Sabtu, 16 Jun 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Maut dicampak dari tingkat 7

Posted: 15 Jun 2012 03:11 PM PDT

AMPANG: Seorang lelaki yang baru dua hari menumpang di rumah rakan sekampungnya dari Kuching, Sarawak, ditemui mati dibunuh kejam dipercayai dicampak dalam keadaan masih bernyawa dari tingkat tujuh Flat 700, di sini, selepas berlaku pergelutan dengan rakan serumahnya itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang berusia 34 tahun dipercayai bertengkar dengan suspek menyebabkannya ditikam lelaki terbabit menggunakan pisau dapur sebelum mangsa yang masih hidup ketika itu dicampak ke bawah melalui tingkap.

Difahamkan, mangsa datang ke ibu negara untuk mencari pekerjaan dengan menumpang di rumah berkenaan.

Selepas kejadian itu, suspek berusia lingkungan 30-an dan bekerja sebagai pelayan hotel di Puchong, yang panik bertindak membuat laporan di Balai Polis Pandan Perdana, di sini, kira-kira jam 3 petang mendakwa konon rakan serumahnya itu meracau lalu terjun dari rumah mereka.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.




Jumpa tiga pistol

Posted: 15 Jun 2012 03:10 PM PDT

PONTIAN: Bukan setakat menemui dadah bernilai RM18 juta, malah polis turut mengesan tiga pistol yang rentung dalam kebakaran di sebuah kilang yang dijadikan makmal memproses dadah di Kawasan Perindustrian Pekan Nenas, di sini, pada jam 1.30 tengah hari, Isnin lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, selain itu, polis turut menemui 14 peluru, kelongsong serta kelopak peluru.


"Kami turut menyita dua kenderaan jenis Mercedez Benz dan Honda Odyssey yang menggunakan nombor pendaftaran negara jiran dipercayai milik anggota sindiket dadah terbabit.

"Semakan dilakukan mendapati kedua-dua kenderaan terbabit menggunakan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) dan ia sudah tamat tempoh sah laku," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, semalam.


Menurutnya, semua barangan terbabit dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut dan susulan siasatan yang dilakukan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun di Kulaijaya pada Rabu lalu.


"Dua rakan suspek sedang diburu bagi membantu siasatan kes terbabit dan suspek juga sudah direman bermula semalam.

"Dua rakan suspek yang juga penduduk tempatan sudah dikenal pasti, mereka menghilangkan diri sejurus kejadian. Polis sudah menubuhkan pasukan khas bagi mengesan serta menahan kedua-dua suspek terbabit," katanya.


Mokhtar berkata, pihaknya percaya enam individu terbabit dalam kes berkenaan dan tiga daripada mereka warga asing.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Mokhtar berkata, dadah terbabit dipercayai untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.


"Kami dapati dadah itu dibungkus menggunakan plastik hitam khas, ia bagi memudahkan barangan berkenaan diseludup keluar.


"Dengan menggunakan taktik itu, dadah terbabit lebih sukar dikesan," katanya.


Beliau berkata, dadah bernilai RM18 juta yang terselamat daripada rentung dianggarkan mampu menampung bekalan untuk lebih 350,000 penagih dadah jika ia terlepas ke jalanan.


Mokhtar berkata, dadah dirampas membabitkan Ecstacy yang bernilai RM12.5 juta dan syabu seberat 20.230 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM5 juta.


Dalam kejadian itu, kilang terbabit meletup sebelum terbakar dan anggota bomba yang memadamkan kebakaran dikejutkan dengan penemuan dadah berkenaan sebelum memaklumkannya kepada polis.


Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 32, akta sama (Perlucuthakan Harta) 1988 dan Seksyen 7, Akta Senjata 1971.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan