Jumaat, 22 Jun 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Laporan Jawatankuasa PSC isu Lynas saintifik

Posted: 22 Jun 2012 01:16 PM PDT

Nasional

NAJIB ketika menjawab soalan media selepas mesyuarat tertinggi UMNO. Turut kelihatan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

NAJIB ketika menjawab soalan media selepas mesyuarat tertinggi UMNO. Turut kelihatan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan utamakan soal keselamatan rakyat: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung isu kilang pemerosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan adalah berasaskan fakta saintifik.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO berkata, daripada laporan itu, tidak ada apa-apa yang dibangkitkan menimbulkan keraguan terhadap aspek keselamatan penduduk mahupun kesannya terhadap alam sekitar.

Daripada laporan itu, tiada apa-apa yang dibangkitkan menimbulkan keraguan terhadap aspek keselamatan penduduk mahupun kesannya terhadap alam sekitar. - Najib Razak, Perdana Menteri

"Saya ingin nyatakan bahawa kita utamakan soal keselamatan rakyat tetapi kita mesti membuat pertimbangan itu berdasar fakta saintifik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Ibu Pejabat UMNO di sini, semalam.

Najib berkata, apa yang ingin ditegaskan itu bukan soal kebimbangan ataupun imaginasi ketakutan pada sesuatu andaian, sebaliknya perkara paling utama adalah bersandarkan kepada fakta saintifik.

Katanya, antara orang yang menyatakan dengan jelas bahawa Lynas itu satu perusahaan yang selamat ialah Dr Che Rosli Che Mat, yang juga Ahli Parlimen PAS dan saintis nuklear yang tiada keraguan dan cukup yakin ia selamat walaupun pendiriannya bertentangan dengan pendirian parti.

Sementara itu, mengulas mengenai isu peletakan jawatan seorang pemimpin PKR daripada Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor secara tergesa-gesa seperti dilaporkan media semalam, Najib berkata, perkara itu jelas memperlihatkan PKR kini berhadapan krisis perpecahan yang serius.
Katanya, jika tiada sebarang perpecahan mengapa pula secara tiba-tiba ada pihak meletakkan jawatan.

"Saya percaya orang ramai dan rakyat boleh membuat pertimbangan sebab yang penting dalam kita menentukan siapa yang jadi pilihan kita ialah parti yang boleh menentukan bukan saja kelangsungan pentadbiran tetapi juga pentadbiran yang stabil serta kukuh yang akan mencerna keyakinan rakyat dan dunia luar," katanya.


2.6 juta rakyat Malaysia hidap diabetes

Posted: 22 Jun 2012 01:06 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) menunjukkan kira-kira 2.6 juta penduduk Malaysia menghidap diabetes tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata keputusan kaji selidik NHMS itu membimbangkan dan memerlukan perhatian semua pihak untuk mencegahnya.

Beliau berkata jumlah itu masih tinggi walaupun Kementerian Kesihatan melakukan pelbagai usaha menanganinya sejak beberapa tahun lalu. "Perangkaan daripada NHMS menunjukkan pesakit diabetes di Malaysia meningkat 31 peratus dalam lima tahun berbanding peningkatan 11.6 peratus pada 2006 bagi setiap orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas," katanya selepas merasmikan Persidangan Diabetes Kebangsaan 2012 bertemakan 'Ke arah Pencegahan dan Pengawalan Diabetes yang Lebih Baik' di sini, semalam.

Katanya, antara faktor yang menyumbang peningkatan jumlah penghidap diabetes dalam kalangan penduduk Malaysia termasuk berat badan berlebihan, genetik, gaya hidup dan diet tidak sihat, meminum alkohol, merokok dan tidak menjalani pemeriksaan perubatan secara tetap.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perawatan Luka Peringkat Asia Pasifik 2012, berkata menjelang Januari tahun depan, hampir 130 hospital pakar dan bukan pakar di seluruh negara akan mempunyai Jawatankuasa Penjagaan Luka memandangkan peningkatan pesakit kencing manis dalam negara ini.

Katanya, ada lebih 5.6 juta pesakit dalam negara ini dan 25 peratus dari jumlah itu mengalami komplikasi kaki yang serius dan memerlukan penjagaan luka yang betul.
Beliau berkata penjagaan luka yang baik dalam kalangan pesakit diabetes mengurangkan risiko amputasi kaki.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan