Jumaat, 29 Jun 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Datuk’ tipu guna logo SPDM palsu

Posted: 28 Jun 2012 03:37 PM PDT

PUTRAJAYA: Pertubuhan Sukarelawan Pencegahan Dadah Malaysia (SPDM) mendapati ada individu menyalahgunakan nama dan memalsukan logo pertubuhan itu pada kepala surat ditandatangani seorang bergelar 'Datuk' bagi memperdayakan pihak tertentu, sekali gus mengaut keuntungan mudah daripada sumbangan orang ramai.

Yang Dipertua SPDM, Roshazreel Roslan berkata, beliau menyedari perbuatan individu terbabit selepas menerima panggilan telefon daripada seorang kakitangan sebuah bank yang memaklumkan mengenai penerimaan e-mel daripada pertubuhan itu bagi menukarkan nama akaun sumbangan ke atas nama Pengurusan SPDM baru-baru ini.


Katanya, perkara berkenaan menghairankannya kerana beliau tidak pernah membuka akaun di mana-mana bank menggunakan nama Pengurusan SPDM, sebaliknya segala sumbangan dan dana daripada orang ramai melalui bank hanya menggunakan akaun atas nama SPDM. "Saya tidak pasti motif sebenar individu terbabit menggunakan nama dan logo pertubuhan ini pada surat ditandatangani seorang individu bergelar 'Datuk' yang kononnya memegang jawatan sebagai penasihat kehormat pertubuhan. "Padahal dalam pertubuhan ini tidak wujud jawatan berkenaan, malah segala surat-menyurat sepatutnya ditandatangani saya sendiri, bukan orang lain. "Logo pertubuhan digunakan individu terbabit juga sebenarnya ada sedikit perbezaan dengan logo sebenar khususnya dari segi posisi nama pertubuhan yang disalah letak," katanya ketika Harian Metro di sini, semalam. Roshazreel berkata, berdasarkan beberapa maklumat diperoleh, beliau percaya perbuatan itu dilakukan individu dikenalinya. "Saya mengesyaki seorang lelaki kerana baru-baru ini saya juga pernah berurusan dengannya, malah memintanya bekerjasama dalam satu program," katanya.

Katanya, bagi mengelakkan penipuan itu berterusan, malah menjaga nama baik SPDM dan pada masa sama mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan individu terbabit, beliau melaporkan perkara berkenaan di Balai Polis Kajang, Selangor pada 6 Jun lalu.


"Perbuatan individu terbabit boleh menyebabkan nama SPDM buruk. Kita tidak mahu ada pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan badan korporat tertipu dengan individu terbabit.


"Mana-mana pihak yang pernah menerima surat permohonan sumbangan daripada Pengurusan SPDM atau yang sudah memberi sumbangan kepada akaun itu diminta membuat laporan polis. Mereka juga boleh menghubungi talian hotline pertubuhan 011-15565111," katanya.


Agensi pekerja kebas RM15,000

Posted: 28 Jun 2012 03:34 PM PDT

PETALING JAYA: "Niat saya mahu membantu rakan pekerja warga asing memperbaharui permit kerja, namun bala pula yang dapat apabila duit kira-kira RM15,000 yang diamanahkan kepada saya untuk urusan berkenaan dikebas agensi yang menawarkan perkhidmatan perbaharui permit pekerja asing," kata mangsa, Hasbi Mat Arap, 44, ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, lima pekerja warga Indonesia berkenaan menemuinya Januari lalu bagi meminta bantuan menguruskan permohonan memperbaharui permit kerja melalui agensi pekerja asing yang menyediakan perkhidmatan itu.


"Saya tidak keberatan membantu lima pekerja asing itu kerana sudah mengenali mereka sebelum mendapatkan khidmat satu agensi pekerja asing di Dataran Bandar Utama, Damansara, di sini yang boleh menguruskan proses permohonan itu.

"Kami kemudian berurusan dengan seorang pekerja agensi terbabit dikenali sebagai Kent Wong. Selepas berbincang, setiap pekerja asing dikenakan bayaran kos perbaharui permit RM5,000 seorang," katanya.


Hasbi berkata, jumlah keseluruhan yang diminta lelaki terbabit adalah RM25,000, tetapi dia membuat bayaran deposit RM15,000, manakala bakinya akan diserah sebaik urusan selesai.


"Wang tunai RM15,000 dibayar di pejabat agensi pekerja asing terbabit pada Februari lalu. Bagaimanapun, saya tidak diberikan resit sebagai bukti pembayaran.

"Saya tidak pula meminta resit pembayaran kerana yakin agensi terbabit tidak akan menipu kerana sudah terlebih dulu memeriksa latar belakang syarikat itu," katanya.


Katanya, pada April lalu, lelaki terbabit memaklumkan pasport pekerja warga asing berkenaan hampir luput dan ia perlu diperbaharui bagi memudahkan proses permohonan permit kerja.

"Sebulan kemudian, saya menghubungi Kent dan memaklumkan pasport baru pekerja asing berkenaan sudah siap dan mahu bertemu untuk menyerahkan dokumen itu.


"Namun, Kent mula memberi pelbagai alasan bagi mengelak daripada berjumpa menyebabkan saya tidak sedap hati," katanya.


Hasbi berkata, lelaki terbabit meminta tempoh sehingga akhir Mei untuk menyelesaikan urusan permohonan memperbaharui permit kerja itu, namun dia yang tidak mendengar sebarang berita daripada pekerja agensi terbabit kemudian datang ke pejabat syarikat itu di Dataran Bandar Utama.


"Bagaimanapun, saya terkejut apabila diberitahu syarikat agensi itu sudah gulung tikar.


"Malah, saya juga dimaklumkan syarikat terbabit juga dicari pihak pengurusan bangunan kerana tidak membayar sewa pejabat," katanya.


Berikutan kejadian itu, Hasbi membuat laporan di Balai Polis Damansara untuk tindakan lanjut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan