Selasa, 5 Jun 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Anak nyaris hilang akibat ditinggal dalam kereta

Posted:

Anak nyaris hilang akibat ditinggal dalam kereta

Anak nyaris hilang akibat ditinggal dalam kereta

05/06/2012 7:36pm

JOHOR BAHRU — Seorang suri rumah menempuh detik mencemaskan apabila anaknya yang ditinggalkan dalam kereta dengan enjin yang masih hidup, dilarikan seorang lelaki di Bandar Baru Kangkar Pulai dekat sini, pagi semalam.

Bagaimanapun, Khazlim Saat, 35, boleh menarik nafas lega selepas anak bongsunya, Mohd. Ryan Hazim, 2, berjaya ditemui sejam kemudian dan detik itu memberi pengajaran yang cukup bermakna kepadanya.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, beliau meninggalkan dua anak perempuannya, Nor Sabrina Damiah, 6, dan Nor Sofea Hadirah, 4, serta Mohd. Ryan dalam kereta untuk membeli barang di sebuah kedai runcit di kawasan berkenaan.

"Sebelum keluar, saya sudah mengunci pintu kereta, tetapi tidak lama selepas itu, Damiah datang kepada saya dan belum sempat dia membuka mulut saya terdengar Hadirah menjerit.

"Saya terus keluar dari kedai runcit dan ternampak Hadirah berada di luar kereta sambil menjerit dan dalam sekelip mata, kereta saya dalam keadaan pintu yang masih terbuka dilarikan oleh seorang lelaki dengan anak bongsu saya berada dalam kereta," katanya.

Beliau yang tidak menyangka dengan insiden itu, berkata, dengan bantuan orang ramai mereka melaporkan kejadian itu kepada polis.

Khazlim berkata, beliau juga sempat menghubungi suaminya Mohd. Hisham Rahiman, 35, rakan-rakan serta jirannya untuk membantu mencari anaknya itu.

Katanya, tidak sampai sejam selepas itu, polis Nusajaya menerima laporan mengenai penemuan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang ditinggalkan di hadapan sebuah restoran, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian. "Saya merasa amat bersyukur kerana anak saya berjaya ditemui dengan keadaan selamat walaupun cedera sedikit di kening mungkin terhantuk semasa kenderaan itu dipandu laju.

"Ia juga menjadi pengajaran kepada saya untuk tidak lagi meninggalkan anak dalam kereta walau sekejap. Saya harap ibu bapa lain dapat mengambil iktibar daripada kejadian yang saya alami," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt. Nor Hashim Mohamad berkata, polis telah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi mengesan kenderaan milik mangsa sebaik menerima laporan.

"Dengan bantuan orang ramai, kami berjaya mengesan kenderaan tersebut kira-kira pukul 11.30 malam semalam di Jalan Trus dan menahan tiga lelaki berumur antara 24 dan 26 tahun," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki terbabit juga terlibat dengan penyalahgunaan dadah selain dipercayai mempunyai kaitan dengan tujuh kes kecurian kenderaan sekitar Nusajaya dan Johor Baharu Selatan.

Mereka kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.— BERNAMA

Lelaki dikehendaki polis ditahan

Posted:

Lelaki dikehendaki polis ditahan

Lelaki dikehendaki polis ditahan

05/06/2012 7:23pm

JOHOR BAHRU 5 Jun — Seorang lelaki yang dikehendaki polis Negeri Sembilan berkaitan kes samun, pecah rumah dan mencuri kenderaan ditahan di sini Sabtu lalu.

Dia yang berumur 31 tahun ditahan setelah kereta BMW yang dipandunya di Jalan Tebrau dekat Taman Pelangi di sini terbabas ketika melarikan diri dari polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Zainuddin Yaacob berkata, turut ditemui dalam kereta yang sebelum ini dilaporkan hilang di Port Dickson, Negeri Sembilan itu ialah dua buah komputer riba, sebuah kamera dan sebuah mesin pencetak yang dipercayai hasil samun dan curi.

Turut ditemui ialah empat keping nombor pendaftaran kenderaan, sembilan rangkai anak kunci serta pelbagai jenis peralatan pecah rumah dan mencuri kenderaan.

Zainuddin berkata, suspek juga didapati positif dadah methamphetamine.

"Suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau melibatkan kes samun, pecah rumah dan curi kenderaan di Negeri Sembilan dan Johor Bahru. Dia kini ditahan reman selama empat hari bermula Ahad lalu," katanya.— BERNAMA

Pecah rumah: Peniaga rugi RM200,000

Posted:

Pecah rumah: Peniaga rugi RM200,000

Pecah rumah: Peniaga rugi RM200,000

05/06/2012 7:16pm

SEREMBAN — Seorang peniaga mengalami kerugian hampir RM200,000 apabila kenderaannya jenis Toyota Alphard dilarikan penyamun yang memecah masuk kediamannya di Taman Chip Aik, di sini semalam.

Dalam kejadian pada 2.30 petang itu, peniaga terbabit tiada di rumah kerana menjalankan perniagaan menjual aksesori kereta di premis perniagaannya di bandar ini, turut kehilangan komputer riba, beberapa botol minuman keras dan wang tunai RM300.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SUP Zazali Hashim berkata, kejadian itu hanya disedari seorang pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan di kawasan itu.

"Ketika melakukan rondaan pengawal keselamatan itu mendapati pintu rumah tersebut terbuka dan dia terus menghubungi peniaga terbabit yang segera pulang dan mendapati rumahnya telah dipecah masuk dan kenderaannya hilang.

"Berdasarkan siasatan awal, penyamun terbabit memasuki kediaman mangsa dengan memotong pintu besi di bahagian hadapan sebelum menggeledah rumah terbabit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan 457 Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan serta pecah rumah dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.— BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan