Khamis, 28 Jun 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Bilal, siak terkejut, mayat bayi di tangga masjid

Posted: 28 Jun 2012 04:50 AM PDT

KLANG: Seorang bilal dan siak Masjid Badariah Batu 12, Kapar di sini terkejut apabila mendapati bungkusan plastik hitam yang ditinggal di tangga masjid itu mengandungi mayat seorang bayi lelaki.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superitendan Mohd Shukor Sulong berkata kedua-dua mereka yang mahu membuat persiapan solat Subuh menemui mayat bayi berkenaan ditutup dengan kain lampin apabila membuka bungkusan tersebut.

"Apabila tiba di tempat kejadian kira-kira 6.30 pagi, kita (polis) mendapati bayi yang bertali pusat dan cukup sifat ditinggalkan di dalam bungkusan plastik.

"Pemeriksaan lanjut turut mendapati bayi itu sudah meninggal dunia," katanya di sini hari ini.


Mohd Shukor berkata mayat bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk bedah siasat.


Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran. - Bernama


Kawasan ILP Miri masih catat IPU tidak sihat

Posted: 28 Jun 2012 03:50 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kawasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak menjadi satu-satunya kawasan yang berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 105, sehingga 11 pagi ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata 21 kawasan berada pada tahap baik daripada 51 stesen pengawasan kualiti udara JAS, manakala 29 kawasan lagi berada pada tahap sederhana.

"Keluasan kebakaran hutan belukar di kawasan tanah gambut di Permai Jaya berdekatan ILP Miri di Kuala Baram, Sarawak, menyebabkan kemerosotan kualiti udara setempat dan peningkatan bacaan IPU sehingga ke tahap sangat tidak sihat beberapa hari lalu.

"Pihak JAS masih menyiasat punca kebakaran dan peningkatan IPU ini, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan bantuan agensi-agensi kerajaan negeri Sarawak serta syarikat tempatan sedang bertungkus lumus memastikan kebakaran tidak merebak dan terkawal," kata JAS dalam satu kenyataan hari ini.


Kerajaan Sarawak juga telah menggerakkan Jawatankuasa Bencana Bahagian Miri melibatkan agensi-agensi tempatan berkaitan bagi membendung kebakaran daripada merebak selain membantu kerja-kerja pemadaman api dan mengawal kebakaran.


Menurut JAS, status kualiti udara di negeri-negeri lain di Semenanjung bertambah baik dan menunjukkan penurunan bacaan IPU.

Bagaimanapun, ia berkata status kualiti udara masih belum stabil berdasarkan jangkaan cuaca panas dan kering berlaku di beberapa kawasan sepanjang Jun, dan bilangan titik panas yang masih tinggi di Sumatera.

Katanya JAS menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan serta mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri di samping mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar.

Di samping itu, penguatkuasaan terhadap pelepasan asap daripada kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri turut dipertingkatkan.

Kenyataan itu berkata perintah larangan pembakaran terbuka bagi kawasan di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikeluarkan pada 16 Jun lalu serta larangan serupa melibatkan Tudan, Permai Jaya dan Kuala Baram di Miri, Sarawak yang dikeluarkan pada 22 Jun lalu, masih berkuatkuasa.

IPU pada tahap antara 0 dan 50 merupakan bacaan baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301). - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan