Ahad, 17 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Pelatih PLKN yang dikuarantin dibenarkan sambung latihan

Posted: 17 Jun 2012 03:14 AM PDT

Mutakhir

ALOR SETAR: Dua daripada empat pelatih Program Khidmat Negara (PLKN) kem Dusun Resort, Kuala Nerang yang dirawat di Hospital Kuala Nerang sejak Rabu lalu kerana jangkitan virus influenza A (H1N1) dibenarkan keluar hospital hari ini.

Sebelum ini seramai 18 orang pelatih dimasukkan ke hospital sejak Rabu dan sehingga semalam 14 orang telahpun keluar manakala daripada 78 orang yang dikuarantin dalam blok khas kem, kini hanya tinggal 44 orang sahaja selepas 34 orang dibebaskan berperingkat-peringkat hingga semalam.

Komander kem, Abdul Lataf Daud berkata, pelatih yang dikuarantin masih diawasi dan diberi rawatan dalam kem terbabit. "Semua pelatih yang bebas kurantin dibenarkan menjalani latihan bersama pelatih lain mulai hari ini," katanya kepada Bernama semasa dihubungi.

Beliau berkata pihaknya terus memantau perkembangan pelatih bagi memastikan penyakit tersebut tidak berulang dan mereka tidak dijangkiti semula virus terbabit.

"Pelatih yang didapati mengalami suhu badan meningkat (panas) akan dikuarantin serta-merta supaya rawatan diberikan segera," katanya. - BERNAMA


Majoriti peneroka terima tawaran saham FGVH

Posted: 17 Jun 2012 02:28 AM PDT

Mutakhir

BENTONG: Majoriti peneroka Felda bersetuju menerima tawaran saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) sebanyak 800 unit, kata Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Beliau berkata, hanya segelintir daripada 112,635 peneroka yang menolak tawaran saham berkenaan.

"Penyenaraian FGVH dijadual 28 Jun di Bursa Malaysia, dan kami menerima maklum balas positif warga Felda walaupun ada yang tidak berpuashati dengan jumlah saham yang ditawarkan kepada mereka. "Tawaran saham sebanyak 800 unit adalah wajar kerana mereka sebenarnya mempunyai saham sebanyak 20 peratus dalam bentuk tabung amanah dan dividen tahunan sepanjang hayat, manakala kakitangan Felda tidak layak mendapat faedah itu.

"Oleh itu jangan mudah mendengar hasutan pihak-pihak tertentu yang cuba menggagalkan penyenaraian FGVH," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival, Penjenamaan Semula dan Pelancaran E-Alumni Kolej Yayasan Felda di Dataran Kolej Yayasan Felda Kampus Mempaga dekat sini, hari ini.

Beliau berkata penyenaraian FGVH itu bertujuan mengangkat status ekonomi dan sosial masyarakat Felda secara holistik dan tidak ada sebab masyarakat Felda tidak menyokong usaha baik yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Isa berkata, peneroka FELDA adalah golongan bertuah kerana mereka disediakan saham FGVH walaupun tanah milik mereka tidak terbabit dalam penyenaraian itu.
Beliau berkata, peneroka mendapat 22.5 peratus saham iaitu 2.5 peratus saham tunai 800 unit, manakala 20 peratus dalam bentuk tabung amanah dan peneroka atau waris mereka akan mendapat dividen pada setiap tahun.

"FELDA akan turun padang ke setiap wilayah FELDA bagi menerangkan kedudukan sebenar pegangan saham peneroka kerana ramai yang tidak faham akibat hasutan pembangkang yang gemar mengelirukan peneroka," katanya.

Pengerusi FELDA itu turut menegur segelintir peneroka yang masih menyokong pembangkang walaupun kerajaan pimpinan perdana menteri telah meletakkan mereka pada kedudukan yang sangat istimewa dalam komuniti masyarakat Malaysia. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan