Isnin, 27 Disember 2010

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Ramai tidak hirau risiko

Posted:

Ramai tidak hirau risiko

Ramai tidak hirau risiko

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my


SALAH seorang penunggang motosikal yang dikesan tidak melalui laluan khas di Lebuh raya Persekutuan.


KUALA LUMPUR 27 Dis. - Lebuh raya Persekutuan yang menghubungkan ibu negara dengan Klang merupakan lebuh raya tersibuk di negara ini.

Ini kerana lebuh raya yang dibuka pada tahun 1967 itu melalui kawasan yang paling pesat membangun di negara ini iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam.

Walaupun banyak lebuh raya alternatif dibina tetapi Lebuh raya Persekutuan tidak pernah pudar popularitinya di kalangan pengguna jalan raya.

Sebab itu, kesesakan lalu-lintas di lebuh raya tersebut dianggap sebagai perkara biasa dan tidak boleh dielakkan walaupun pada tengah malam.

Menyedari kesibukannya, kerajaan membina laluan khas untuk motosikal di sepanjang lebuh raya bagi mengurangkan risiko berlaku kemalangan di kalangan golongan itu.

Namun, di sebalik usaha kerajaan itu, masih terdapat segelintir penunggang motosikal yang enggan menggunakan kemudahan itu, sebaliknya memasuki laluan utama Lebuh raya Persekutuan.

Tinjauan Utusan Malaysia selama sejam di lebuh raya itu mendapati, tidak kurang daripada 20 buah motosikal yang tidak menggunakan laluan motosikal yang disediakan.

Pemerhatian mendapati, tindakan mereka itu bukan sahaja membahayakan diri mereka tetapi juga kenderaan lain kerana kebanyakan pemandu tidak menyangka ada motosikal di laluan mereka.

Keadaan bertambah bahaya di susur-susur keluar ke lebuh raya itu kerana ada penunggang motosikal yang dilihat seolah-olah tidak menghiraukan kenderaan yang datang dari sebelah kanan mereka.

Walaupun banyak kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal di laluan utama lebuh raya itu sering berlaku, namun masih ramai yang tidak mengambilnya sebagai iktibar.

Persoalannya ialah mengapa wujud penunggang motosikal yang enggan menggunakan laluan yang sudah dikhaskan untuk mereka.

Tinjauan mendapati, laluan motosikal itu sebenarnya masih tidak selamat sepenuhnya kepada golongan tersebut kerana tidak diselenggara dengan sempurna.

Penunggang yang ditemui memberitahu, antara kelemahan di laluan motosikal itu ialah tiada lampu jalan khusus untuk laluan tersebut, jalan banyak yang rosak, air bertakung dan laluan yang sempit.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Laluan motosikal juga berbahaya

Posted:

Laluan motosikal juga berbahaya

Laluan motosikal juga berbahaya


SUSUR masuk yang sempit adalah antara kelemahan di laluan motosikal Lebuh raya Persekutuan.


KUALA LUMPUR 27 Dis. - "Memang tidak begitu selamat tetapi apa nak buat." Itulah rungutan penunggang motosikal yang menggunakan laluan khas motosikal di Lebuh raya Persekutuan.

Seorang penunggang, Hasnoor Hussin, 24, berkata, memang tidak dinafikan penggunaan laluan utama lebuh raya itu berbahaya bagi golongan sepertinya.

Namun, tegasnya, jika diteliti betul-betul, penggunaan lorong motosikal juga berisiko tinggi terutama pada waktu malam.

"Mana tidaknya, sepanjang laluan motosikal ini, tidak ada lampu, semuanya hanya bergantung kepada lampu di laluan utama sahaja.

"Dengan keadaan gelap seperti ini, sedikit sebanyak telah mendorong pengguna untuk menggunakan laluan utama walaupun ia mendatangkan risiko kepada mereka," katanya ketika ditemui di sini.

Dia menambah, selain gelap, keadaan permukaan jalan di laluan motosikal juga agak berbahaya kerana tidak diselenggara dengan baik.

"Begitu banyak kawasan yang berlopak, tidak rata dan juga berlubang-lubang, di samping terdapat banyak pasir," katanya.

Selain itu, katanya, tindakan individu yang tidak bertanggungjawab yang sengaja menaburkan paku di laluan tersebut menambahkan lagi risiko menggunakan laluan motosikal.

"Pernah tayar motosikal saya pecah akibat terkena paku yang ditabur itu. Nasib baik masa itu ada orang yang sanggup membantu saya menolak motosikal ke bengkel berdekatan," katanya.

Hasnoor berkata, kebarangkalian untuk berlaku jenayah di laluan motosikal juga tinggi terutama pada waktu tengah malam.

"Jenayah seperti samun sangat mudah terjadi memandangkan pada waktu itu sudah tidak banyak kenderaan yang melalui laluan ini," katanya.

Dia berharap pihak yang bertanggungjawab dan juga pihak polis supaya sering melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan itu sebagai satu langkah pencegahan.

Seorang lagi pengguna, Muhamad Zaim Redzuan, 25, berkata, dia sering pulang lewat malam dan menggunakan lorong motosikal untuk pulang ke rumahnya di Shah Alam.

Ujarnya, setiap kali pulang, dia pasti merasa tidak selamat memandangkan begitu banyak masalah dan risiko apabila menggunakan laluan tersebut.

"Saya perlu lebih berhati-hati terutamanya apabila tiba di terowong yang mempunyai selekoh tajam dan sempit selain ada yang agak curam dan menakung air.

Katanya, di beberapa bahagian laluan itu menuju ke Shah Alam, kawasan di tepinya sangat bersemak dan menggerunkan terutama pada waktu malam.

"Namun, saya sudah biasa dengan keadaan ini dan berharap tidak ada apa-apa yang tidak elok berlaku kepada saya," katanya yang berharap pihak pengendali lebuh raya itu memantau keadaan di lorong motosikal tersebut.

Dia percaya, jika semuanya sempurna, pasti tidak akan ada penunggang motosikal yang akan memasuki laluan utama Lebuh raya Persekutuan.

Seorang pemandu, Jazaly Amry Jaafar, 24, pula berkata, memasuki laluan utama Lebuh raya Persekutuan umpama menempah maut kerana kenderaan di situ sangat sibuk dan dipandu laju.

Katanya, jika berlaku sedikit kesilapan, penunggang motosikal pasti akan menjadi mangsa.

"Kadang-kadang kita tidak perasan kehadiran penunggang motosikal memandangkan saiznya yang kecil dan berada di celah-celah kenderaan yang besar.

"Oleh kerana laluan motosikal sudah disediakan, saya minta penunggang motosikal menggunakan kemudahan itu kerana ia lebih selamat.

"Sudah banyak kali terjadi kes penunggang motosikal maut kerana menggunakan laluan utama lebuh raya ini sedangkan ia tidak seharusnya berlaku," katanya.

Dia tidak menolak kemungkinan ada penunggang memasuki laluan utama Lebuh raya Persekutuan untuk mengelak daripada pemeriksaan polis yang sering membuat sekatan jalan raya di laluan tersebut.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan