ekonomi di India.

Walaupun berdepan dengan pelbagai halangan, Timbalan Presiden Eksekutif sebuah firma teknologi di India, HCL Infosystems, George Paul optimis sambil memberitahu, progres komputer tersebut adalah satu kemajuan jangka panjang untuk India.

"Persatuan Satu Komputer Riba untuk Seorang Kanak-kanak di AS sebelum ini agak sukar untuk mencapai sasaran, tetapi kini ia menuju ke frasa baru iaitu dengan menggunakan komputer buku pada harga yang rendah.

"Ini adalah satu contoh perjalanan yang akan terus berkembang," katanya. - AFP

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

0 ulasan:

Catat Komen