Selasa, 5 Jun 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Suri rumah nyaris hilang anak gara-gara tinggalkan dalam kereta

Posted: 05 Jun 2012 05:19 AM PDT

JOHOR BAHARU:Seorang suri rumah menempuh detik mencemaskan apabila anaknya yang ditinggalkan dalam kereta dengan enjin yang masih hidup, dilarikan seorang lelaki di Bandar Baru Kangkar Pulai dekat sini, pagi semalam.

Bagaimanapun, Khazlim Saat, 35, boleh menarik nafas lega selepas anak bongsunya, Mohd Ryan Hazim, 2, berjaya ditemui sejam kemudian dan detik itu memberi pengajaran yang cukup bermakna kepadanya.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, beliau meninggalkan dua anak perempuannya, Nor Sabrina Damiah, 6, dan Nor Sofea Hadirah, 4, serta Mohd Ryan dalam kereta untuk membeli barang di sebuah kedai runcit di kawasan berkenaan.

"Sebelum keluar, saya sudah mengunci pintu kereta, tetapi tidak lama selepas itu, Damiah datang kepada saya dan belum sempat dia membuka mulut saya terdengar Hadirah menjerit.


"Saya terus keluar dari kedai runcit dan ternampak Hadirah berada di luar kereta sambil menjerit dan dalam sekelip mata, kereta saya dalam keadaan pintu yang masih terbuka dilarikan oleh seorang lelaki dengan anak bongsu saya berada dalam kereta," katanya.


Beliau yang tidak menyangka dengan insiden itu, berkata dengan bantuan orang ramai mereka melaporkan kejadian itu kepada polis.

Khazlim berkata beliau juga sempat menghubungi suaminya Mohd Hisham Rahiman, 35, rakan-rakan serta jirannya untuk membantu mencari anaknya itu.

Katanya tidak sampai sejam selepas itu, polis Nusajaya menerima laporan mengenai penemuan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang ditinggalkan di hadapan sebuah restoran, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

"Saya merasa amat bersyukur kerana anak saya berjaya ditemui dengan keadaan selamat walaupun cedera sedikit di kening mungkin terhantuk semasa kenderaan itu dipandu laju.

"Ia juga menjadi pengajaran kepada saya untuk tidak lagi meninggalkan anak dalam kereta walau sekejap. Saya harap ibu bapa lain dapat mengambil iktibar daripada kejadian yang saya alami," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Nor Hashim Mohamad berkata polis menubuhkan sebuah pasukan khas bagi mengesan kenderaan milik mangsa sebaik menerima laporan.

"Dengan bantuan orang ramai, kami berjaya mengesan kenderaan tersebut kira-kira jam 11.30 malam semalam di Jalan Trus dan menahan tiga lelaki berumur antara 24 dan 26 tahun," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki terbabit juga terlibat dengan penyalahgunaan dadah selain dipercayai mempunyai kaitan dengan tujuh kes kecurian kenderaan sekitar Nusajaya dan Johor Baharu Selatan.

Mereka kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan. - Bernama




Penganggur ditahan selepas tiga jam samun rantai emas

Posted: 05 Jun 2012 05:15 AM PDT

KUANTAN: Seorang lelaki tidak sempat 'menikmati' hasil rantai emas yang diragutnya tiga jam sebelum itu, apabila dia ditangkap polis ketika menjual barang tersebut di sebuah kedai pajak gadai di pekan Benta, Raub semalam.

Ketua Polis Daerah Raub Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata penganggur berusia 30 tahun itu ditangkap selepas polis menerima laporan mengenai kejadian ragut yang berlaku di Kampung Batu Buaya, Raub tengah hari semalam.

Kejadian itu berlaku pukul 12 tengah hari ketika mangsa yang berusia 63 tahun sedang mengutip sayur di belakang rumahnya. Suspek yang datang dari arah belakang bertindak menekup muka mangsa dengan sehelai baju sebelum meragut rantai emas bernilai RM5,000 dan menolak mangsa ke tanah, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan ringan pada tangan serta muka dan mendapatkan rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Benta, katanya.


Beliau berkata suspek yang kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan juga mengaku menjual rantai emas itu pada harga RM1,500. - Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan