Khamis, 21 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


2 parah, 6 terperangkap astaka runtuh di Jertih

Posted: 21 Jun 2012 03:11 AM PDT

Mutakhir

BESUT: Dua kritikal, manakala enam lagi masih terperangkap apabila sebuah bangunan astaka di Padang Astaka, Jertih, di sini, yang masih dalam pembinaan runtuh, kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Ketika kejadian, semua sembilan pekerja kontrak terbabit sedang menyiapkan bangunan yang kini sudah 50 peratus siap, terperangkap di dalam runtuhan bangunan itu.

Setakat jam 5 petang tadi, tiga daripadanya sudah dikeluarkan daripada runtuhan, dengan dua daripadanya kritikal dan dibawa ke Hospital Besut.

Produk KOOP 1Malaysia boleh bantu seragam harga di Sabah, Sarawak

Posted: 21 Jun 2012 02:47 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Produk Koperasi 1Malaysia (KOOP 1Malaysia) akan dibawa ke Sabah, Sarawak dan Labuan dalam usaha menyelaraskan harga barangan keperluan bersubsidi sama seperti di Semenanjung, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan juga membelanjakan RM200 juta sebagai subsidi pengangkutan supaya peniaga terutama yang jauh di pedalaman Malaysia Timur tidak perlu merangkumkan kos tersebut ke dalam harga barangan.

"Isu perbezaan harga ini timbul dari segi kedudukan yang perlukan pengangkutan dan menyebabkan kos mengangkut diserap dalam harga. Sebab itu lebih tinggi dari Semenanjung. Sekarang ini kita sedang bincang dengan pihak pengangkut untuk bawa produk KOOP 1Malaysia ke kawasan pedalaman supaya harga di Kuching, Semenanjung dan di luar pun sama. "Tapi ada kawasan di antaranya yang susah sikit. Kawasan ini tidak jauh ke pedalaman dan tidak pula dengan bandar, juga tidak termasuk dalam program penyeragaman harga. Namun, kerajaan tidak lepas tangan dalam menangani isu ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang bagi meraikan pesara dan bakal pesara kementerian serta agensi berkenaan di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr Marcus Mojigoh di Dewan Rakyat semalam supaya kerajaan menyeragamkan harga barangan keperluan di negara ini supaya penduduk di Sabah dapat menikmati harga barangan keperluan bersubsidi pada harga yang sama seperti pengguna di Semenanjung.

Ismail Sabri menjelaskan harga tujuh barangan bersubsidi termasuk produk KOOP 1Malaysia di bandar yang hampir dengan pelabuhan di Sabah, Sarawak dan Labuan memang tidak berbeza dengan Semenanjung.

Katanya, jawatankuasa Kabinet bagi menangani harga barang yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sudah bermesyuarat dua minggu lalu bagi membincangkan langkah-langkah perlu termasuk menubuhkan beberapa jawatankuasa kecil dalam usaha merapatkan jurang harga barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kementerian akan menubuhkan Majlis Perunding bagi penjaja dan peniaga kecil di peringkat kebangsaan dan negeri untuk mengenal pasti masalah serta membangunkan golongan tersebut.

"Di peringkat kebangsaan, ia dipengerusikan oleh saya sendiri. Kita akan bincang dan keluarkan butiran terperinci tidak lama lagi," katanya.

Ismail Sabri berkata, kementerian sentiasa terbuka untuk menerima khidmat dan sumbangan idea daripada golongan tersebut selain menggalakkan mereka menjadi sukarelawan seperti menyertai skuad pengguna atau menjadi penceramah isu kepenggunaan.

- BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan